Rakhine: Kebimbangan Meningkat Di Kalangan Negara Jiran Myanmar
2017.08.30
Dhaka, Cox's Bazar & Kuala Lumpur
Negara-negara jiran Myanmar menyuarakan kebimbangan pada Rabu apabila Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) menyatakan bahawa lebih daripada 18,000 orang Islam Rohingya telah meninggalkan kediaman mereka sejak seminggu yang lalu ekoran keganasan yang tercetus di negeri Rakhine.
Di Dhaka, Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina menggesa Amerika Syarikat memberi tekanan kepada Myanmar supaya menghentikan kebanjiran orang Rohingya ke wilayah tenggara negaranya dari Rakhine, yang terletak di seberang sempadan.
Hasina juga baru bertemu dengan Alice Wells, pemangku penolong setiausaha negara AS bagi Hal Ehwal Asia Selatan dan Asia Tengah, di ibu negara Bangladesh.
"Perdana Menteri memberitahu (Wells) bahawa Bangladesh telah memberi perlindungan kepada mereka (orang Rohingya) atas dasar kemanusiaan, tetapi sekarang ia menjadi masalah besar bagi kami," kata Ihsanul Karim, setiausaha akhbar Hasina, kepada pemberita.
Kebanjiran orang Rohingya di sepanjang sempadan Myanmar-Bangladesh bermula selepas pemberontak Rohingya melancarkan serangan serentak terhadap 30 pos polis dan pangkalan tentera di bandar Maungdaw, Buthidaung dan Rathedaung di Myanmar pada Jumaat, menurut laporan Radio Free Asia (RFA), yang juga entiti BeritaBenar.
Pegawai-pegawai berkata serangan itu menyebabkan lebih 100 orang terbunuh, termasuk berpuluh-puluh pemberontak, dan mencetuskan pertempuran baru apabila kerajaan meningkatkan usaha untuk menghentikan kekacauan itu.
Di Jakarta pada Rabu, Menteri Luar Negeri Indonesia Retno Marsudi menggesa Myanmar membendung kadar kematian orang awam dan meminta Bangladesh untuk menerima kemasukan pelarian itu.
Diplomat utama negara majoriti Islam terbesar di dunia itu memberitahu satu sidang berita bahawa beliau merancang ke Myanmar tidak lama lagi untuk melihat sendiri keadaan kalangan komuniti Rohingya di negeri Rakhine, lapor Merdeka, sebuah saluran media Indonesia.
Sehari sebelum ini, Retno menghubungi menteri luar Bangladesh dan turut bercakap dengan Penasihat Keselamatan Negara Myanmar U Thaung Tun bagi membincangkan ‘penggunaan kuasa tidak seimbang oleh pasukan keselamatan Myanmar di negara Rakhine’, lapor agensi berita Turki, Anadolu.
Marsudi berkata beliau bercakap dengan pegawai berkenaan melalui telefon dan meminta Myanmar supaya "memastikan orang awam tidak cedera ekoran keganasan itu" serta memberi perlindungan kepada komuniti Rohingya.
"Perlindungan keselamatan menjadi tumpuan kemanusiaan; ia harus merangkumi rakyat negeri Rakhine," kata Marsudi.
Pada Selasa juga, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha bertemu dengan ketua tentera Myanmar Min Aung Hlaing di Bangkok dan berkata kerajaannya bersedia menerima orang tidak bertempat yang melarikan diri dari konflik tersebut. "Kementerian Pertahanan dan unit keselamatan Thailand sedang bersedia untuk menerima orang tidak bertempat, dan telah memberikan pelan migrasi kepada pasukan keselamatan sekiranya pertempuran terus meningkat," kata Prayuth. Beliau berkata Thailand akan menyediakan perlindungan untuk orang Rohingya dan kemudian menghantar mereka pulang apabila keadaan keselamatan kembali stabil.
Sementara itu di Malaysia, polis berkata lebih 100 orang ditahan pada Rabu selepas kira-kira 1,000 etnik Rohingya mengadakan demonstrasi di jalan utama di Kuala Lumpur dan menuntut keganasan ditamatkan di Myanmar. Bantahan dalam jumlah lebih kecil turut diadakan di luar Kedutaan Myanmar.
Seorang penunjuk perasaan turut menuang petrol pada tubuhnya dan cuba membakar dirinya sebelum perbuatannya dihentikan polis, lapor Channel News Asia, yang menunjukkan gambar lelaki itu yang kelihatan basah kuyup.
Malaysia, negara majoriti Islam Sunnah Wal Jamaah, menerima hampir 60,000 pelarian Rohingya yang merupakan sebahagian daripada tenaga buruh asing yang melakukan pekerjaan kemahiran rendah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sejak keganasan baru tercetus di Rakhine pada 24 Ogos, lebih daripada 18,000 Rohingya telah menyeberang masuk ke Bangladesh, kata Sanjukta Sahany, ketua pejabat Pertubuhan Migrasi Antarabangsa di daerah tenggara Cox's Bazar - yang menempatkan kem-kem pelarian Rohingya – pada sidang berita pada Rabu. Kebanyakan pelarian itu mempunyai kecederaan akibat tembakan peluru dan terbakar, kata Sahany.
