Amalan “ragging” di institusi pengajian tinggalkan trauma
2024.11.14
Kuala Lumpur
Dalam keadaan panas terik suatu tengah hari di Malaysia pada 2001, “Halim Surin” (bukan nama sebenar) mengimbas pengalaman perit dia terpaksa menekan kedua-dua tapak tangan pada lantai simen yang hangat pijar dan bertahan pada posisi tekan tubi dengan peluh berjurai-jurai menitik dari seluruh badannya.
Ketika itu, dia yang baru berusia 13 tahun dikenakan hukuman atas alasan melanggar peraturan remeh. Dia telah lupa kesalahan itu tetapi hukuman yang dikenakan ke atasnya masih segar dalam ingatan.
“Saya telah dibiarkan berada di luar (di tengah panas) selama lebih dari sejam,” kata Halim yang kini berusia lewat 30-an kepada BenarNews.
“Seorang bekas tentera yang mengendalikan kantin akhirnya membawa saya masuk, menyapu minyak pada tangan saya dan berkata, ‘Ini akan menjadikan kamu tahan lasak. Kamu akan bersedia untuk apa-apa sahaja.”
“Halim” meminta BenarNews memetik kenyataannya dengan menggunakan nama samaran bagi memelihara privasinya.
Selama beberapa generasi, sekolah berasrama dan universiti di Malaysia mengekalkan tradisi zaman kolonial dalam bentuk “ragging,” yang juga dikenali sebagai “buli senior,” kata pakar.
Walaupun beberapa alumni melihatnya sebagai satu kaedah pembinaan karakter, terdapat pihak yang lain menanggung parut fizikal dan emosi malah takut untuk bersuara hingga kini.
Baru-baru ini, perbuatan “ragging” mendapat perhatian semula selepas kes terbaru di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan budaya pelajar yang melakukan kekerasan.
Beberapa hari selepas seorang kadet didakwa menekap dada junior dengan seterika panas, polis kini menyiasat satu lagi kes di mana seorang kadet tahun pertama berusia 19 tahun patah tulang rusuk patah dan kecederaan tulang belakang setelah dipijak oleh senior semasa panggilan pemeriksaan malam.
UPNM telah menerima kecaman sejak kematian Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017, yang meninggal dunia akibat kecederaan melecur serius akibat ditekap dengan seterika hampir keseluruhan tubuhnya oleh rakan-rakan sepengajian setelah dituduh mencuri komputer riba.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin mengutuk insiden itu dengan menyifatkan buli secara keras sedemikian “tidak boleh diterima”.
Malah kes itu juga menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Selasa lalu dengan memberi amaran bahawa budaya itu akan “membahayakan kesejahteraan pelajar” dan “merosakkan reputasi universiti negara.”
Susulan kes buli itu, Kementerian Pertahanan telah menambah jumlah jurulatih dan menyusun semula pengawasan di UPNM untuk membendung kes buli, termasuk menambah bilangan pegawai, memperluas penggunaan CCTV, dan menjalankan pemeriksaan asrama lewat malam, kata Menteri Mohamed Khaled di Parlimen pada Khamis.
Bagaimanapun, temu bual BenarNews dengan lebih sedozen bekas pelajar sekolah berasrama dan universiti di Malaysia, termasuk wanita, mendedahkan satu trend yang mengganggu.
Kisah buli di institusi pengajian menunjukkan bahawa amalan kejam seperti dihadapi oleh Allahyarham Zulfarhan dan insiden-insiden terbaru ini tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil.
Mangsa yang dipetik dalam artikel ini meminta BenarNews menggunakan nama samaran dan kekal tanpa nama kerana bimbang berlaku tindakan balas yang tidak diingini.
‘Dipukul, dibuli dengan aktiviti fizikal’
“Saya baru berusia 14 tahun,” kenang “Muhammad,” yang kini berusia 22 tahun.
“Senior menuduh saya biadab, tapi saya tak buat apa-apa pun. Tiba-tiba, seramai 10 orang datang menyerang dan memukul saya dalam keadaan mencangkung.
Trauma itu kekal sampai sekarang, katanya kepada BenarNews.
“Setiap kali saya membaca berita tentang buli atau ragging di sekolah berasrama atau universiti, ia mencetuskan ingatan terhadap memori buruk itu.”
