Laporan: China pergiat kempen global untuk pengaruhi media asing

Indonesia dan Malaysia terdedah kepada usaha pengaruh Beijing manakala Filipina banyak memberi tentangan, menurut Freedom House.
Staf BenarNews
2022.09.08
Bangkok & Washington
Laporan: China pergiat kempen global untuk pengaruhi media asing Seorang wanita menunggang basikal melepasi pusat beli-belah yang memaparkan liputan berita stesen televisyen negara mengenai lawatan Presiden China Xi Jinping ke Hong Kong, di Beijing, 1 Julai 2022.
[Mark Schiefelbein/AP]

China sedang mempergiatkan kempennya untuk mempengaruhi dan memanipulasi berita dan maklumat di seluruh dunia, serta menggunakan pelbagai alat bagi memaparkan imej positif tentang negaranya di luar negara, kata kumpulan pemerhati Amerika Syarikat dalam laporannya yang dikeluarkan pada Khamis.

Di Asia Tenggara, Indonesia dan Malaysia terdedah kepada kempen pengaruh Beijing sejak dari awal 2019 sehingga akhir tahun lalu, manakala Filipina banyak memberi tentangan, menurut laporan terbaharu Freedom House, sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang beribu pejabat di Washington.

“Kerajaan China di bawah pimpinan Presiden Xi Jinping sedang mempergiatkan kempen secara besar-besaran untuk mempengaruhi saluran media dan pengguna berita di seluruh dunia. Walaupun beberapa aspek usaha ini menggunakan alat diplomasi awam tradisional, namun banyak lagi dilakukan secara berselindung, paksaan dan berpotensi menggunakan rasuah,” menurut laporan itu dalam memberikan gambaran keseluruhan mengenai pengaruh media Beijing di seluruh dunia.

"Sebilangan besar negara telah menunjukkan tentangan yang besar sejak beberapa tahun lepas, namun pada masa yang sama taktik Beijing menjadi lebih canggih, agresif dan sukar dikesan."

Laporan itu mengkaji usaha Parti Komunis China (PKC) untuk mempengaruhi media dan pengguna mulai 1 Januari 2019 hingga akhir Disember 2021 dan mendapati bahawa kerajaan China telah meningkatkan kesan media global di 29 buah negara dan Taiwan dalam tempoh itu.

“Sejak awal 2000-an, pegawai-pegawai PKC yang bertindak atas arahan pemimpin tertinggi telah melabur berbilion dolar dalam kempen yang bercita-cita tinggi untuk membentuk kandungan dan naratif media di seluruh dunia dan ia dilakukan dalam pelbagai bahasa,” kata laporan itu.

PKC telah mempergiatkan kempen pengaruh media asingnya susulan kemerosotan ketara dalam reputasi global China dan presiden negara itu terutamanya dalam kalangan mereka yang berada di negara-negara demokrasi berparlimen.

“Misi ini dilaksanakan dengan segera dan diberi keutamaan sejak 2019 kerana audiens global telah menunjukkan simpati terhadap para penunjuk perasaan pro-demokrasi di Hong Kong serta etnik Uyghur yang ditahan di Xinjiang sambil menyalahkan pegawai-pegawai China kerana menyekat maklumat tentang penularan awal COVID-19.”

Sebagai sebahagian daripada kempen itu, para diplomat dan media China telah "secara terbuka mempromosikan pembohongan atau kandungan yang mengelirukan," menurut laporan itu.

“Terdapat usaha bersepadu untuk menutup keburukan serta menafikan kekejaman hak asasi manusia dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan terhadap ahli kumpulan minoriti etnik dan agama di Xinjiang,” kata Freedom House, yang menganggap perbuatan itu sebagai “kesan yang paling membimbangkan daripada kempen pengaruh media global PKC.”

Bulan lalu, ketua hak asasi manusia PBB yang bakal menamatkan khidmatnya, telah mengeluarkan laporan yang merumuskan bahawa penindasan China terhadap etnik Uyghur dan minoriti Turkik lain di Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang (XUAR) "mungkin merupakan jenayah antarabangsa khususnya jenayah terhadap kemanusiaan."

Pihak berkuasa China didakwa telah menahan sehingga 1.8 juta Muslim dan minoriti lain di kem-kem tahanan, menurut laporan PBB. Mereka yang ditahan itu tertakluk kepada penyeksaan, dikembiri secara paksa dan menjadi buruh paksa selain menghapuskan tradisi linguistik, budaya dan agama mereka.

Semasa menjawab soalan wartawan di Beijing, jurucakap Kementerian Luar China Mao Ning mencabar laporan Freedom House dengan mendakwa NGO itu mempunyai "rekod dalam membuat dakwaan palsu mengenai isu berkaitan China. Laporan ini tidak berasaskan fakta dan didorong oleh motif tersembunyi.”

“Memaparkan kisah Parti Komunis China (PKC) dan mempersembahkan pandangan sebenar, pelbagai dimensi dan panorama China kepada dunia adalah sebahagian daripada tugas media dan perkhidmatan luar China,” katanya, berdasarkan kepada transkrip taklimat harian media yang disiarkan dalam laman web Kementerian Luar.

“Apa yang kami kongsikan dengan dunia ialah fakta, nombor nyata, contoh kukuh dan kebenaran yang jelas. Ia sama sekali berbeza daripada apa yang dianggap sebagai 'usaha mempengaruhi' atau 'maklumat palsu' dalam laporan itu."

