Aktivis OKU Malaysia terima anugerah di Washington
2023.03.10
Washington
Seorang aktivis golongan kurang upaya Malaysia yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Wanita Berani oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat menggesa ibu bapa agar mendapatkan intervensi awal bagi kanak-kanak kurang upaya manakala masyarakat secara amnya hendaklah menghormati, memahami dan menerima mereka.
Dilahirkan dalam keadaan normal, Ras Adiba Radzi menjadi lumpuh kekal daripada bahagian pinggang ke bawah selepas terlibat dalam kemalangan kereta, diserang dan terjatuh dari tangga. Beliau kemudian mengambil keputusan untuk mengabdikan diri dalam memperjuangkan hak dan nasib golongan kurang upaya, katanya.
“Saya telah menyaksikan diskriminasi serta stigma [terhadap] orang kurang upaya dan pasukan saya, maka saya teruskan perjuangan dan sentiasa berjuang,” kata Ras Adiba, 54, dalam satu majlis yang berlangsung pada Rabu di Rumah Putih.
“Saya telah bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan aksesibiliti dalam infrastruktur, penglibatan OKU, peluang pekerjaan, pendidikan inklusif, perumahan dan menegakkan hak kami, antara lain.”
Seorang pembaca berita terkenal, beliau terus membaca berita dengan berkerusi roda selain menjadi atlet paralimpik dalam acara menembak sebelum dilantik sebagai senator bagi mewakili golongan kurang upaya. Dari November 2020 hingga Januari 2023, beliau melakar sejarah sebagai wanita pertama menyandang jawatan Pengerusi agensi berita nasional Malaysia - Bernama.
Ras Adiba turut mencatat rekod kebangsaan kerana 'berkerusi roda' sejauh 420 kilometer (260 batu) dalam tempoh 13 hari dari Johor Bahru ke Putrajaya, menurut biografi yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS.
“Kita harus memastikan bahawa kita sentiasa mewujudkan kesedaran bagi membolehkan orang ramai tahu tentang kita dan menyokong kita,” katanya kepada BenarNews di Washington. "Jadi, kita perlu bergerak secara positif. Kita harus menghormati, memahami dan menerima golongan kurang upaya dalam komuniti.”
Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan bahawa 1.3 bilion orang hidup dengan keadaan kurang upaya ketara, yang mewakili 16 peratus daripada populasi dunia, atau seorang daripada setiap enam orang.
Kanak-kanak daripada golongan kurang upaya harus diberikan sokongan sepenuhnya seawal mungkin, kata beliau.
“Kita harus sentiasa memastikan bahawa kita memberikan kanak-kanak itu pendidikan yang mereka perlukan. Kita tidak seharusnya meminggirkan kanak-kanak itu daripada menjadi seorang atlet paralimpik, ahli perniagaan bertaraf jutawan atau hartawan suatu hari nanti.”
Semasa majlis pada Rabu itu, Wanita Pertama Jill Biden berucap kepada generasi berikutnya.
“Hari ini kita ingin memaklumkan para gadis di mana sahaja anda berada mengenai kebenaran yang mereka perlu tahu: Ya, anda sememangnya begitu bermakna. Ya, anda juga mampu lakukan perubahan,” katanya. “Itulah sebabnya kami ingin bawakan semua tokoh yang menerima anugerah hari ini, dan kisah-kisah yang mereka kongsikan, ke pentas terbesar yang kita mampu iaitu Rumah Putih.
“Para gadis di mana-mana sahaja perlu tahu bahawa terdapat wanita yang sentiasa memperjuangkan nasib mereka dan berjaya. Membuka pintu, mentransformasi sekolah, masyarakat dan kerajaan, membina dunia yang lebih baik untuk kita semua.”
Semasa temubual bersama BenarNews pada Khamis, Ras Adiba bercakap mengenai isu kekurangan kaum hawa dalam politik di Malaysia, yang menyaksikan daripada sejumlah 222 Ahli Parlimen, hanya 30 penyandangnya adalah wanita manakala di Dewan Negara yang mempunyai 70 ahli, hanya sembilan daripadanya adalah wanita.
Ditanya bagaimana situasi ini boleh diubah, beliau berkata satu daripada caranya ialah mendesak agar golongan wanita membuktikan kebolehan mereka.
“Kita fikir kita tidak boleh lakukan itu dan ini namun golongan hawa di Malaysia adalah antara wanita yang paling luar biasa di dunia, pada pandangan saya,” katanya.
Senator Ras Adiba Radzi semasa ditemubual oleh BenarNews di Jabatan Negara Amerika Syarikat di Washington, 9 Mac 2023. [Gemunu Amarasinghe/RFA]
Ras Adiba turut menceritakan perasaannya selepas mengetahui bahawa beliau telah terpilih untuk menerima penghormatan itu.
“Ketika mendapat tahu bahawa saya antara 11 individu yang terpilih untuk menerima Anugerah Wanita Berani di dunia, saya agak terkejut sehingga menitiskan mata. Sebenarnya anugerah ini bukan untuk saya sahaja, ia adalah satu pengiktirafan buat Malaysia terutama golongan wanita dan para gadis di tanah air,” katanya kepada BenarNews.
“Saya akan kembali ke tanah air dan berkongsi pengalaman saya di sini, kemudian saya akan berganding bahu dengan kaum hawa dan para gadis di Malaysia untuk menentukan bagaimana kita boleh saling bantu membantu,” katanya. “Kita mampu bangkit bersama dan melakukan perkara-perkara luar biasa yang sebelum ini kita tidak fikir kita boleh capai.”