PRU Malaysia tiada pemenang jelas, dua blok pembangkang bersaing sengit
2022.11.19
Kuala Lumpur
Pilihan Raya Umum ke-15 Malaysia tidak menampilkan pemenang yang jelas pada Sabtu apabila keputusan menunjukkan ikon gabungan pembangkang yang diterajui Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hampir seri manakala Barisan Nasional yang telah memerintah negara itu sejak sekian lama, mengalami kekalahan teruk.
Anwar dan Muhyiddin masing-masing mendakwa mempunyai sokongan majoriti mudah di kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan meskipun keputusan yang diumumkan selepas pengundian berakhir pada Sabtu menunjukkan kedua-duanya gagal memenangi 111 daripada 220 kerusi yang dipertandingkan.
Dengan keputusan itu, pengundi yang mahu kestabilan dikembalikan selepas menyaksikan tiga Perdana Menteri dalam tempoh empat tahun,boleh menjangkakan lebih banyak politiking hangat berlaku pada masa akan datang, dan ia mungkin sudah bermula pada awal pagi Ahad.
Anwar, yang berusia 75 tahun, mungkin menyaksikan peluang terakhir beliau untuk menjadi Perdana Menteri berkata gabungan Pakatan Harapan pimpinannya memiliki jumlah kerusi Parlimen yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.
“Kami telah mengadakan beberapa pertemuan serta rundingan dan hasilnya, saya ingin memaklumkan anda bahwa sebagai blok yang memiliki majoriti, kami telah berjaya mendapatkan sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah tertakluk kepada proses sewajarnya dan akan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dibincang dan membuat keputusan akhir,” katanya pada sidang akhbar di Shah Alam.
Sejurus sebelum itu, Muhyiddin membuat dakwaan serupa.
“PN telah memiliki kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,” kata Muhyiddin merujuk kepada Perikatan Nasional sambil menambah bahawa “kejayaan ini adalah di luar jangkaan kami.”
Beliau berkata blok pimpinannya telah menerima watikah daripada Istana Negara mengenai persiapan yang perlu dilakukan untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, yang merujuk kepada keperluan menghadap baginda untuk menjadikan keputusan pilihan raya itu sebagai sesuatu yang rasmi. Bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan siapa lagi yang mungkin menerima surat sedemikian.
Di Malaysia, apabila keputusan pilihan raya dua pihak begitu hampir, Yang di-Pertuan Agong akan menjadi pemutus gabungan politik mana yang memiliki sokongan mencukupi bagi membentuk kerajaan.
“Bagi memastikan kestabilan, PN terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang menyokong perjuangan PN,” kata Muhyiddin.
Bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin (kiri) bercakap semasa sidang akhbar selepas Pilihan Raya Umum ke-15 di Shah Alam, Malaysia dengan ditemani pemimpin parti komponen gabungan itu Hadi Awang daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang konservatif, 20 Nov 2022. [Lai Seng Sin/Reuters]
Bersama rakan sekutunya yang diiktiraf iaitu MUDA dan DAP, Pakatan Harapan berjaya memperoleh lebih banyak kerusi Parlimen berbanding gabungan politik lain iaitu 82, menurut keputusan yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin bersama-sama PAS dan GRS yang berpangkalan di Sabah mengikuti rapat di belakang iaitu dengan 79 kerusi.
Setakat 4 petang Sabtu, lebih 15 juta daripada kira-kira 21 juta pemilih yang layak telah mengundi, menurut SPR yang belum mengeluarkan jumlah sebenar rakyat yang keluar mengundi.
“Tiada negara di dunia ini (setahu saya) yang memiliki komitmen sebegitu tinggi untuk mengundi, dari undi luar negara yang diatur gerak sedemikian rupa hinggalah ke perjalanan pulang ke tanah air yang lama (dan mahal),” tulis penganalisis politik Bridget Welsh di Twitter.