"Mereka berada dalam keadaan yang amat terdesak," kata Sahany. "Mereka sangat trauma, dan ini amat jelas kelihatan."
Pengawal sempadan Bangladesh telah menghantar pulang 1,500 Rohingya ke Myanmar dalam tempoh enam hari yang lalu, kata para pegawai. Pada pagi Rabu, polis Bangladesh berkata mereka menemui mayat tiga kanak-kanak dan tiga wanita di sungai.
Tuduhan melakukan kekejaman
Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA), sebuah kumpulan pemberontak yang mendakwa ia ditubuhkan tanpa sokongan militan asing, mengaku bertanggungjawab melakukan serangan terhadap pos-pos polis Myanmar. Ia mendakwa berjuang bagi hak asasi kira-kira 1.1 juta Rohingya yang dilanda kemiskinan dan tidak mempunyai hak kewarganegaraan di negeri Rakhine di barat Myanmar.
Myanmar telah mengisytiharkan ARSA sebagai kumpulan pengganas.
Dalam sebuah video yang dimuat naik ke YouTube pada Isnin, seorang lelaki yang mendakwa dirinya ketua ARSA, Ata Ullah (alias Ataullah Abu Ammar Jununi), telah menuduh pasukan keselamatan Myanmar melakukan kekejaman dan menggunakan pelancar mortar dan roket terhadap orang awam Rohingya.
"Mereka membakar rumah dan kampung Rohingya. Ada mayat di jalan raya, di mana-mana dan di merata tempat, "kata Ullah, yang diapit oleh oleh dua lelaki muda bertopeng sambil memegang senapang AK-47, dalam rakaman video itu.
Ullah, yang menutup wajahnya, mencabar pasukan keselamatan Myanmar: "Jika anda mahu berperang, maka bertarunglah dengan pemuda yang berjuang untuk hak mereka dalam mempertahankan diri."
Pada Selasa, sebuah kumpulan hak asasi yang berpejabat di New York berkata ia telah mengakses data satelit yang menunjukkan kebakaran meluas berlaku di sekurang-kurangnya 10 kawasan di negeri Rakhine.
Myanmar, yang juga dikenali sebagai Burma, perlu memberi akses kepada monitor bebas untuk menentukan punca kebakaran itu selain menilai dakwaan mengenai pencabulan hak asasi manusia, kata kenyataan Human Rights Watch (HRW).
"Data satelit baru ini sepatutnya membangkitkan kebimbangan dan tindakan segera oleh para penderma dan agensi PBB untuk mendesak kerajaan Burma supaya mendedahkan sejauh mana kemusnahan sedang berlaku di negeri Rakhine," kata Phil Robertson, timbalan pengarah HRW Asia. "Meletakkan semua kesalahan terhadap pemberontak tidak melepaskan kerajaan Burma daripada tanggungjawab antarabangsanya dalam menghentikan semua pencabulan kuasa yang dilakukan serta menyiasat dakwaan salah laku itu.”
HRW berkata berlaku susulan itu, pasukan tentera dan Batalion Infantri Ke-33 ditempatkan di utara Rakhine, wilayah yang menyaksikan ketegangan berlaku di antara penganut Buddha dan penduduk yang kebanyakannya Islam sejak keganasan akibat rusuhan kaum berlaku pada 2012.
Tentera Myanmar dan pemberontak ARSA saling menuduh tentang melakukan keganasan itu.
'Satu lagi Kemboja di halaman belakang kita'
Ketika para pegawai di seluruh Asia Tenggara bergelut dengan krisis kemanusiaan yang semakin meningkat, ahli parlimen dari seluruh rantau itu menggesa kerajaan-kerajaan mengambil tindakan segera untuk melindungi orang awam di Rakhine.
"Ini adalah masanya untuk bertindak, atau kita boleh mempunyai satu lagi Kemboja di halaman belakang kita," kata penggubal undang-undang Malaysia Charles Santiago, yang juga pengerusi Ahli Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Manusia (APHR), dengan merujuk kepada kekejaman yang dilakukan oleh Khmer Rouge di Kemboja pada 1970-an.
"Sudah tiba masanya bagi negara-negara anggota ASEAN untuk mengetepikan dasar tanpa campur tangan yang kuno dan sebaliknya memberi amaran kepada Myanmar supaya menghentikan pembunuhan itu," kata Santiago.
Orang Rohingya mula memasuki Bangladesh selepas pemberontak bertempur dengan pasukan keselamatan di negeri utara Rakhine, Myanmar pada 30 Ogos 2017. [Abdur Rahman / BeritaBenar]