Bot Rohingya Dipintas di Langkawi dari Bangladesh, kata Pegawai Malaysia

Hareez Lee
2018.04.04
Kuala Lumpur
180404-my-rohingyabot-1000.jpg Bot kayu yang membawa pelarian Rohingya sedang ditarik oleh pasukan penyelamat Tentera Laut Diraja Thailand berhampiran perairan di Wilayah Krabi, selatan Thailand, 1 April 2018.
[AFP/Tentera Laut Diraja Thailand]

Bot membawa 56 pelarian etnik Rohingya yang berjaya dipintas pihak berkuasa di perairan Langkawi pada Selasa bertolak dari Bangladesh, demikian menurut pegawai tertinggi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM).

Ketua Pengarah APMM Zulkifli Abu Bakar memberitahu BeritaBenar pada Rabu bahawa hasil maklumat yang diperolehi setakat ini menunjukkan yang pelarian tersebut bermula dari Bangladesh dengan tujuan untuk menghala ke Malaysia.

“Ya..bot tersebut dari Bangladesh dan mereka melarikan diri dari kem pelarian di sana (Cox’s Bazar) dan memang mahu datang ke Malaysia,” kata beliau kepada BeritaBenar pada Rabu.

Lebih 680,000 kaum Rohingya melarikan diri dari Myanmar dan menuju ke Bangladesh sejak 25 Ogos tahun lepas dalam usaha untuk menyelamatkan diri daripada operasi berdarah yang dilancarkan tentera Myanmar di Rakhine.

Zulkifli berkata kes itu sekarang disiasat oleh pihak imigresen dan  enggan mengulas lanjut kerana Majlis Keselamatan Negara sudah mengeluarkan arahan kepada semua agensi untuk tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.

Walaubagaimanapun beliau berkata, setakat ini pihak APMM tidak menerima sebarang maklumat tentang bot pelarian lain yang menuju ke Malaysia.

“Setakat ini tiada. Tapi kita tidak tahu pada masa hadapan,” tambah beliau.

Pada Isnin lalu, Bangladesh menafikan bahawa bot tersebut berlepas dari negara itu.

“Mereka [Pelarian] tidak lagi boleh menggunakan sungai atau jalan laut untuk pergi ke Malaysia kerana kami sudahpun memberhentikan sebarang pergerakan bot di kawasan Bangladesh di sempadan sungai Naf, “ kata pegawai polis di Cox Bazar, Superintendant Afrozul Haque Tutul kepada BeritaBenar pada Isnin.

Beliau menambah, “Sungai dan laut yang digunakan oleh penyeludup manusia empat ke lima tahun lepas sudahpun ditutup dan jalan-jalan ini adalah dibawah pengawasan ketat.”

Bot kayu yang membawa penumpang termasuk 20 orang kanak-kanak ditemui dalam keadaan letih pada pukul 9.30 pagi di perairan Pulau Nyoir Setali, di Langkawi.

Bot bersama penumpang itu kemudiannya di bawa ke Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Jabatan Imigresen negeri Kedah untuk tindakan lanjut.

Pada masa ini, kesemua pelarian itu ditempatkan di Depot Tahanan Sementara Belantik, dibawah penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia di Sik, Kedah dengan pihak berkuasa Malaysia cuba untuk mendapatkan keterangan penuh dari pelarian, sambil berdepan dengan masalah bahasa.

Penghargaan UNHCR terhadap Malaysia

Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian [UNHCR] telah melahirkan penghargaan keatas tindakan Kuala Lumpur yang membenarkan pelarian itu berlabuh di Malaysia.

"UNHCR menganggap ini adalah satu langkah kemanusiaan yang sangat positif bagi pihak kerajaan Malaysia, dan selaras dengan norma antarabangsa untuk memberi perlindungan kepada pencari suaka dan orang yang menghadapi risiko di laut," kata jurucakap UNHCR Andrej Mahecic kepada BeritaBenar dalam satu kenyataan melalui emel ke Washington pada Selasa.

"UNHCR telah berhubung dengan pihak berkuasa maritim Malaysia untuk mendapatkan akses kepada individu-individu tersebut, dan kami bersedia untuk memberi sokongan dan bantuan kemanusiaan seperti yang diperlukan oleh pelarian sejajar dengan piawaian antarabangsa," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, pertubuhan bukan kerajaan yang aktif membantu pelarian Rohingya di dalam negara dan luar negara, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia kordinator  Rozaidi Taib memberitahu BeritaBenar bahawa pertubuhan itu sudah  memulakan usaha untuk memohon kelulusan dari pihak berkuasa Imigresen untuk berjumpa dengan pelarian Rohingya yang baru tiba semalam itu.

"Kita sudahpun bergerak ke depoh tahanan sementara pada Rabu untuk melihat keadaan pelarian tetapi kerana tidak membawa dokumen yang diminta, ahli MAPIM dan jurubahasa tidak dibenarkan berjumpa dengan mereka,” kata Rozaidi.

Setelah berbincang dengan pihak berkuasa, Rozaidi berkata MAPIM akan dibenarkan masuk ke depoh tersebut bersama satu lagi badan bukan kerajaan pada hujung minggu untuk memberikan bantuan kemanusian kepada pelarian yang baru tiba.

Pada Sabtu lepas, bot itu terpaksa berlabuh di Pulau Lanta, di Wilayah Krabi di selatan Thailand akibat ribut dan laut bergelora selepas pihak berkuasa Thailand dilaporkan membantu memberikan bantuan kemanusiaan kepada bot berkenaan.

Bot itu bagaimanapun telah ditolak ke tengah laut oleh pihak berkuasa Thailand selepas mendapat perlindungan sementara di negara itu, kerana Thailand tidak membenarkannya mengikut peraturan Tentera Lautnya.

Seorang pegawai Tentera Laut Thailand memberitahu BeritaBenar pada Isnin, dengan syarat tidak disiarkan namanya berkata, “Kami hanya boleh memberi mereka akses untuk meneruskan perjalanan. Apabila mereka tiba, kami berikan bantuan kemanusiaan dan mereka boleh teruskan perjalanan, “

Pihak berkuasa Thailand juga berkata bot yang dijumpai pada Sabtu itu merupakan bot Rohingya pertama dalam tempoh setahun.

Kolonel Polis Wilayah Krabi, Pattanachak Chakrabhan memberitahu BeritaBenar pada Ahad, berdasarkan siasatan, kesemua etnik Rohinyga yang berada di dalam bot berkenaan berasal dari Rakhine, Myanmar, dan hendak menuju ke Malaysia.

Fortify Rights, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak Rohingya Muslim yang berpangkalan di Bangkok berkata yang badan itu telahpun mendokumenkan beberapa ketibaan pelarian Rohingya melalui jalan laut di Malaysia dan Thailand sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini, termasuk bot yang tiba di Thailand pada Februari.

Pada tahun 2015, ribuan etnik Rohingya terperangkap dalam krisis orang hanyut yang berakhir di Malaysia dan Indonesia oleh kerana kerajaan Thailand mengekalkan dasarnya untuk tidak menerima kaum tersebut.

Statistik terbaharu agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendapati hampir 70,000 pelarian dan pencari suaka Rohingya mendapat perlindungan di Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.