Rusia, Asia Tenggara makin rapat, bentuk politik multipolar dan hubungan dagang

Perdagangan antara Moscow dan rantau ini melonjak semula, meningkat 10 peratus kepada AS$17 bilion dari Januari hingga September 2024.
Shailaja Neelakantan
2025.03.07
Washington
Rusia, Asia Tenggara makin rapat, bentuk politik multipolar dan hubungan dagang Presiden Indonesia Prabowo Subianto (kiri) bersama Setiausaha Majlis Keselamatan Rusia Sergei Shoigu selepas mereka mengadakan mesyuarat di Istana Merdeka, Jakarta, 25 Februari 2025.
[Achmad Ibrahim/AP]

Presiden Rusia, Vladimir Putin menjelaskan matlamatnya untuk meningkatkan hubungan dengan Asia Tenggara apabila menghantar seorang pegawai kanan bagi memperkukuh hubungan dengan rantau ini ke arah mencapai matlamat bersama dalam membentuk order dunia lebih multilateral, kata penganalisis kepada BenarNews.

Setiausaha Majlis Keselamatan Rusia, Sergei Shoigu mengadakan perbincangan dengan Indonesia dan Malaysia pada minggu lalu selaras dengan hasrat ketiga-tiga negara untuk mempelbagaikan pasaran dan pusat kuasa di luar paksi Washington-Beijing, kata Emil Avdaliani, pakar hubungan antarabangsa di Universiti Eropah di Tbilisi.

“Rusia melihat Asia Tenggara sebagai salah satu tonggak dalam order dunia multipolar yang kian berkembang. Ini bermakna Moscow berusaha memperkukuh hubungan politik dan ekonomi dengan ruang geopolitik yang dinamik ini,” kata Avdaliani kepada BenarNews.

Sekatan Barat terhadap Rusia selepas ia menyerang Ukraine menjadi pendorong utama bagi Moscow untuk memandang ke arah Timur, tambahnya.

“Rusia memahami bahawa Asia Tenggara berada dalam kedudukan yang sukar selepas pencerobohan Ukraine pada 2022 dan Moscow berhati-hati agar tidak memaksakan visinya ke atas rantau ini,” jelasnya lagi.

“Rusia juga memahami bahawa Asia Tenggara mengutamakan kepentingannya sendiri, yang bermaksud mereka mengamalkan dasar luar pelbagai hala dengan mengimbangi kuasa besar dan tidak memilih mana-mana pihak.”

Dasar luar Asia Tenggara tidak seragam

Asia Tenggara bukanlah satu blok yang seragam di mana negara sekutu rapat Amerika Syarikat (AS) seperti Filipina dan Singapura yang mengenakan sekatan terhadap Moscow mungkin kurang selesa dengan pengaruh Rusia yang semakin meluas.

Hubungan baharu Rusia dengan China – yang sering disebut sebagai “pakatan demi kepentingan” – juga mungkin menimbulkan kegelisahan bagi Filipina kerana ketegangan mereka dengan Beijing di Laut China Selatan.

Namun, dalam landskap geopolitik dunia yang berpecah-belah, negara yang berpihak kepada Washington atau Beijing semakin sedar bahawa mereka perlu lebih berdikari dalam melindungi kepentingan sendiri.

Misalnya, duta Filipina ke Washington, Jose Manuel Romualdez ketika bercakap dengan wartawan baru-baru ini menegaskan negara-negara terbabit perlu sentiasa bersedia untuk menggunakan sumber mereka sendiri bagi memastikan kepentingan nasional terjamin.

russia-2.jpeg
Papan pemidang di lokasi Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN-Rusia ke-21 menyorot potensi peluang kerjasama dalam tenaga nuklear awam dan teknologi antara Rusia dan negara ASEAN di Jakarta, Indonesia, 19 Februari 2025. [Kedutaan Rusia ke ASEAN melalui X @ASEANRussia]

Perdagangan meningkat walau hadapi sekatan

Negara-negara Asia Tenggara secara keseluruhannya sejak sekian lama dilihat mengamalkan dasar luar yang bersifat berkesan, sesuatu yang menarik bagi Rusia, menurut penganalisis Muhammad Waffaa Kharisma.

