Suasana 'Normal Baru' Sambut Ramadan di Malaysia

Hadi Azmi
2020.04.24
Kuala Lumpur, Malaysia
200424-MY-SolatTarawih1000.jpg Sebuah keluarga menunaikan ibadah solat Tarawih dengan hanya berjemaah bersama ahli keluarga di rumah mereka di Kampung Segambut, Kuala Lumpur, selepas Malaysia memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mematikan rangkaian jangkitan COVID-19, 24 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Ketibaan Ramadan di Malaysia disambut dengan penuh kesuraman dan sepi selepas dibayangi oleh pandemik COVID-19 sehingga menyebabkan berlakunya perubahan tradisi apabila kerajaan mengambil langkah mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lepas.

Umat Islam di seluruh negara itu memulakan ibadat berpuasa dalam suasana ‘normal baru’ berikutan arahan kerajaan yang tidak membenarkan segala bentuk pergerakan dan perhimpunan besar-besaran semasa langkah memerangi pandemik itu sedang berjalan.

Masjid-masjid yang biasanya dipenuhi dengan umat Islam kini kosong manakala kawasan yang sentiasa sibuk dengan bazar Ramadan menjadi sunyi sepi dan pihak berkuasa agama merintahkan solat Tarawih di buat di rumah masing-masing.

Bercakap kepada Berita Benar, Yusof Majni, 29, berkata beliau terkesan apabila melihat gambar suasana solat Tarawih di Masjid Negara di ibunegara Kuala Lumpur hanya dilakukan oleh empat orang jemaah dalam keadaan penjarakan sosial di masjid utama negara itu.

“Semalam apabila saya lihat gambar di Masjid Negara, cuma empat orang sahaja solat Tarawih, ia betul-betul buat saya sedar yang Ramadan tahun ini memang berbeza dan akan saya ingat sampai bila-bila,” kata Yusof.

Beliau yang merupakan bekas penuntut sebuah sekolah hafalan Al-Quran dan tahfiz di Rawang, Selangor, selalunya dijemput untuk menjadi imam solat Tarawih di sekitar kawasan Gombak berbekalkan pengetahuannya tentang kitab suci umat Islam itu.

“Dulu hampir setiap malam yang akan menjadi imam dan sejak awal-awal lagi sudah dijemput oleh surau-surau. Tapi tahun ini semua terpaksa membatalkannya, sebab masjid dan surau pun diarahkan tutup, jadi tak apalah,” kata beliau.

Ditanya sama ada situasi ini memberi impak kepada pendapatan beliau, Yusof berkata ia sedikit sebanyak memberi impak namun itu bukan perkara utama baginya.

“Memang saya diberikan sumbangan bagi setiap malam saya menjadi imam, namun itu bukan kerisauan saya. Yang lebih penting lagi ialah bagaimana perasaan umat Islam memasuki bulan yang mulia ini dalam keadaan sebegini,” jelas beliau.

Bagi memudahkan rakyat menghadapi Ramadan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bertanggungjawab menyelaras dasar kerajaan sepanjang tempoh PKP memberi kelonggaran kepada pasar awam untuk beroperasi dari jam 6 pagi hingga 2 petang berbanding hanya sehingga 12 tengahari sebelum ini.

Selain itu pengangkutan awam juga dibenarkan beroperasi sejam lebih awal pada sesi petang iaitu dari 4 petang hingga 10 malam berbanding dari jam 5 petang sebelum ini.

Malaysia yang masih berdepan dengan penularan wabak COVID-19 yang menyaksikan penambahan 88 kes positif baharu dan satu kes kematian pada hari pertama Ramadan telah melanjutkan 14 hari lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei depan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang membuat pengumuman itu pada malam Khamis turut tidak menolak kemungkinan tempoh itu akan dilanjutkan lagi jika wabak masih menular.

“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini. Ini bermakna, saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut hari raya di kampung.

“Saudara-saudari masih tidak boleh bekerja, kecuali bagi mereka yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan. Perniagaan juga masih belum boleh dibuka sepenuhnya,” kata beliau.

Keputusan kerajaan itu menimbulkan kegusaran kepada rakyat Malaysia yang terhimpit dengan masalah pendapatan akibat tidak mampu bekerja.
Penjual burger, Khairul Hafizi Said, 34, berkata beliau kini kehilangan 80 peratus sumber pendapatan sejak pelaksanaan PKP yang menyebabkan beliau terpaksa beralih kepada penjualan secara dalam talian.

“Sebelum ini saya dapat memperoleh antara RM750 (AS$172) dan RM1,500 (AS$344). Tapi kini paling tinggi boleh dapat hanya dalam RM150(AS$34) ke RM230 (AS$53),” kata Khairul yang berpengalaman menjual burger jalanan selama 14 tahun.

Beliau turut cuba untuk berniaga secara atas talian melalui program yang dianjurkan Majlis Perbandaran Subang Jaya, namun masih dalam proses pendaftaran.

“Saya hanya boleh berniaga minggu depan setelah selesai melalui saringan COVID-19,” jelas beliau.

Selain kumpulan berpendapatan rendah, PKP turut memberi kesan kepada golongan berpendapatan sederhana dan tinggi seperti jurufoto fesyen Hazri Amri Jamaludin, 36, yang terpaksa berniaga juadah Ramadan untuk mencari sumber pendapatan.

“Sebelum ini hidup saya agak selesa, dengan pendapatan sekitar RM3,000 (AS$688) untuk satu-satu projek dan dalam sebulan mungkin ada 3 atau 4 projek, bergantung kepada keadaan.

“Tapi projek terakhir saya adalah pada awal Februari lalu dan sejak dari itu saya putus sumber pendapatan,” kata beliau kepada BeritaBenar.

Tanpa simpanan yang mencukupi, beliau kini membantu rakan-rakan dengan menjadi ejen penjualan juadah berbuka puasa seperti nasi briyani dan murtabak.

“Kawan yang masak, saya bantu jual dengan dapat sedikit komisyen. Saya bercadang kalau PKP dilanjutkan lagi saya mungkin terpaksa menjual peralatan kerja saya seperti kamera untuk membeli keperluan,” jelas beliau.

Mungkin tidak puasa

Di barisan hadapan dalam perjuangan menentang wabak COVID-19, Ann, seorang doktor di Hospital Sungai Buloh berkata kedatangan bulan Ramadan pastinya membawa cabaran baru kepada beliau dan rakan-rakan sekerja yang telah bekerja hampir tiada henti sejak penularan wabak itu awal Mac lalu.

“Ramai sudah tahu sekarang situasi kami lebih-lebih lagi bila memakai pakaian PPE yang membuatkan kami berpeluh dan terdehidrasi.

“Mungkin jika situasi menjadi terlalu mendesak, saya terpaksa untuk tidak berpuasa untuk memastikan saya tidak ‘tumbang’ ketika bertugas dan menjadi beban kepada teman-teman yang lain,” kata beliau kepada BeritaBenar.

Katanya jika seorang doktor pengsan akibat keletihan, kesannya amat dirasai kerana pihak hospital akan kekurangan kakitangan dan doktor lain yang sedang berehat terpaksa dipanggil untuk menggantikannya.

“Tiada siapa mahu menjadi beban sebegitu,” tambah beliau.

Bulan Ramadan yang bermula pada 24 April tahun ini dijangka berakhir pada 23 Mei, 10 hari selepas tamat tempoh PKP fasa ke-empat pada 12 Mei.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.