Mahasiswa Sabah sambut tahun baharu dengan tuntutan henti rasuah

Perhimpunan anti-rasuah yang dianjurkan mahasiswa dan aktivis belia itu mungkin memberikan impak kepada pilihan raya Sabah, kata penganalisis.
Iman Muttaqin Yusof
2024.12.31
Kuala Lumpur
Mahasiswa Sabah sambut tahun baharu dengan tuntutan henti rasuah Ratusan pelajar yang menamakan diri sebagai Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah yang menuntut rasuah dihentikan berarak menuju ke pusat pentadbiran negeri Sabah di Kota Kinabalu, Sabah, 31 Disember 2024.
[Aming Johar/BenarNews]

Menjelang sambutan malam tahun baharu 2025, sekumpulan belia Sabah berhimpun menuntut agar amalan rasuah dihentikan dengan menuju mesej itu kepada kepimpinan kerajaan negeri dan Yang Dipertua negeri baru dilantik, Musa Aman yang pernah terpalit isu rasuah operasi pembalakan ketika menjadi ketua menteri.

Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah yang dianjurkan kumpulan mahasiswa dan aktivis belia itu menuntut kerajaan yang mereka dakwa bergelumang dengan gejala rasuah agar mengamalkan ketelusan dan integriti.

Penganalisis menganggap, perhimpunan anti-rasuah tersebut berkemungkinan memberikan impak kepada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17) yang dijadual berlangsung pada 2025.

"Tahun ini adalah sambutan tahun baharu tanpa rasuah, Sabah tanpa korupsi. Walaupun disediakan pihak polis bertopi merah [Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU)], berperisai bahkan ada yang bersenjata.

"...tetapi kami tidak takut kerana mahasiswa, kawan-kawan rakyat Sabah tidak membawa senjata melainkan luahan kemarahan untuk dihadirkan di depan Ketua Menteri Sabah dan (Yang Dipertua negeri) Musa Aman.

"Mari turun beramai-ramai ke pesta rakyat sambut tahun baharu Sabah tanpa rasuah,” kata penyelaras perhimpunan, Fadhil Kasim kepada media pada Selasa.

Kumpulan itu merancang mengadakan perhimpunan tersebut sehingga pukul 1 pagi bersekali dengan sambutan tahun baharu 2025.

Protes yang diterajui oleh kumpulan penuntut Suara Mahasiswa dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menyaksikan para peserta berarak sejauh lima kilometer dari pintu gerbang universiti ke Menara Kinabalu, Kota Kinabalu yang menempatkan ibu pejabat pentadbiran kerajaan Sabah.

SABAH_DEMO_05.jpg
Anggota polis mengawal kumpulan pelajar yang menggelar diri mereka sebagai Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mengadakan perhimpunan di hadapan pusat pentadbiran negeri Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, 31 Disember 2024. [Aming Johar/BenarNews]

Simbol kemarahan terhadap rasuah

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum himpunan itu, Suara Mahasiswa berkata perhimpunan tersebut mencerminkan kekecewaan masyarakat terhadap rasuah yang melibatkan ahli politik kerajaan dan pembangkang.

“Ini adalah simbol kemarahan dan rasa jijik rakyat yang telah lama terpendam terhadap rasuah, bukan sahaja oleh ahli politik dalam pentadbiran kerajaan malah di pihak pembangkang,” kata kumpulan itu.

Perhimpunan itu berlangsung selepas tersebarnya video viral yang mendakwa lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor didakwa terbabit dalam perbincangan dengan seorang ahli perniagaan mengenai lesen perlombongan.

Pendedahan itu, yang pertama kali dilaporkan portal dalam talian Malaysiakini telah mencetuskan semula kebimbangan mengenai kepimpinan Sabah yang terpalit isu rasuah.

Pada November lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan mengesahkan telah menerima aduan seorang ahli perniagaan di Sabah yang disyaki terbabit dalam isu dakwaan rasuah berkaitan projek mineral di negeri itu.

"Setakat ini, lima orang ADUN telah dipanggil untuk dirakam percakapan dan siasatan masih giat dijalankan,” kata SPRM.

Dalam pada itu, pelantikan Musa sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah berkuat kuasa pada 1 Januari mencetuskan kontroversi berikutan kes rasuah sebanyak AS$63 juta yang pernah beliau hadapi.

Beliau bernasib baik apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2020 membuat keputusan melepas dan membebaskan beliau daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan kontrak konsesi balak di Sabah setelah pihak pendakwaan enggan meneruskan pertuduhan tersebut.

Namun pengkritik melihat kembalinya bekas ketua menteri yang pernah berkuasa selama 15 tahun hingga 2018 ke dalam struktur pentadbiran negeri Borneo itu sebagai satu langkah ke belakang.

Sebagai tindak balas terhadap demonstrasi anti-rasuah itu, kumpulan penyokong Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor turut mengadakan perhimpunan Sabahans Rise Up dengan Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun menyatakan kedua-dua dua kumpulan itu hanya mampu menggerakkan kira-kira 300 peserta.