“Apa jua yang berlaku esok, rakyat biasa di Malaysia adalah tunggak yang melindungi masa depan mereka,” kata Welsh, seorang ahli akademik dari University of Nottingham Malaysia.
Parlimen Malaysia mempunyai 222 kerusi namun proses pengundian pada Sabtu hanya bagi 220 kerusi susulan kematian calon dan penangguhan akibat cuaca buruk.
Petugas pilihan raya membantu seorang wanita berkerusi roda memasuki pusat mengundi di Sekolah Persendirian Chong Hwa di Sentul, Kuala Lumpur, 19 Nov 2022. [S.Mahfuz/BenarNews]
Kekalahan Barisan
Sementara itu, Barisan Nasional sekadar mampu menang di 30 kerusi – satu kekalahan yang agak memalukan bagi sebuah gabungan politik yang telah memerintah negara sehingga tahun 2018, dan selepas kembali berkuasa tanpa dipilih, telah memasang hasrat mendapatkan semula mandat rakyat melalui gesaan yang mengundang kontroversi agar pilihan raya awal diadakan di tengah-tengah musim tengkujuh.
Bagi Barisan, ia mungkin kekalahan yang tidak mereka jangkakan. Pada 2018, ketika tersingkir daripada kekuasaan, Barison memenangi 79 kerusi.
“Barisan Nasional menerima dan menghormati keputusan rakyat pada PRU15 ini. Barisan Nasional menganggap ini adalah isyarat besar yang diberikan oleh rakyat kepada kita,” menurut kenyataan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu merangkap Pengerusi Barisan Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata gabungan itu telah memerintah Malaysia tanpa gangguan sejak penubuhan negara itu hinggalah 2018 dan ia akan memberikan tumpuan kepada “bagaimana untuk mengembalikan kekuatan parti kami terutama sekali untuk menangani cabaran semasa dan lebih memahami keperluan generasi baharu.”
Beberapa penganalisis telah meramalkan bahawa gabungan politik berasaskan Melayu yang baharu iaitu Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin akan mencuri sebahagian daripada penyokong Barisan namun skala pencurian itu amat menakjubkan.
Pemerhati politik berkata etnik Melayu yang kecewa dan marah dengan dakwaan rasuah yang menyelubungi Presiden UMNO iaitu Ahmad Zahid selain sabitan terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak dalam kes berkaitan 1MDB, boleh beralih menyokong Perikatan.
Turut menghulurkan bantuan kepada Perikatan ialah PAS yang berjaya dipancing oleh Muhyiddin daripada Barisan. PAS menang besar di kubu kuatnya di negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu.
Bagaimanapun, sama ada bangsa dan agama mengatasi isu lain seperti kebimbangan terhadap ekonomi dan inflasi akan diketahui apabila keputusan lebih terperinci diketahui dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Anwar, contohnya, berkempen memerangi rasuah dan toleransi serta kepelbagaian budaya di Malaysia.
Berbangsa Melayu, gabungan Pakatan pimpinan Anwar termasuk Parti Tindakan Demokratik (DAP), yang kebanyakannya disertai kaum Cina. Anwar telah berkata beliau menentang tindakan berasaskan perkauman dan menyokong bantuan berasaskan keperluan.
Anwar dan DAP telah membantu menumbangkan Barisan pada pilihan raya umum 2018 melalui pakatan yang dianggap mustahil dengan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, musuh ketat beliau. Mahathir menjadi Perdana Menteri namun kerajaan pimpinan beliau hanya mampu bertahan selama 20 bulan sebelum tumbang susulan pertikaian dalaman.
Mahathir, yang kini berusia 97 tahun, gagal mempertahankan kerusi Parlimennya pada Sabtu, yang merupakan kekalahan kedua beliau selepas terjun ke bidang politik pada 1960-an.
Bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi Gerakan Tanah Air Mahathir Mohamad mengundi semasa pilihan raya umum di Alor Setar, Kedah, Malaysia, 19 Nov 2022. [JohnShen Lee/AP]