“[Mereka] kurang terikat dengan keputusan politik rentas Altantik atau Eropah,” kata penyelidik di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Jakarta kepada BenarNews.

“Kebanyakan negara membangun di rantau ini boleh menjadi agak pragmatik.”

Data perdagangan mencerminkan amalan pragmatisme Asia Tenggara ini.

Selepas mencatatkan sedikit penurunan berikutan sekatan Barat terhadap Moscow sejak Februari 2022, perdagangan Asia Tenggara dengan Rusia kembali meningkat.

Perdagangan Rusia-ASEAN melonjak sebanyak 10 peratus kepada AS$17 bilion dalam tempoh Januari-September 2024, demikian menurut laporan agensi berita milik Moscow, Sputnik, yang memetik kenyataan seorang menteri Rusia pada November.

Perdagangan antara kedua-dua pihak untuk keseluruhan 2023 berjumlah AS$15.8 bilion, menurut data ASEAN.

Negara anggota ASEAN seperti Indonesia, Malaysia dan Vietnam yang semuanya mengamalkan dasar berkecuali, meningkatkan perdagangan dengan Rusia terutamanya pada tahun lalu.

Kerajaan Indonesia mengambil pendirian tegas apabila ditanya mengenai hubungan yang semakin erat dengan Rusia.

Selagi hubungan itu bersifat saling menguntungkan dan “menghormati,” tidak ada sebab untuk tidak memperluaskan kerjasama, kata jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Rolliansyah Soemirat.

“Mengapa tidak bekerjasama dengan Rusia?” katanya kepada BenarNews. “Indonesia tidak gentar dengan mana-mana negara selagi kepentingan nasional kami dipertahankan.”

russia-3.jpeg
Dr. Khaled Mohammed Abu Jari (tengah, kiri), ketua jabatan rawatan rapi di Hospital Beit Hanoun berbuka puasa pada bulan suci Ramadan bersama keluarganya di luar khemah mereka di Beit Lahia, utara Semenanjung Gaza, Palestin, 4 Mac 2025. [Bashar Taleb/AFP]

Alexey Gruzdev, menteri industri dan perdagangan Rusia berkata perdagangan meningkat kerana perniagaan Rusia telah “berjaya menyesuaikan diri” dengan sekatan Barat, lapor Sputnik pada November.

Bagaimanapun menurut penganalisis, terdapat faktor lain selain kebolehan syarikat menyesuaikan diri.

Rusia telah memanfaatkan sentimen anti-Barat yang semakin meningkat terutamanya berhubung konflik di Gaza untuk memperkukuh imejnya di Asia Tenggara, kata Radityo Dharmaputra, pakar Eropah dan Eurasia di Universiti Airlangga, Indonesia.

Sokongan Moscow terhadap rakyat Palestin selari dengan pendirian negara-negara majoriti Muslim seperti Indonesia dan Malaysia yang mengecam tindakan sekutunya, Israel, yang didakwa bertindak balas secara tidak seimbang terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

“Naratif ini telah menjadi sebahagian teras strategi Rusia,” kata Radityo.

“Dengan mempromosikan mesej anti-Barat … Rusia berjaya meraih sokongan, terutamanya di Malaysia dan Indonesia.”

Pelbagaikan jaringan bekalan

Dalam pada itu, beberapa negara Asia Tenggara secara proaktif mahu mengakses pasaran alternatif yang turut menyebabkan peningkatan perdagangan dengan Rusia, kata Julia Roknifard, seorang pakar hubungan antarabangsa di Kuala Lumpur.

“Langkah itu adalah tentang mempelbagaikan rantaian bekalan daripada hanya bergantung kepada rakan dagang utama,” kata Roknifard, pensyarah kanan di Sekolah Undang-Undang dan Tadbir Urus Universiti Taylor’s kepada BenarNews.