“Sekitar 300 orang menyertai kedua-dua perhimpunan. Lebih 400 anggota polis dikerahkan untuk menjaga ketenteraman,” kata Jauteh kepada BenarNews, sambil menambah jumlah anggota dikurangkan pada waktu malam untuk memberikan fokus pada sambutan tahun baharu di Kota Kinabalu.

Walaupun polis tidak membenarkan perhimpunan belia itu atas alasan kebimbangan terhadap ketenteraman awam, Suara Mahasiswa tetap meneruskannya dengan menganggap protes itu sebagai perjuangan demi masa depan Sabah.

SABAH_DEMO_01.jpg
Anggota polis membuat kawalan terhadap anggota Pertubuhan Lima Generasi (PLG) yang turut berhimpun bagi menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor sebagai tindak balas kepada perhimpunan anti-rasuah oleh kumpulan mahasiswa di Kota Kinabalu, Sabah, 31 Disember 2024. [Aming Johar/BenarNews]

Kesan kepada pilihan raya negeri Sabah

Dalam pada itu, pakar strategik, Azmi Hassan yang juga felo kanan di Akademi Nusantara menyifatkan perhimpunan anti-rasuah itu sebagai langkah signifikan berikutan penglibatan aktivis muda.

“Mesejnya jelas iaitu rasuah tiada tempat di Sabah mahupun Malaysia,” kata Azmi kepada BenarNews.

“Perhimpunan ini mungkin memberikan impak kuat kepada pilihan raya negeri akan datang.”

Sebelum ini seorang wakil rakyat membuat jangkaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berkemungkinan dibubarkan pada Ogos depan bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Ruddy Awah dilaporkan berkata jangkaan itu bersesuaian dengan tempoh DUN Sabah yang dijadualkan tamat pada Oktober depan sekali gus menolak pembubaran DUN lebih awal meskipun terdapat desakan sedemikian.

Kerajaan Sabah pimpinan Hajiji dari parti GRS menerima sokongan majoriti 44 wakil rakyat daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Pakatan Harapan dan UMNO.

Politik Sabah nyaris tergugat apabila Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Bung Moktar Radin pada 2023 menarik balik sokongan terhadap Hajiji namun tidak semua wakil rakyat parti itu berbuat demikian sekali gus menyelamatkan kedudukan Hajiji.

James Chin, profesor sains politik di Universiti Tasmania, Australia pula berpendapat, pelantikan Musa secara simboliknya telah mencalarkan kedudukan pejabat Yang Dipertua Negeri Sabah.

“Meskipun peranan Yang Dipertua Negeri hanya bersifat istiadat, reputasi Musa Aman telah menyeret institusi tertinggi negeri itu ke kancah kontroversi. [Namun] rakyat Malaysia menganggap rasuah menjadi sebahagian daripada sistem politik,” katanya.

Sebagai contoh, pada 2017, kes melibatkan Jabatan Air Sabah mengejutkan negara apabila SPRM merampas wang tunai RM52 juta [AS$11.6 juta], kereta mewah, jam tangan, beg tangan dan dokumen geran tanah dari rumah pegawai jabatan tersebut.

Awang Mohd Tahir Mohd Talib, bekas pengarah jabatan itu, isterinya Fauziah Piut dan bekas timbalan pengarah Lim Lam Beng telah didakwa dengan pelbagai tuduhan pengubahan wang haram berkaitan kes tersebut dengan mahkamah menetapkan tarikh pada Februari dan April depan sebagai tarikh untuk mereka membela diri.

Karikatur korupsi, pereka grafik ditahan polis

Dalam perkembangan lain, pereka grafik Malaysia Fahmi Reza yang sering mencetus kontroversi telah ditahan di Kota Kinabalu pada Isnin atas dakwaan hasutan selepas menerbitkan karikatur mirip Musa Aman yang bertanjak sambil menggigit wang kertas RM100 [AS$22].

Karya seni itu, yang menjadi viral di media sosial menyebabkan lebih 30 laporan telah dibuat termasuk daripada sebuah pertubuhn bukan kerajaan (NGO) tempatan, menurut laporan media tempatan.

“Fahmi kini berada dalam tahanan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang ke Kuala Lumpur,” kata Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh.

Terdahulu laporan media menyebut Fahmi ditahan reman selama sehari atas siasatan kes membabitkan karikatur satira tersebut.

fahmi-reza-(1)(1).png
Pereka grafik Mohd Fahmi Reza mengangkat bingkai karikatur satira anti-rasuah setelah memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, 19 Disember 2024. [Ihsan Fahmi Reza melalui Facebook]

Ketua Polis Penampang, Sammy Newton dipetik sebagai berkata Fahmi disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas perbuatan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Pelbagai kumpulan dan individu telah mengecam penahanan Fahmi, menuntut pembebasannya segera serta mengkritik tindakan undang-undang terhadapnya sebagai serangan terhadap kebebasan bersuara.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan rasa tidak bersetuju Fahmi ditangkap atau didakwa susulan karikatur satira yang dipercayai memperlekehkan pelantikan Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.

Anwar berkata beliau secara peribadi tidak percaya bahawa semua kritikan terhadap kerajaan atau perdana menteri memerlukan siasatan polis.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan jika ia membabitkan hasutan agama dan Raja-Raja Melayu, perkara itu di luar bidang kuasanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.