Seorang lagi bekas pelajar sekolah berasrama yang hanya mahu dikenali sebagai “Aiee,” menggambarkan pengalamannya melalui malam tanpa tidur dipenuhi latihan fizikal yang meletihkan, jeritan, dan kadang-kadang diberi “rawatan air” iaitu disimbah dengan air.
“Masa itu tahan sahaja, tidak ada buat aduan dan melalui semua perkara itu,” luahnya kepada BenarNews.
“Tetapi ada kalanya saya patah semangat.”
Namun, bagi sesetengah orang, mereka menganggap ini sebagai hukuman kolektif atas nama ‘semangat berpasukan’.
Seorang bekas pelajar sekolah tentera dikenali sebagai “Ahmad,” yang kini berusia 24 tahun berkata walaupun melalui 'hukuman-hukuman' yang keras semasa orientasi, dia menganggapnya sebagai perkara itu “biasa” dalam kehidupan sekolah berasrama.
“Jika seorang pelajar membuat kesilapan, kami semua dihukum,” katanya kepada BenarNews.
“Contohnya, ada yang tak gosok bajunya dengan betul, jadi kami semua dihukum. Ia mendisiplinkan kami.”
Bagaimanapun, pakar psikologi Zulfikar Ahmad memberi amaran bahawa "ragging" sering mengaburkan garis antara disiplin dan kekejaman, membiarkan penderaan berterusan di bawah nama tradisi.
“Ragging, sama ada emosi, psikologi atau fizikal, meninggalkan parut,” katanya yang juga Pengarah Pusat Perkhidmatan Kaunseling di Universiti Teknologi Malaysia kepada BenarNews.
“Diam secara kolektif menyebabkan amalan itu berterusan kerana mangsa fikir mereka sendirian atau merasa malu untuk membuat laporan.”
Budaya ini tidak boleh dinormalisasi, kata Zulfikar. “Namun, memutuskan kitaran ini sukar, apabila senior yang pernah menjadi mangsa melihatnya sebagai satu ritual atau lebih buruk ia dianggap sebagai cara untuk membalas dendam.”
Sebenarnya, bagi ramai pelajar, satu-satunya cara untuk melepaskan diri daripada ragging ialah untuk mengikutinya atau dia sendiri menjadi pelakunya.
Seorang bekas pelajar sekolah berasrama di negeri Selangor berkongsi bagaimana dia terpaksa menggunakan taktik intimidasi untuk melindungi diri. “Saya menjadi seseorang yang mereka takkan ganggu kerana saya melawan,” katanya sambil meminta identitinya dirahsiakan.
Ibu bapa juga terpaksa bergelut dengan ketakutan dan rasa kecewa. Shazalina Md Said, seorang penjawat awam berusia 42 tahun di Perlis, menghantar anak-anaknya ke sekolah berasrama bagi mendapatkan persekitaran berdisiplin namun mendapati ia termasuk dalam bentuk penderaan psikologi dan fizikal.
“Bila dengar anak kita dipaksa minum air dari botol yang diludah oleh senior, anda mula tertanya-tanya apa lagi penghinaan yang mereka alami,” katanya kepada BenarNews.
“Ini bukan perkara ‘kecil’ tetapi anak-anak saya terlalu takut untuk memberitahu kami.”
Pendekatan toleransi sifar
Sementara itu, Lee Lam Thye, pengerusi Perikatan Komuniti Selamat memberi amaran bahawa tanpa perubahan institusi, pola amalan buli akan berterusan hingga menyebabkan pelajar terjebak dalam trauma akibat ragging.
“Tiada tempat untuk amalan "ragging" dalam sistem pendidikan kita,” kata Lee yang juga bekas Ahli Parlimen kepada BenarNews.
“Kita mesti memandang kepada toleransi sifar. Pendidik mesti mengutamakan keselamatan dan maruah pelajar mengatasi segalanya.”
Beliau mencadangkan dasar ketat anti-ragging yang jelas mentakrifkan tingkah laku yang tidak boleh diterima, serta mekanisme pelaporan yang kukuh, pemantauan asrama dan pendidikan berfokus kepada empati.
BenarNews cuba mendapatkan komen daripada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir, namun kedua-duanya masih belum memberi maklum balas.
Sementara pembaharuan diperdebatkan, ibu bapa seperti Shazalina berkata, mereka hidup dalam ketakutan. “Kami hantar anak-anak ke sekolah untuk belajar dan menjadi orang dewasa yang bertanggungjawab,” katanya tetapi “bukan untuk pulang dalam keadaan hancur.”