Malaysia lulus undang-undang baru konservasi tenaga
2023.10.11
Kuala Lumpur
Parlimen Malaysia telah meluluskan sebuah undang-undang baharu yang mewajibkan pengguna elektrik berskala besar mengambil langkah untuk menjimatkan tenaga bagi mengurangkan pelepasan karbon sekaligus mampu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sehingga AS$20 bilion menjelang tahun 2050.
Cadangan akta tersebut telah diluluskan oleh Dewan Rakyat selepas dibahaskan oleh 13 Ahli Parlimen yang majorinya bersetuju melalui undian secara suara dengan Rang Undang-Undang tersebut perlu dibawa ke Dewan Negara untuk mendapat kelulusan sebelum digazet dan dikuatkuasa.
Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia, Nik Nazmi Nik Ahmad, Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga dijangka dapat mengurangkan jumlah caj elektrik sehingga 25 peratus setahun kepada kira-kira 1,500 pengguna berskala besar, sekaligus menyumbang kepada sasaran Malaysia untuk menjadi negara sifar pelepasan gas rumah hijau pada 2050.
“Kerajaan dijangka dapat menjimatkan penggunaan tenaga yang dianggarkan berjumlah 2,017 juta gigajoule (GJ) atau bersamaan RM97.1 bilion dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 197,877 kiloton (ktCO2) bagi sektor industri, komersial dan domestik sehingga 2025.
"Negara juga dijangka dapat mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan baharu dan membolehkan kerajaan membuat perancangan bagi pembangunan tenaga negara dengan lebih berkesan, kata menteri itu, di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata, undang-undang baharu itu bagaimanapun hanya terpakai kepada pengguna elektrik berskala besar yang melebihi 21,600 gigajoules setahun.
Akta tersebut kata Nik Nazmi, antara lain mewajibkan pengguna elektrik berskala besar melantik Pengurus Tenaga Berdaftar bagi membangunkan sistem pengurusan tenaga serta melaksana audit tenaga dengan perlu mengemukakan laporan berkala mengenai penggunaan tenaga kepada pihak berkuasa.
Selain itu, undang-undang baharu berkenaan juga mewajibkan pengurus bangunan besar yang melebihi 8,000 meter persegi supaya mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan kerajaan mengenai kecekapan penggunaan tenaga.
"Penguatkuasaan rang undang-undang ini akan menyokong prinsip pembangunan mampan selaras dengan agenda pembangunan ekonomi hijau di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas serta menyumbang kepada pencapaian aspirasi Net Zero GHG Emissions negara menjelang tahun 2050," tambah menteri itu.
Langkah positif
Aktivis alam sekitar Renard Siew menyokong langkah diambil kerajaan untuk mewajibkan pengguna elektrik berskala besar supaya mengambil langkah penjimatan.
Siew, yang merupakan penasihat perubahan iklim dan kelestarian di Pusat Pengajian Politik dan Pentadbiran, berpandangan bahawa ia juga akan dapat meningkatkan inovasi dalam bidang tenaga.
"Undang-undang baharu ini akan dikuatkuasakan 12 bulan selepas digazet. Saya menyokong langkah mandatori yang boleh dikuatkuasakan ini dan percaya ia dapat meningkatkan lebih banyak inovasi dalam sektor tenaga. Banyak negara lain juga telah melaksanakan langkah seumpama ini dalam pelbagai bentuk dan cara," kata beliau kepada BenarNews.
Bagi Andrew Sebastian, presiden dan CEO Persatuan Ekopelancongan dan Konservasi Malaysia, akta tersebut masih belum bersifat holistik untuk menangani isu pelepasan karbon dalam negara secara keseluruhan.
Kata beliau, beberapa sektor lain seperti pengangkutan dan pertanian juga perlu dilibatkan dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon.
"... saya mengalu-alukan langkah ini, ia satu langkah yang bagus ke hadapan, tetapi saya rasa ia tidak adil sekiranya kita berhenti setakat ini sahaja.
“Secara holistiknya, kita perlu melibatkan sektor lain dan mengadakan tindakan atau undang-undang lain untuk menangani masalah pelepasan gas rumah hijau secara serius," kata beliau kepada BenarNews.
Sebastian turut berharap pihak berkuasa yang diberikan tanggungjawab untuk menyelia penggunaan tenaga dapat memberi menekankan terhadap penguatkuasaan supaya undang-undang baharu itu menjadi benar-benar berkesan.
Iman Muttaqin Yusof dan Ili Shazwani Ihsan di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.