Siasatan terhadap pegawai bekas PM Ismail Sabri timbulkan persoalan
2025.02.25
Kuala Lumpur

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap empat bekas pegawai kanan bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob melibatkan kes rasuah dan pengubahan wang haram menimbulkan persoalan apabila pengkritik melihat ia sebagai "serangan" terbaru terhadap sekutu rapat bekas pemimpin tertinggi kerajaan oleh pentadbiran Anwar Ibrahim.
Penganalisis melahirkan kebimbangan kerajaan tidak menangani sepenuhnya tuduhan menyatakan kempen anti-rasuah Anwar hanya menumpukan kepada musuh politik.
“Anwar perlu membuktikan bahawa usaha membanteras rasuah ini tidak berat sebelah dan tidak digunakan sebagai alat untuk menekan lawan politik," kata Azmil Mohd Tayeb, profesor madya sains politik Universiti Sains Malaysia kepada BenarNews.
Dalam kes terbaru itu pada Jumaat lalu, SPRM menahan bekas pegawai Ismail Sabri selepas pegawai suruhanjaya itu menemukan wang tunai RM100 juta [AS$22.7 juta] di kediaman salah seorang suspek.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan kesemua empat individu yang ditahan itu disiasat atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram namun mereka telah dibebaskan dengan jaminan selepas tempoh reman tamat pada 23 dan 25 Februari.
"Kami akan terus memanggil saksi, termasuk individu ternama dan mengumpul bukti selaras dengan perkembangan siasatan,” kata Azam kepada BenarNews.
Setakat ini, SPRM masih belum menyoal siasat Ismail Sabri kerana beliau sedang menjalani rawatan di sebuah hospital swasta selepas pengsan di kediamannya pada Sabtu lalu akibat tekanan darah tinggi.
Ismail Sabri yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-9, memegang jawatan dalam tempoh paling singkat iaitu dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kempen anti-rasuah Anwar dipertikai
Sebaik Perdana Menteri Anwar mengambil alih tampuk pemerintahan pada November 2022, beliau berikrar untuk membanteras rasuah dan beliau sering mengulangi tentang kepentingan tatakelola kepada pemimpin dan kakitangan awam.
Sejak itu, banyak tangkapan dilakukan namun terdapat kritikan yang mendakwa kempen tersebut digunakan untuk menekan pengkritik kerajaan dan menyingkirkan musuh politik.
Meskipun Anwar berulang kali menafikan campur tangan dalam siasatan SPRM, sekutu beberapa bekas perdana menteri termasuk bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Daim Zainuddin mendakwa sebaliknya.
Daim dan isterinya, Na’imah Abdul Khalid, didakwa di mahkamah pada 2023 kerana gagal mengisytiharkan aset. Mereka mendakwa tuduhan tersebut bermotifkan politik.
Daim merupakan sekutu rapat kepada bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang juga seteru politik lama Anwar.
Selepas Daim meninggal dunia pada 13 November tahun lalu, semua pertuduhan terhadap beliau telah digugurkan, namun kes membabitkan balunya masih diteruskan.
Mahathir, yang kini berusia 99 tahun turut mendakwa Anwar menyalahgunakan siasatan terhadap dua anaknya, Mokhzani dan Mirzan, sebagai satu bentuk tekanan politik yang disasarkan ke atas beliau.
Tahun lalu, SPRM mengesahkan bahawa siasatan itu merupakan sebahagian daripada siasatan lebih luas terhadap bekas pemimpin tersebut.
Bekas Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin Yassin turut tidak terlepas daripada siasatan SPRM.
Pada 2023, beliau didakwa di mahkamah atas beberapa pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan program bantuan COVID-19 yang diperkenalkan semasa pentadbirannya ketika pandemik.
Pada awalnya, mahkamah menggugurkan kes itu atas sebab teknikal. Namun, Mahkamah Rayuan kemudian mengembalikan semula pertuduhan tersebut selepas mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf membuat keputusan membebaskan Muhyiddin.
Perbicaraan bagi pertuduhan penyalahgunaan kuasa dijadualkan berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selama 11 hari, bermula 17 September depan.

Tidak berat sebelah
Sambil merujuk kepada kes Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, penganalisis politik Azmil berkata kempen anti-rasuah Anwar tidak akan dilihat mempunyai kredibiliti selagi kes rasuah melibatkan sekutunya dalam kerajaan digugurkan.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO telah dibebaskan daripada 40 pertuduhan berkaitan rasuah dalam kes sistem visa luar negara pada 2022. Pihak pendakwaan pada mulanya mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu tetapi menarik balik rayuan tersebut tahun lalu.
Mahkamah juga melepas tanpa membebaskan (DNNA) beliau bagi 47 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan sebuah yayasan kebajikan keluarganya.
Penganalisis politik Syaza Shukri berpendapat meskipun SPRM sedang menyiasat kes rasuah membabitkan bekas anggota pentadbiran lalu, persoalan utama ialah mengapa kes terhadap sekutu dalam kerajaan semasa seperti Ahmad Zahid kelihatan terhenti.
Bagaimanapun, beliau tidak melihat terdapat kaitan antara siasatan ke atas bekas pegawai-pegawai Ismail Sabri dengan Anwar.
“Saya tidak melihat Ismail Sabri sebagai sekutu rapat Mahathir. Saya tidak merasakannya begitu, tetapi mungkin saya silap. Namun, Ismail Sabri berada dalam kem UMNO yang berbeza daripada Zahid,” kata profesor madya sains politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu lagi.
Ketika Muhyiddin memegang jawatan Perdana Menteri, krisis dalaman UMNO menjadi lebih ketara apabila beliau melantik Ismail Sabri, yang ketika itu Naib Presiden UMNO, sebagai Timbalan Perdana Menteri dan bukannya Presiden parti, Ahmad Zahid.
Keputusan ini dibuat kerana Ahmad Zahid sedang berdepan dengan pertuduhan rasuah.
Ismail Sabri bukan ancaman kepada Anwar
Azmi Hassan, penganalisis geostrategik menganggap Ismail Sabri bukan ancaman kepada Anwar atau Ahmad Zahid sekali gus menolak siasatan ke atas bekas pegawai-pegawainya itu sebagai langkah politik untuk menyingkirkan seteru kedua-dua pemimpin kerajaan tersebut.
“Saya tidak melihat Ismail Sabri sebagai ancaman kepada Anwar. Malah, kepada Zahid Hamidi pun, beliau bukan ancaman sebenar. Jadi, adakah ini satu langkah politik untuk menyingkirkan musuh Anwar atau Zahid? Saya tidak fikir begitu.”
“Tetapi dalam kes rasuah, tidak ada masa yang baik atau buruk untuk bertindak. Seperti Azam Baki katakan, apabila ada bukti, kita perlu bertindak. Saya percaya itulah yang berlaku dalam kes pegawai-pegawai Ismail Sabri,” kata Azmi yang juga felo kanan Nusantara Academy for Strategic Research.
Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.