220908-MY-CH-Inside.jpg

Wartawan-wartawan merakam gambar di luar sebuah lokasi yang dikenal pasti pada awal 2020 sebagai fasiliti pendidikan semula, yang ditegaskan oleh kerajaan China sebagai pejabat biro hal ehwal veteran dan pejabat-pejabat lain, di Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang di barat China, semasa lawatan anjuran kerajaan untuk wartawan asing, 22 April 2021. [Mark Schiefelbein/AP]

Indonesia, Malaysia dan Filipina

Laporan Freedom House menyatakan bahawa Indonesia dan Malaysia, yang majoriti penduduknya beragama Islam, adalah antara sekurang-kurangnya 16 negara yang didapati terdedah kepada usaha pengaruh Beijing, manakala Filipina disenaraikan sebagai "memberi tentangan."

Wartawan, pempengaruh, pemimpin Islam, ahli politik dan pelajar Indonesia dan Malaysia telah menyertai lawatan bersubsidi Beijing ke Xinjiang, yang menampilkan perspektif wilayah itu yang dikawal negara berkenaan. Beberapa orang daripada mereka telah mengulangi kenyataan Beijing termasuk menafikan pelanggaran hak asasi manusia di XUAR, menurut laporan itu.

Usaha itu tidak meredakan kebimbangan penduduk Islam di negara-negara Asia Tenggara, menurut laporan itu.

Freedom House berkata ramai rakyat Indonesia masih meragui China manakala liputan media tempatan mengenai Xinjiang kekal kritikal apabila laporan penyalahgunaan di XUAR ditularkan dalam media sosial.

Walaupun usaha pengaruh kerajaan China meningkat dengan perjanjian baharu antara media negara kedua-dua negara itu, laporan berkenaan menyatakan bahawa bilangan rakyat Indonesia yang menggelar China sebagai "kuasa revisionis" telah meningkat sejak beberapa tahun lalu.

Di Malaysia, dengan satu perempat daripada penduduknya adalah etnik Cina, orang ramai masih meragui naratif Beijing walaupun laporan itu menyatakan bahawa “90 peratus daripada media bahasa Cina negara itu dimiliki oleh taikun Cina-Malaysia yang mempunyai kepentingan perniagaan yang kukuh di China. ”

“Barisan editorial saluran ini didominasi oleh naratif pro-Beijing dan media berbahasa Cina kurang menerbitkan topik politik yang sensitif berbanding rakan media berbahasa Inggeris dan Melayu,” menurut laporan itu, sambil menekankan bahawa liputan berbentuk kritikan terkandung dalam media utama lain menerusi berita antarabangsa.

Namun "nampaknya ada budaya tapisan kendiri dalam kalangan wartawan media berbahasa Melayu dan Cina yang begitu berwaspada dengan laporan berbentuk kritikan kerana ia boleh mengakibatkan tindak balas atau menjejaskan hubungan dua hala," menurut laporan itu.

Di Filipina, kempen maklumat palsu berkaitan Beijing memang ketara tetapi tidak semestinya berkesan, kata laporan itu.

“Data menunjukkan bahawa rakyat Filipina telah beralih daripada menganggap kerajaan China sebagai pengaruh atau model yang positif dan mereka masih memilih Amerika Syarikat dan negara lain sebagai rakan kongsi,” menurut laporan itu.

“Rakyat Filipina menunjukkan keraguan yang meluas terhadap naratif media China terutamanya di tengah-tengah pertikaian wilayah yang semakin teruk antara kedua-dua negara itu di Laut China Selatan.”

Sekurang-kurangnya 36 media Filipina telah melakukan lawatan bersubsidi ke China pada 2019 dengan "sesetengah daripada mereka mengulangi perkara yang diperkatakan China selepas pulang daripada lawatan itu," kata Freedom House.

Pengaruh media

Usaha paling kuat Beijing dalam kempen globalnya telah disasarkan ke Taiwan, United Kingdom dan Amerika Syarikat, yang didapati memberi paling banyak tentangan.

Ketiga-tiga negara itu dan Australia telah menghadapi "taktik yang lebih agresif, berbentuk konfrontasi atau sogokan," menurut laporan itu, yang meramalkan bahawa trend tersebut mungkin diperluaskan ke negara lain.

Antara taktik pengaruh China adalah dengan menakut-nakutkan wartawan dan saluran media, menyekat laman web, mengganggu wartawan asing, melakukan serangan siber dan hasutan maya, memanipulasi media sosial oleh pempengaruh yang diupah dan menggerakkan kempen maklumat palsu secara bersasar, menurut Freedom House.

Laporan itu mengingatkan penyelidik, wartawan dan penggubal dasar di lebih banyak negara sepatutnya boleh menjangka adanya peningkatan dalam taktik sedemikian.

Laporan itu menarik perhatian kepada “kebimbangan bahawa tiadanya keupayaan sama rata” negara-negara itu dalam menentang usaha agresif pengaruh media PKC. Ia memberi amaran bahawa tindak balas yang tidak mencukupi boleh menyebabkan negara berkenaan terdedah kepada pengaruh sedemikian.

Freedom House menggesa supaya dilaksanakan "tindak balas bersepadu" termasuk membentuk kepakaran dalam negara yang bebas mengenai China, menyokong kewartawanan penyiasatan dan menyokong perlindungan asas untuk kebebasan media.

Ia mendapati wartawan-wartawan melaporkan tentang pengaruh dan tingkah laku paksaan PKC di negara-negara mereka serta projek atau pelaburan berkaitan China bagi tujuan pendedahan rasuah, pencabulan hak pekerja, kerosakan alam sekitar dan bahaya lain, namun tetap berwaspada terhadap kempen maklumat palsu Beijing.

"Kejayaan usaha Beijing ini sering dapat dikekang oleh media bebas, aktiviti masyarakat sivil dan undang-undang tempatan yang melindungi kebebasan media," menurut laporan itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.