Rakyat Malaysia mudah tersinggung, Industri Keterlaluan semakin ghairah menerjah
2024.03.30
Kuala Lumpur
Ketika ini, ramai rakyat Malaysia dilihat begitu mudah melenting dengan sekecil-kecil perkara yang disifatkan sebagai menyinggung sentimen budaya atau agama mereka, demikian menurut penganalisis dan ahli akademik.
Apa yang membuatkan perkara sekecil ini semakin meletup dan bukannya berakhir secara perlahan-lahan ialah 'Industri Keterlaluan' - yang terdiri daripada laporan berita, media sosial dan ahli parti politik - yang telah dewasa atau matang di Malaysia.
Industri ini dilihat begitu ghairah menerjah setiap isu kontroversi, memperbesar-besarkannya dan meletakkan megafon maya di tangan golongan yang terlebih sensitif untuk mengeksploitasi mereka bagi meraih penarafan atau keuntungan politik, kata para pemerhati.
Di negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia di mana konservatisme agama juga semakin meningkat, gabungan kemarahan ini adalah perkara paling membimbangkan ramai pemerhati politik kerana ia berpotensi untuk menyalakan api kemarahan dalam kalangan masyarakat.
Baru sahaja tiga bulan melangkah kaki ke tahun 2024, Malaysia sudah berdepan empat kontroversi besar yang didorong oleh api kemarahan sehingga menyebabkan perpecahan dan gangguan dalam kalangan masyarakat malah ia sebenarnya masih berterusan.
Kekecohan terbaharu ialah tindakan satu rangkaian kedai serbaneka menjual stoking tertera kalimah 'Allah' yang tidak sepatutnya dicetak di atas produk itu, bermula daripada rasa terkilan yang sah di sisi undang-undang.
Namun tindakan telah diambil dan pengasas rangkaian kedai serbaneka itu, seorang lelaki Cina warga Malaysia memohon maaf dan berkata beliau telah menamatkan perkhidmatan pembekal stoking itu.
Bagaimanapun, ia tidak mencukupi bagi sayap pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO, sebuah parti politik yang memerintah Malaysia selama hampir 60 tahun dan mendakwa sebagai pejuang kepentingan Melayu Islam.
Pemuda UMNO bertegas dan menggesa agar rangkaian kedai serbaneka itu diboikot kerana menurut sayap parti politik itu, mereka yang menghina Islam perlu diberi pengajaran.
Tidak lama kemudian, UMNO tampil menyokong gesaan itu kerana ia memang sepatutnya memperjuangkan kepentingan orang Melayu, yang merupakan kaum majoriti di Malaysia.
Bermula pada 2018 iaitu selepas ia kecundang buat pertama kali pada pilihan raya umum, sokongan UMNO dalam kalangan orang Melayu telah merosot secara drastik kerana banyak skandal rasuah yang melibatkan ahlinya.
Pangkalan sokongan tradisional parti itu telah beralih kepada gabungan Perikatan Nasional, yang terdiri daripada Bersatu dan parti Islam konservatif iaitu PAS. UMNO mendakwa keputusannya untuk menyokong boikot itu bukan bermotifkan politik sebaliknya ia bersandarkan kepada moral.
UMNO adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan terdiri daripada Pakatan Harapan, yang berfahaman sekular, pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim namun ia telah menyatakan bahawa pendiriannya tidak akan menjejaskan hubungan dalaman gabungan politik itu.
Para pelajar dan guru memegang karya kaligrafi Cina yang mereka hasilkan untuk acara sempena sambutan Tahun Baharu Cina ketika itu di Sekolah Tinggi Tsun Jin, Kuala Lumpur, 18 Jan 2019. [Lai Seng Sin /Reuters]
Bagaimanapun, Anwar dilihat agak bosan dengan kontroversi mengenai isu stoking itu yang berlarutan walaupun tindakan telah diambil.
“Pandangan saya jelas. … Ada laporan, ada keterlanjuran. Mesti ada tindakan segera. Kemudian keputusan mengikut jalur hukum. Mesti maju terus,” katanya kepada pemberita pada 20 Mac seperti dipetik oleh beberapa media tempatan.
