Polis Minta Mat Sabu Kemuka Bukti
2015.12.01

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) meminta pemimpin sebuah parti pembangkang di negara itu supaya tampil mengemukakan bukti berhubung dakwaannya bahawa pemikiran kumpulan pengganas antarabangsa Negara Islam (IS) telah menyusup ke dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Bukit Aman, Ayub Khan Mydin Pitchay meminta Presiden Parti Amanah Nasional (AMANAH), Mohamad Sabu, mengemukakan bukti dakwaan beliau kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.
"Jika demikian dakwaan Mohamad (mengaitkan PAS dengan pemikiran IS), beliau perlu memberikan bukti itu kepada pihak polis, supaya tindakan dapat diambil," katanya kepada BeritaBenar pada Selasa.
Ayub Khan diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal media tempatan Malaysia yang memetik Mohamad sebagai berkata, pemikiran gaya IS telah menyusup ke dalam PAS dan mahu pihak berkuasa campur tangan dan menyiasat mengenainya.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai 'Mat Sabu' merupakan bekas Timbalan Presiden PAS. Beliau dilaporkan sebagai berkata, antara sebab beliau meninggalkan PAS pada September lepas dan menubuhkan Parti Amanah ialah kerana terdapatnya penyebaran ideologi pelampau dalam PAS.
Parti Amanah adalah sebuah parti baru, dan anggotaannya terdiri daripada serpihan ahli PAS. Ia ditubuhkan selepas beberapa ahli dari golongan profesional dalam PAS kecewa kerana ditolak daripada memegang beberapa jawatan utama di Muktamar tahunan PAS pada Jun lepas.
Mohamad turut mendakwa para pemimpin PAS mungkin tidak menyedari kehadiran pemikiran pengganas kerana beberapa orang ahlinya telah secara senyap-senyap menuju ke Iraq dan Syria untuk mengangkat senjata bersama kumpulan IS.
"Sebagai contoh dalam PAS kita tidak sedar bahawa beberapa orang anggota telah pergi ke Iraq dan Syria untuk berjuang di Syria dan Iraq. Kami hanya diberitahu bahawa terdapat ahli PAS pergi ke sana.
"Kemudian datangnya kisah bagaimana Ustaz Lotfi Ariffin yang telah meninggal dunia di Syria," kata Mohamad merujuk kepada Allahyarham Lotfi yang juga ahli PAS Kedah yang terbunuh di Syria pada tahun lepas.
Mohamad juga turut mendakwa, pemikiran kumpulan pengganas mula menyusup ke dalam PAS kira-kira empat hingga lima tahun yang lalu, dengan melahirkan budaya 'takfiri' dalam parti itu.
Budaya 'takfiri' adalah merujuk kepada tindakan mengkafirkan kumpulan yang berbeza pandangan serta menghalalkan pertumpahan darah.
"Saya minta siasatan yang serius dilakukan oleh Cawangan Khas (PDRM) kerana ini adalah sangat bahaya kepada negara ini,” kata Mohamad seperti dilaporkan portal media berkenaan.
Dalam pada itu, Ayub menambah "Maklumat yang kita perolehi, terdapat seorang ahli PAS dari Kedah, yang berjuang di Syria, iaitu Ustaz Lofti. Beliau dipercayai berjuang di bawah Ajnad Al Sham, iaitu kumpulan pemberontak yang merupakan musuh kerajaan Syria dan militan Negara Islam (IS).”
'Bukti sebelum keluar kenyataan'
Sementara itu akhbar Utusan Malaysia melaporkan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hasan sebagai berkata, Mohamad perlu membuktikan terlebih dahulu tuduhan itu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
"Beliau (Mat Sabu) bertanggungjawab dengan kenyataan itu. Kenyataan itu berniat jahat dan beliau perlu membuktikan dakwaan tersebut,” katanya pada Selasa.
Bagi Ketua Wanita Parti Persatuan Cina Malaysia (MCA), salah sebuah parti dalam gabungan parti pemerintah, Heng Seai Kie menggesa PDRM menyiasat dakwaan berkenaan, termasuk menyiasat peringkat kepimpinan serta ahli PAS yang terpengaruh dengan fahaman militan IS itu, sehingga sanggup meninggalkan Malaysia untuk menyertai kumpulan pengganas itu.
"Andai terbukti benar, maka parti PAS itu perlu diharamkan di bawah ancaman keselamatan negara. Malah, pihak polis juga perlu mengenal pasti jika ada ahli PAS yang ditahan kerana terlibat dengan kumpulan pengganas lain seperti Al-Qaeda, Abu Sayyaf atau Jemaah Islamiah," katanya.
Kerajaan Malaysia juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa IS adalah sebuah pertubuhan pengganas; oleh itu ia tidak bersetuju dengan fahamannya atau dengan sebarang aktivitinya.
Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.