Malaysia bakal pindahkan kanak-kanak warganegara asing di depoh tahanan ke ‘rumah selamat’
2023.08.22
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 7.40 pagi waktu tempatan ETS - 2023-08-23
Malaysia tidak lama lagi akan mula memindahkan kanak-kanak warga asing yang ditahan di depoh imigresen ke lokasi baharu di mana mereka akan menerima penjagaan yang bersifat lebih “manusiawi”, demikian kata Menteri Dalam Negeri pada Selasa.
Langkah tersebut akhirnya bakal dilaksanakan setelah sekian lama dikritik pelbagai pihak mengenai kebajikan golongan bawah umur yang diletakkan dalam jagaan di fasiliti tahanan yang sangat sesak.
Sebagai permulaan, seramai 80 daripada 1,030 kanak-kanak bawah umur beserta ibu bapa atau penjaga mereka akan dipindahkan dari pusat tahanan ke sebuah “rumah selamat” di Nilai, Negeri Sembilan, kira-kira 45km (28 batu) dari Kuala Lumpur di bawah inistiatif penempatan semula, kata Saifuddin Nasution Ismail.
"Mereka akan menjadi kumpulan pertama dan merupakan permulaan kepada usaha berterusan dalam menempatkan semula kanak-kanak warga asing dari pusat tahanan imigresen ke penempatan yang lebih manusiawi, suasana yang lebih kondusif serta penjagaan lebih baik dari yang diterima sekarang," katanya kepada media di Putrajaya.
Tambahnya, "kumpulan pertama kanak-kanak yang akan ditempatkan semula itu, kini sedang berada di pusat tahanan sementara di Semenyih, Bukit Jalil dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)."
Menurut Saifuddin, kementeriannya sedang menyediakan kawasan yang telah dikenalpasti sementara kerja-kerja menyiapkan pusat tersebut sedang giat dijalankan termasuk persiapan logistik seperti bekalan air, kemudahan elektrik dan memasukkan tilam.
Kata menteri itu lagi, kanak-kanak yang bakal ditempatkan semula itu termasuk mereka yang ditahan sama ada bersama atau tanpa ibu bapa atau salah seorang daripadanya yang akan dipindahkan dalam satu kumpulan ke tempat baharu tersebut.
“Matlamat akhir ialah untuk mereka dihantar pulang ke negara masing-masing. Mereka akan kekal berada di bawah jagaan sehingga proses pengenalan dan pemberitahuan ke negara asal serta pengeluaran dokumen perjalanan selesai,” tambahnya.
Menjawab soalan media berkenaan kos operasi bagi penempatan baharu itu, Saifuddin berkata ianya melibatkan kos yang minimum dan masih dalam kemampuan kementerian.
Beliau juga berkata, memberi keutamaan terhadap aspek kawalan dan penjagaan, inisiatif tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama antara Jabatan Imigresen dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), meskipun sebelum ini Saifuddin berkata penempatan baharu akan diletakkan di bawah jagaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Namun, Saifuddin berharap usaha terbaharu ini akan mendapat sokongan dan bantuan daripada pihak NGO terutama sekali dari sudut pendidikan Khamis lalu, Saifuddin berkongsi gambar lawatan beliau ke lokasi yang dicadangkan sebagai 'rumah selamat' yang baharu bagi kanak-kanak yang ditahan di pusat tahanan Imigresen di KLIA, di akaun media sosial milik beliau.
Berdasarkan perkongsian gambar tersebut, kemudahan baharu yang dibina tersebut turut dilengkapi dengan taman permainan kanak-kanak.
Penubuhan penempatan kanak-kanak ini adalah tekad saya seawal menjawat jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri kerana bagi saya kanak-kanak ini tidak bersalah dan perlu diberikan keadilan sewajarnya.”
“Dengan izin Tuhan, penempatan ini akan disegerakan sedaya mungkin. Tolong doakan kami,” katanya dalam hantaran di media sosialnya itu.
Kumpulan hak asasi, NGO dan aktivis hak asasi kanak-kanak telah lama memperjuangkan dan mengemukakan rayuan agar kerajaan dapat mengambil langkah lebih kemanusian terhadap kanak-kanak warga asing supaya tidak ditahan di fasiliti imigresen yang penuh sesak.
Namun usaha tersebut gagal menunjukkan sebarang perkembangan yang ketara.
Hasil semakan BenarNews menunjukkan isu ini dibangkitkan pada tahun 2012 apabila perbincangan untuk mencari serta melaksanakan Alternatif Untuk Penahanan kanak-kanak bermula sebagai respon kepada laporan tahunan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Pada tahun itu, dalam maklumbalas kepada Suhakam, kerajaan Malaysia berkata – “Bagi menangani isu itu, Pusat Tahanan Jabatan Imigresen Malaysia telah mengambil langkah-langkah untuk mengasingkan tahanan kanak-kanak dari tahanan dewasa.
Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun akan ditahan bersama penjaga mereka (ibu), dan kerana kekurangan kemudahan yang sesuai untuk tahanan kanak-kanak di depoh tahanan, adalah dicadangkan supaya NGO menubuh serta menguruskan ‘rumah selamat’ bagi kanak-kanak tersebut.”
Bagaimanapun, janji serta rancangan yang dibuat oleh barisan Jemaah Menteri terdahulu serta pegawai kerajaan gagal dilaksanakan seperti yang dibayangkan dan telah ditangguhkan sejak sekian lama.
Langkah tepat
Sehubungan dengan langkah yang diambil kerajaan Malaysia pada Selasa, seorang aktivis kanak-kanak, James Nayagam, menyuarakan persetujuannya terhadap perkembangan terkini, dengan mengatakan bahawa kanak-kanak tidak seharusnya diletakkan di bawah jagaan Imigresen.
“Mengeluarkan kanak-kanak dari pusat tahanan adalah langkah yang sangat positif. Kanak-kanak tidak seharusnya ditempatkan di pusat tahanan, dan kami telah lama menanti perkembangan seumpama ini – hampir 10 tahun lamanya,” kata Nagayam yang juga bekas Pesuruhjaya Suhakam kepada Benarnews.
“Ini adalah kali pertama negara benar-benar melaksanakan rancangan seumpama ini. Isunya ialah semua kanak-kanak diletakkan di bawah jagaan Jabatan Imigresen. Walaupun imigresen masih mempunyai kuasa ke atas penempatan baharu tersebut, ianya tetap bukan sebuah pusat tahanan sebaliknya ianya adalah rumah selamat,” tambahnya lagi.
James berkata birokrasi rumit yang melibatkan kanak-kanak migran adalah antara faktor penghalang kepada pelaksanaan perubahan seumpama itu, sambil berharap agar lebih banyak jabatan akan turut serta dalam menjayakan usaha tersebut.