"Jangan kita terus dengan perbincangan ini seolah-oleh ada malapetaka besar dalam negara. Ambil tindakan tegas dan kita kemudian harus maju dalam lapangan yang nak kita terokai.”
Pada satu majlis keesokan harinya, PM itu tidak menyentuh isu kontroversi berkenaan namun telah melontarkan kata-kata yang agak kasar, mungkin kepada mereka yang terus-terusan membangkitkannya.
Anwar berkata perbincangan “jumud” (jahil) dan “lapuk” (terkebelakang) yang tidak berkesudahan akan menghalang pembangunan Malaysia, lapor akhbar New Straits Times.
Penganalisis politik Syaza Shukri pula memaklumkan BenarNews bahawa UMNO memainkan politik identiti dengan bangsa Melayu Islam berhubung reaksinya terhadap kontroversi isu stoking.
"Politik identiti itu sendiri tidak berbahaya jika persefahaman tentang perbezaan kita boleh diuruskan oleh pemimpin yang berwibawa," kata Syaza dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
“Ia menjadi berbahaya apabila ahli politik terbabit tidak cuba menyelesaikan masalah itu sebaliknya mencetuskan lebih banyak masalah. Apa yang kita perlukan ialah negarawan yang melihat politik identiti ini secara positif,” kata profesor madya di Jabatan Sains Politik itu.
Kaum Melayu merangkumi 70 peratus daripada penduduk Malaysia diikuti Cina sebanyak 22.6 peratus dan India 6.6 peratus.
Peserta acara solidariti Kereta Sarong 2023 memegang kad yang tertera perkataan PERPADUAN sempena sambutan Hari Malaysia ke-60 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, 16 Sept 2023. [S.Mahfuz/BenarNews]
Tiga lagi kontroversi baru-baru ini menyaksikan perselisihan antara bangsa Melayu dengan kaum Cina walaupun satu daripadanya turut membabitkan masyarakat India. Malaysia berada dalam keadaan harmoni selepas rusuhan kaum pada 1969 namun dua kumpulan etnik terbesar negara itu dilihat tetap memiliki rasa curiga yang mendalam antara satu sama lain.
Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, pada 1 Feb mengumumkan bahawa kerajaan sedang merancang untuk mencalonkan tiga kampung baru Cina bagi mendapatkan status Warisan Dunia UNESCO.
Bekas penjajah British di Malaysia telah menangkap warga Malaysia berketurunan Cina kerana disyaki mempunyai hubungan dengan Komunis di kampung terbabit.
Beberapa minggu kemudian, warta kerajaan menyiarkan pengumuman bahawa pesuruhjaya warisan telah menamakan sajian tradisi kaum Cina di Malaysia iaitu daging babi herba atau bak kut teh, sebagai antara 10 objek warisan negara.
Kontroversi ketiga pula melanda selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan sekolah vernakular adalah berperlembagaan dan menolak permohonan rayuan dua NGO bagi membatalkan keputusan mahkamah rendah yang turut membuat keputusan bahawa sekolah itu adalah sah di sisi undang-undang.
Ramai orang Melayu naik angin apabila perkampungan Cina dicalonkan untuk Status Warisan Dunia UNESCO. Mereka berkata terdapat banyak kampung di Malaysia yang jauh lebih tua. Malah sebilangan rakyat Malaysia yang berbangsa Cina juga tidak berpuas hati dan berkata kerajaan tidak perlu menjadikan apa yang pada asalnya ialah kem tahanan sebagai tapak warisan.
Menyentuh isu bak kut teh, parti konservatif Islam iaitu PAS dan UMNO berang kerana sajian berasaskan babi diberi status warisan negara di Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam. Penganut Islam tidak dibenarkan makan daging babi.
Ramai dalam masyarakat Cina di Malaysia pula mendakwa kaum majoriti Melayu menindas golongan minoriti.
Sekolah vernakular untuk kaum Cina dan India menyebabkan berlaku perpecahan di negara ini, dakwa UMNO. Parti itu berkata demi keharmonian kaum, perlu ada sistem pendidikan yang bersepadu.
