Isteri Bekas Pemimpin Malaysia Disoal Siasat Berkaitan Skandal Rasuah 1MDB
2018.09.26
Putrajaya, Malaysia
Para pegawai pencegahan rasuah Malaysia telah menyoal siasat isteri bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak selama hampir 13 jam pada Rabu di ibu pejabat agensi itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan melesapkan berjuta-juta dolar daripada dana negara 1MDB.
Rosmah Mansor, 66, hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 9.52 pagi dengan diiringi beberapa orang peguam. Beliau keluar dari bangunan agensi itu di Putrajaya, yang merupakan pusat pentadbiran negara, pada kira-kira pukul 10.40 malam.
“Saya OK, Alhamdulillah,” kata Rosmah kepada pemberita, menggunakan ungkapan bagi menzahirkan kelegaannya dalam Bahasa Arab yang bermaksud “Syukur kepada Allah.”
SPRM mengambil keterangan beliau kurang seminggu selepas suaminya mengaku tidak bersalah terhadap pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram, rasuah, pecah amanah jenayah dan menyalah guna kuasa berhubung siasatan skandal 1MDB. Najib, 65, dijangka dibicarakan dalam bulan Februari tahun depan.
Para penyiasat mengambil masa empat kali lebih lama untuk menyoal siasat Rosmah pada Rabu berbanding kali pertama beliau hadir ke agensi itu pada 5 Jun, yang menyaksikan beliau menghabiskan masa kira-kira tiga jam di pejabat sama.
Seorang daripada peguamnya, K. Kumaraendran, berkata para pegawai SPRM telah selesai melakukan soal siasat mereka.
“Tiada apa lagi yang ingin saya katakan. Saya belum bersedia untuk membuat sebarang kenyataan,” katanya kepada pemberita.
SPRM tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bagi menjelaskan mengapa ia mengambil masa yang begitu lama untuk menyoal siasat Rosmah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull, memberitahu pemberita pada Isnin bahawa laporan agensi itu berkaitan Rosmah telah diserahkan kepada pejabat peguam negara untuk tindakan lanjut.
"SPRM hanya bertanggunjawab menjalankan siasatan. Terpulang kepada [peguam negara] sama ada ingin mendakwa Rosmah atau sebaliknya," katanya kepadda pemberita ketika itu.
Pihak berkuasa telah melarang Najib dan isterinya meninggalkan negara selepas parti gabungan pemerintah Barisan Nasional tersingkir daripada kuasa pada pilihan raya umum 9 Mei. Kekalahan itu menyaksikan Mahathir Mohamad kembali memegang tampuk kekuasaan dan membawa kepada pembukaan semula siasatan berhubung skandal 1MDB.
SPRM telah menyoal siasat Najib berhubung isu bagaimana wang sebanyak RM2.6 bilion (kira-kira AS$642.6 juta) dan RM42 juta (kira-kira AS$10 juta) dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB, berada dalam akaun bank peribadinya.
Najib, yang dibebaskan dengan jaminan AS1 juta, telah menafikan sebarang salah laku dan mendakwa dana itu telah disumbangkan kepadanya oleh keluarga diraja Arab Saudi.
Najib telah mengasaskan 1MDB sebagai sebuah dana pelaburan negara bagi mencari projek-projek yang bermanfaat kepada rakyat Malaysia. Bagaimanapun, menurut dokumen mahkamah yang difailkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ), dana itu sebaliknya telah digunakan bagi menampung gaya hidup mewah mereka yang berkuasa terhadapnya, antara 2009 dan 2014.
Para pegawai DOJ telah menyifatkan skandal 1MDB sebagai “skandal kleptokrasi paling buruk dalam masa terdekat,”dan mendakwa bahawa hampir AS$4.5 bilion wang daripada dana negara itu telah diseleweng dan digubah menerusi pemerolehan hartanah dan aset lain.
Beberapa hari selepas Mahathir mengambil alih kuasa, polis telah menyerbu bekas pejabat dan kediaman yang dikaitkan dengan Najib serta merampas sejumlah 567 beg tangan berjenama, beratus-ratus jam tangan mewah dan berdozen-dozen bagasi yang mengandungi wang tunai serta 12,000 barangan kemas.
Polis berkata serbuan itu adalah sebahagian daripada siasatan berhubung kes 1MDB dan menambah bahawa barangan yang dirampas dianggarkan bernilai AS$273 juta.
Menimbulkan Spekulasi
Soal siasat terhadap Rosmah yang memakan masa yang panjang telah menimbulkan spekulasi bahawa beliau mungkin ditahan. Bagaimanapun, Shukri, Ketua Pesuruhjaya SPRM, menafikan bahawa beliau berada dalam tahanan.
“Tiada tangkapan. Rakaman keterangan masih berlangsung,” katanya sebelum itu kepada BeritaBenar pada Rabu.
Gaya hidup mewah Rosmah menyebabkan beliau dibandingkan dengan bekas wanita pertama Filipina Imelda Marcos, yang telah menyimpan beratus-ratus pasang kasut berjenama di tingkat bawah kediamannya di istana presiden di Manila sebelum satu revolusi rakyat yang disokong oleh tentera menggulingkan suaminya pada 1986.
Bagaimanapun Najib dan Rosmah menegaskan bahawa kebanyakan barangan yang dirampas oleh polis di kediaman mereka merupakan hadiah yang dikumpul sepanjang kerjaya Najib sebagai seorang pegawai kerajaan, selain hadiah yang diterima oleh anak perempuan mereka semasa perkahwinannya.