Malaysia: 1,980 Pendatang Asing Daftar Melalui Dua Program Pemutihan Terbaru

Hadi Azmi
2020.12.04
Kuala Lumpur
Malaysia: 1,980 Pendatang Asing Daftar Melalui Dua Program Pemutihan Terbaru Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud menunjukan pelan dua program rekalibrasi secara detail kepada media di Ibupejabat Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya, Malaysia, 4 Disember 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Selepas tiga minggu Putrajaya menlancarkan program pemutihan kepada pendatang tanpa izin, hanya 1, 980 pendatang dan 478 majikan telah mendaftar untuk mengambil peluang menyertai dua program pengampunan terbaru diperkenalkan Malaysia dengan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud pada Jumaat membentangkan perincian prosedur serta kos program tersebut.

Ketua Pengarah itu juga mengakui berlakunya kelewatan berhubung penyampaian maklumat mengenai Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dilancarkan pada 16 November lepas yang katanya disebabkan oleh pandemik COVID-19, tetapi semua masalah itu telah diatasi jabatan berkenaan.

"Sejak 16 November hingga 2 Disember, Jabatan Imigresen telah menerima permohonan daripada 478 majikan dan 1,980 pekerja asing tanpa izin yang kini bekerja dengan mereka [majikan]. Berdasarkan perkiraan kasar kami, jumlah sasaran sekitar 200 hingga 250, 000 pendatang tanpa izin akan mengikuti program ini," kata Khairul Dzaimee pada sidang media di Putrajaya pada Jumaat.

Beliau berkata, mereka yang memasuki negara itu secara haram bagaimanapun tidak layak mengikuti program rekalibrasi tenaga kerja sebaliknya akan dihantar pulang di bawah program rekalibrasi pulang.

Program rekalibrasi pulang membenarkan semua pendatang asing pulang ke negara asal secara sukarela dengan tertakluk kepada syarat seperti ditetapkan kerajaan, manakala program rekalibrasi tenaga kerja pula adalah program yang membolehkan pendatang tanpa izin dijadikan pekerja asing yang sah di Malaysia.

“Majikan perlu membayar sehingga RM3,555 (AS$872) bagi setiap pekerja asing yang mahu diputihkan melalui program tersebut yang merangkumi 'kos rekalibrasi’ sebanyak RM1,500 (AS$369) dan levi RM1,850 (AS$455) bagi sektor pembinaan dan pembuatan manakala RM640(AS$157) bersama bayaran levi untuk sektor perladangan, serta beberapa kos lain.

“Majikan juga perlu membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM500 (AS$123) sebagai deposit kepada permohonan bagi setiap pekerja asing dan sekiranya bagi 100 pekerja, maka 100x500, jadi jumlah keseluruhan untuk deposit adalah RM50,000 (AS$12,315) yang wajib dibayar,” tambah Khairul Dzaimee lagi.

Beliau juga menambah bagi setiap permohonan yang telah diterima, majikan perlu membuat temujanji dengan Jabatan Imigresen terlebih dahulu sebelum permohonan mereka diproses keperingkat seterusnya, serta perlu membawa pekerja ke pejabat imigresen selepas mendapat tarikh temujanji.

Bagaimanapun sebelum itu, kesemua mereka wajib menjalani pemeriksaan kesihatan dan saringan COVID-19 seperti ditetapkan kerajaan, untuk melihat sama ada pekerja asing ini sesuai untuk bekerja di negara berkenaan.

Katanya, proses permohonan dan temujanji yang sama juga dikenakan terhadap pendatang yang mahu pulang ke negara asal dengan perlu menjalani pemeriksaan COVID-19, mendapatkan dokumen dari pejabat Kedutaan masing-masing, tiket kapal terbang dan membayar kompaun RM500 sebelum Jabatan Imigresen mengeluarkan notis pelepasan dan pas khas bagi membolehkan mereka meninggalkan negara.