Masyarakat Cina dan India pula berkata mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah terbabit supaya mereka boleh belajar bahasa ibunda masing-masing.
Pada masa lalu, perselisihan serupa turut timbul antaranya berkaitan sambutan Krismas, Hari Valentine dan Oktoberfest.
Kanak-kanak India mengukir senyuman kepada jurufoto ketika menunggu bas mereka di sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil di Batang Berjuntai, kira-kira 100 kilometer (62.1 batu) barat Kuala Lumpur, 18 Feb 2008. [Stringer/AFP]
Bagi Azmil Mohd Tayeb, dari Universiti Sains Malaysia, semua kontroversi ini adalah petanda betapa terpolarisasinya Malaysia.
"Kumpulan berbeza berundur ke dalam cengkerang masing-masing dan menjadi mudah melenting oleh sebarang persepsi yang meremehkan identiti mereka," kata profesor madya di Pusat Pengajian Sains Sosial universiti itu kepada BenarNews.
Beliau berkata isu "etno-agama" ini boleh bertukar menjadi berbahaya dan toksik jika dibiarkan berlarutan.
"Orang hanya akan memfokus kepada perbezaan di antara mereka, yang akan terus memperdalam kebencian dan melebarkan polarisasi. Ia berbahaya dan perkara yang perlu dijauhi oleh Malaysia secara perlahan-lahan,” katanya.
Kesemua isu ini timbul kerana ramai yang tidak menghormati kepelbagaian, kata S. Shashi Kumar, Presiden Yayasan Hak Asasi Manusia Global.
“Tindakan tidak bertoleransi antara kaum dan agama memburukkan lagi ketegangan serta perpecahan dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada BenarNews.
“Kesemua perbuatan ini bukan sahaja mempamerkan kejahilan dan ketidakpekaan individu tertentu tetapi juga menyerlahkan keperluan untuk lebih memahami serta menghormati kepelbagaian di negara ini,” katanya.
Sementara itu, "Kemarahan yang melampau" di media sosial, seperti yang dilihat oleh seorang lagi pemerhati, mampu menjadi tidak terkawal dan membawa kepada isu yang boleh menyebabkan ia meletup dan bukannya berakhir secara perlahan-lahan.
Menurut Helen Ting Mu Hung dari Universiti Kebangsaan Malaysia, ketidakpuasan hati wujud kerana golongan minoriti menyifatkan diri mereka menjadi sasaran ketaksamarataan dan dipinggirkan oleh perlembagaan negara.
“Lebih bermasalah, mereka yang menyuarakan pandangan melampau secara terbuka di media sosial, terutama yang menentang golongan minoriti, boleh melepaskan diri tanpa sebarang masalah, berbeza dengan mereka yang mengkritik golongan majoriti atau pihak berkuasa, sesetengahnya berdepan tindakan keras undang-undang dengan pantas,” kata profesor madya di Institut Pengajian Malaysia dan Antarabangsa universiti itu.
"Ketiadaan keadilan ini mungkin faktor yang gagal untuk meredakan rasa dendam yang berlarutan terutama apabila perkara itu dilihat dari kaca mata yang berbaur perkauman."
Menerusi laporan pada tahun 2018 iaitu 'Outrage in Malaysia: The Politics of Take Offence,' pengarang Julian C. H. Lee berkata dalam kekecohan yang melanda negara Asia Tenggara itu, “kumpulan dan individu etno-agama minoriti dikatakan telah melakukan kesalahan kerana menyinggung perasaan penduduk majoriti Melayu Islam.”
Lee berkata kesalahan itu dicirikan "sebagai pelanggaran sensitiviti yang tulen."
"[Saya] berhujah bahawa politik kesalahan sebegini perlu dilihat sebagai untuk kegunaan politik yang dipegang oleh mereka yang mendakwa mewakili kumpulan majoriti yang kononnya telah tersinggung."
Noah Lee di Kuala Lumpur, turut menyumbang kepada laporan ini.