“Rusia, sebaliknya berminat dengan produk daripada industri semikonduktor Malaysia.”

russia-4.jpeg
Seorang pekerja memeriksa produk semikonduktor di kilang syarikat pembungkusan Unisem (M) Berhad di Ipoh, Malaysia, 15 Oktober 2021. [Lim Huey Teng/Reuters]

Susulan amaran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang baru dilantik untuk mengenakan cukai ke atas import dengan tumpuan kepada negara-negara yang mempunyai defisit perdagangan dengan AS terutamanya Vietnam, Thailand dan Malaysia, pasaran baharu akan membantu mengurangkan kemungkinan kelembapan perdagangan di Asia Tenggara.

Faktor BRICS 

Satu lagi strategi Rusia untuk menarik minat Asia Tenggara adalah dengan memasarkan BRICS, sebuah blok ekonomi baru muncul yang diasaskannya pada 2006 sebagai laluan ke arah mewujudkan dunia multipolar.

BRICS dinamakan bersempena pengasasnya iaitu Brazil, Rusia, India dan China serta Afrika Selatan yang menyertai blok itu pada 2010.

Meningkatkan kerjasama dalam platform BRICS menjadi keutamaan dasar luar Moscow, menurut laporan TASS yang memetik Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergey Ryabkov pada April 2023.

Semasa Rusia mempengerusikan BRICS pada tahun lalu, blok itu mengumumkan bahawa Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam akan menjadi negara rakan kerjasamanya.

Indonesia kemudiannya secara rasmi menyertai kumpulan tersebut pada Januari dan menyatakan “penghargaan kepada Rusia” kerana memudahkan keahliannya.

russia-5.jpeg
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy (kiri) bercakap dengan Naib Presiden Amerika Syarikat J.D. Vance (kanan) ketika bertemu Presiden Donald Trump di Pejabat Oval, White House, Washington, 28 Februari 2025. [Saul Loeb/AFP]

Bekas Menteri Luar Malaysia, Syed Hamid Albar berkata ASEAN perlu bekerjasama lebih erat dengan BRICS bagi mengimbangi hubungan mereka dengan kuasa besar dalam landskap geopolitik yang sentiasa berubah.

“Rusia memberikan ruang kepada negara kecil dan besar untuk bergerak ke arah dunia baharu yang lebih multilateral,” katanya kepada BenarNews.

Dasar baharu AS terhadap Ukraine

Sementara itu, langkah Washington mengubah pendirian bermusuhan terhadap Moscow berkaitan perang Ukraine akan membawa kesan di seluruh dunia termasuk Asia Tenggara, menurut penganalisis.

Chester Cabalza, seorang pakar keselamatan membayangkan terdapat kemungkinan berlaku implikasi terhadap Filipina susulan perubahan dasar itu.

Manila dan Washington terikat dalam perjanjian pertahanan bersama yang telah lama wujud.

“Pegawai pertahanan AS masih bertegas untuk mengekalkan hubungan pertahanan mereka dengan Filipina,” kata Cabalza, yang mengetuai badan pemikir di Manila, International Development and Security Cooperation kepada BenarNews.

Namun perubahan dasar Washington telah “secara halus mengingatkan Manila untuk mengamalkan kebergantungan kendiri,” tambahnya.

Peralihan AS dalam isu Ukraine juga mungkin membantu memperluaskan hubungan Asia Tenggara dengan Rusia, kata Radityo Dharmaputra, pakar Eropah-Eurasia dari Universiti Airlangga.

“Kini terdapat rasa lega di Asia Tenggara mengenai hubungan AS-Rusia,” kata Radityo yang mengetuai Pusat Kajian Eropah dan Eurasia universiti itu, kepada BenarNews.

“Negara-negara ini nampaknya berasa lebih yakin bahawa hubungan antara Washington dan Moscow telah bertambah baik, membolehkan mereka menyambung semula hubungan perdagangan dan diplomatik.”

Iman Muttaqin Yusof di Kuala Lumpur, Tria Dianti di Jakarta dan Jason Gutierrez di Manila turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.