Khairul Dzaimee juga berkata terdahulu itu, majikan perlu membuat permohonan melalui e-mel tetapi mulai Rabu lalu, semua permohonan boleh dibuat secara dalam talian di portal rasmi Jabatan Imigresen.

"Pejabat Kedutaan telah diminta untuk membantu warga mereka dalam mempercepat proses dan telah menyatakan persetujuan untuk membantu rakyat mereka membuat janji temu dengan Jabatan Imigresen sekiranya berdepan dengan sebarang kesulitan dalam melakukannya," kata Khairul Dzaimee.

Beliau juga memaklumkan yang Jabatan Imigresen dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja dalam mengendalikan program berkenaan turut mengadakan pertemuan dengan wakil kedutaan daripada 15 buah negara di mana warganegara mereka layak untuk mengikuti program tersebut.

BeritaBenar telah cuba menghubungi Pejabat Kedutaan Indonesia Bangladesh di Kuala Lumpur untuk mendapatkan maklum balas mereka tetapi tidak mendapat respons sehingga laporan ini ditulis.

Program yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin pada 12 November lepas itu adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk mengisi kekosongan tenaga kerja bagi mengembalikan kerancakan ekonomi walaupun keputusan awal Putrajaya pada Jun mahu menghentikan pengambilan pekerja asing baharu di semua sektor sehingga akhir tahun kerana mahu memberi keutamaan kepada penduduk tempatan mengisi kekosongan.

Gaji pendatang dari depoh tahanan

Di bawah program rekalibrasi yang sama majikan juga mempunyai pilihan sama ada mahu mengambil pekerja daripada 14 buah pusat tahanan di seluruh negara tetapi menurut Ketua Pengarah Imigresen itu, majikan yang mahu berbuat demikian perlu membayar kos penghantaran pulang pendatang yang tidak layak menyertai program berkenaan.

"Ini adalah satu ke satu… Majikan yang mahu menggajikan seorang pekerja asing daripada depoh tahanan perlu menaja pulang seorang yang tidak menepati syarat pemutihan untuk pulang ke negara ada dan ini adalah syarat yang telah ditetapkan,” tambah Khairul Dzaimee.

Hamzah pada Khamis selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata langkah itu dibenarkan sekiranya pendatang yang berada di depoh tahanan berkelayakan.

"Kami akan membenarkan majikan mengambil pekerja di depoh jika mereka memenuhi syarat… dan seramai 15,400 pendatang asing yang berada di depoh-depoh tahanan dengan sekitar 15 peratus memenuhi syarat manakala selebihnya tidak, ” tambah Menteri itu.

Mengulas mengenai rancangan kerajaan membuat pertukaran pendatang itu, kumpulan penyokong hak migran menyuarakan rasa terkejut atas keputusan Putrajaya mahu menggunakan pendatang sebagai tawar-menawar untuk perniagaan.

"Amat sukar untuk mempercayai yang kerajaan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan lebih banyak wang dari pendatang," kata Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene Das kepada BeritaBenar.

Beliau menambah bahawa berdasarkan tinjauan yang dibuat sendiri oleh Tenaganita yang melibatkan pekerja ladang tempatan, ramai penduduk tempatan yang ingin bekerja, tetapi diketepikan oleh syarikat yang tidak berminat untuk mengambil mereka bekerja kerana menggajikan pekerja tempatan adalah lebih mahal bersama faedah-faedah tambahan berbanding pekerja asing.

"Ada sedikit kegusaran yang timbul mengenai bagaimana industri ini yang terkenal mengikut peraturan tetapi mengabaikan Akta Pekerjaan yang mungkin menyebabkan lebih banyak eksploitasi di bawah program ini, dengan keadilan yang lebih rendah," kata Das lagi.

Malaysia mempunyai seramai 1.6 juta pekerja asing di negara ini dengan jumlah itu akan menjadi lebih tinggi jika pekerja asing tanpa izin juga dikira.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.