Sekumpulan 27 Pelarian Rohingya Ditemukan Selamat di Langkawi

Ray Sherman & Nisha David
2020.07.27
Kuala Lumpur , Malaysia
200727-MY-Rohingya-620.jpg Pelarian Rohingya dikumpulkan di pantai Rebak Besar, sebuah pulau kecil berdekatan Langkawi, Malaysia, selepas ditemukan para pengawal pantai negara itu, 26 Julai 2020.
[Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia]

Sekumpulan pelarian etnik Rohingya ditemukan selamat selepas terdampar di sebuah pulau di utara Malaysia, kata pengawal pantai negara itu pada Isnin, walaupun ada laporan awal menyatakan mereka mungkin lemas ketika cuba berenang ke pantai setelah terjun dari bot yang membawa mereka ke kawasan itu.

Seramai 26 etnik Rohingya itu ditemukan pada lewat malam Ahad semasa bersembunyi di kawasan semak di Rebak Besar, sebuah pulau kecil berdekatan Pulau Langkawi, selepas pihak berkuasa menerima laporan bahawa penduduk tempatan melihat seorang lelaki etnik Rohingya di pulau yang lebih kecil itu, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam satu kenyataan. Lelaki yang ditemukan itu kemudian memberitahu pegawai berkenaan mengenai 26 etnik Rohingya lain setelah APMM mengerahkan sebuah bot untuk mengambilnya dari situ, kata pegawai.

"[Lelaki itu] dibawa ke pejabat APMM di Bukit Malut untuk siasatan lanjut dan, berdasarkan maklumat  daripadanya, dia memberitahu pihak berkuasa bahawa terdapat 26 orang lagi yang masih bersembunyi di pulau itu," kata Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Mohd Zawawi Abdullah dalam satu kenyataan.

Siasatan menunjukkan beberapa nelayan tempatan bekerja dengan sindiket penyeludupan manusia sebagai "pengangkut" dengan menggunakan bot-bot mereka untuk membawa migran itu ke Langkawi dari sebuah bot lebih besar, katanya.

"Kami sangat kecewa dengan beberapa penduduk tempatan yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang tanpa memikirkan keselamatan dan kedaulatan negara," kata Zawawi.

"Siasatan kami menunjukkan bahawa sindiket berkenaan telah menyeludup masuk migran dengan menurunkan mereka dari bot induk yang berlabuh berdekatan sempadan negara dan membawa mereka menaiki pula bot-botal nelayan tempatan untuk menelak daripada dikesan pihak berkuasa," katanya.

Kenyataan APMM itu tidak menyatakan sama ada pengawal pantai telah mengesan lokasi bot induk yang dikatakan itu atau masih menjejaki bot berkenaan.

Kapal APMM dan Tentera Laut Diraja Malaysia dikerah ke Rebak Besar untuk mengambil 27 etnik Rohingya berkenaan dan membawa mereka ke jeti di Bukit Malut, Langkawi. Di sana, para pendatang itu menjalani saringan awal untuk mengesan COVID-19 sebelum mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen, kata para pegawai.

Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, pasukan petugas yang memantau dan mengawasi sempadan negara mengingatkan bahawa rakyat tempatan yang membantu penyeludupan migran tanpa dokumen boleh didakwa kerana melakukan pengkhianatan.

Pada awal Ahad, APMM melancarkan operasi mencari dan menyelamat 27 etnik Rohingya itu yang dikhuatiri lemas selepas pihak berkuasa menemukan lelaki Rohingya itu, yang telah berenang ke pantai dari sebuah bot, menurut laporan Agence Perancis-Presse.

Penemuan 27 etnik Rohingya itu berlaku kurang dari seminggu setelah pihak berkuasa menjumpai 25 etnik Rohingya di sebuah rumah di Langkawi di mana penyeludup dipercayai menyembunyikan mereka, kata pegawai pada ketika itu.

Dua etnik Rohingya ditahan pada 21 Julai kerana disyaki menyeludup masuk 25 pelarian etnik Rohingya yang belayar dari Cox's Bazar di Bangladesh, kata sumber keselamatan Malaysia kepada BeritaBenar. Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada terdapat kaitan antara kedua-dua kumpulan etnik Rohingya itu, kata pihak berkuasa pada Isnin.

Cox's Bazar dan sebuah daerah jiran, yang kedua-duanya terletak di sempadan Myanmar, merupakan penempatan kem-kem yang menampung lebih 1 juta pelarian etnik Rohingya tanpa kewarganegaraan, yang melarikan diri daripada penindasan dan keganasan di negeri jiran, Rakhine.

Malaysia, sebuah negara yang mempunyai majoriti Muslim, adalah destinasi utama Asia Tenggara bago etnik Rohingya yang melarikan diri dari Rakhine bagi mencari suaka di luar negara.

Dalam reaksinya pada Isnin berhubung berita bahawa kumpulan terbaru pelarian etnik Rohingya itu tidak lemas seperti yang dikhuatiri sebelum ini, kumpulan penyokong hak asasi Amnesty International meminta Malaysia, negara jirannya Thailand dan kerajaan negara-negara Asia Tenggara lain supaya mencari lebih ramai etnik Rohingya yang dipercayai masih berada di laut.

“Situasi pelarian etnik Rohingya yang masih terdampar di laut selama berbulan-bulan adalah amat terdesak. Kerajaan negara-negara ASEAN mesti segera melancarkan misi mencari dan menyelamat yang bersepaduter untuk mengesan mangsa yang masih hidup; membenarkan semua bot yang membawa pelarian dan migran untuk mendarat dengan selamat di negara terdekat; serta membantu menampung keperluan kemanusiaan mereka," kata Rachel Chhoa-Howard, penyelidik di pejabat Amnesty Malaysia, dalam kenyataan.

"Sekiranya ini tidak dilakukan, lebih ramai yang akan kehilangan nyawa."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.