Malaysia Perlu RM1 Bilion Kos Baik Pulih Infrastruktur Akibat Banjir

Lebih 14 ribu mangsa dipindahkan sejak banjir melanda lapan buah negeri bermula November lepas.
Noah Lee & Nisha David
2022.01.03
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Malaysia Perlu RM1 Bilion Kos Baik Pulih Infrastruktur Akibat Banjir Kampong Bantal yang terletak di Taman Negara dilanda banjir semula apabila paras air di Sungai Tembeling naik mendadak selepas hujan lebat dengan limpahan air dari hulu Sungai Pahang, di Pahang, 29 Disember, 2021.
[Farish Yusoff Ahmad/BenarNews]


Hujan lebat yang dibawa musim tengkujuh di Malaysia telah menyebabkan banjir besar serta memusnahkan banyak infrastruktur di lapan buah negeri, dengan menyebabkan seramai 14,219 penduduk kehilangan tempat tinggal setakat ini, demikian menurut pihak berkuasa negara itu pada Isnin.

Pada hari yang sama, Perdana Menterinya berkata kerja-kerja baik pulih infrastruktur yang rosak akibat bencana menelan belanja hampir RM1 bilion (AS$240 juta) dengan Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan beberapa langkah yang akan diambil Putrajaya bagi menambahbaik sistem amaran awal banjir oleh Jabatan Meteorologi.

"Setakat jam 11.55 malam, Johor merekodkan bilangan penduduk yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara teramai iaitu 5,154 orang, diikuti oleh Sabah (2,698), Melaka (2,624), Pahang (1,847), Negeri Sembilan (1,837), Selangor (40) dan Terengganu (19)," menurut Jabatan Kebajikan melalui aplikasi Info Bencana.

Keadaan di Kelantan dilihat pulih dengan kesemua mangsa banjir sudahpun berpindah balik ke rumah masing-masing.

Cuaca buruk dan hujan lebat dijangka berterusan sepanjang Monsun Timur Laut yang bermula November.

Keadaan banjir itu juga berkemungkinan akan bertambah buruk, dengan Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran terbaru pada jam 4 petang Isnin mengenai hujan berterusan (peringkat buruk dan waspada) di enam buah negeri iaitu Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu dan Sabah.

Berkaitan kerja baik pulih jalan serta jambatan runtuh akibat banjir yang melanda negara di lokasi terjejas, Ismail Sabri berkata kos dianggarkan melibatkan hampir RM1 bilion.

"Menurut Kementerian Kerja Raya (JKR) terdapat 895 lokasi bencana dikesan sepanjang Monsun Timur Laut 2021/2022 yang melibatkan lokasi banjir, banjir kilat, cerun, tanah dan jalan runtuh, mendap, serta jambatan rosak teruk, dengan jangkaan inisiatif pemulihan melibatkan kos sebanyak RM967.2 juta," kata beliau.

Sejak Disember, tempias Taufan Rai yang telah meragut banyak nyawa di Filipina telah terkena kepada Malaysia sehingga menyebabkan kemusnahan di kawasan-kawasan yang ditengelami air di beberapa buah negeri di Semenanjung.

Ia telah menenggelamkan banyak rumah, menumbangkan pokok-pokok serta tiang elektrik, dan menyebabkan tanah runtuh serta mendap termasuk menghanyutkan jambatan yang menghubungkan banyak kampong terutamanya di kawasan pedalaman.

Berdasarkan rekod pihak polis, seramai 51 kematian akibat banjir telah direkodkan setakat Ahad (2 Jan).

Sistem amaran awal

Ismail Sabri berkata kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa langkah untuk memperbaiki perkhidmatan dalam menghadapi bencana banjir, termasuk beberapa penambahbaikan ke atas sistem amaran awal seperti Sistem Amaran Siren Banjir Berpusat.

"Kerajaan juga akan menambahkan lagi jumlah siren yang dilengkapi amaran suara di lokasi-lokasi berisiko untuk mengarahkan penduduk berpindah, meletakkan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di stesen pemantauan aras air agar penduduk bersedia untuk berpindah sekiranya air berada pada paras bahaya, serta (sistem) Ramalan Cuaca Berangka," kata beliau dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Menurut beliau Putrajaya juga sedang melihat usaha mempertingkatkan komunikasi serta pendidikan dan kesedaran awam mengenai bencana melalui aktiviti latih amal banjir serta hebahan maklumat oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Mengenai inisiatif untuk membantu mangsa banjir dari segi kewangan, Ismail Sabri berkata kerajaan juga telah menubuhkan pusat kawalan untuk memantau proses agihan Bantuan Wang Ihsan dari kerajaan kepada 46,162 ketua isi rumah yang terlibat.

Setakat 2 Januari, bantuan sebanyak RM1,000(AS$239) bagi setiap isi rumah yang terkesan banjir telah mencapai 61.2 peratus pengagihan (28,258 keluarga).

"Bantuan telah berjaya diagihkan dalam tempoh 10 hari selepas mangsa terkesan banjir berbanding tiga hingga enam bulan sebelum ini. Ia dijangka selesai diagihkan pada 5 Januari 2022. Ini tidak termasuk bayaran Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir gelombang kedua," kata Perdana Menteri itu.

Aktiviti penebangan hutan penyumbang banjir

Sementara itu, aktivis alam sekitar menggesa supaya kerajaan mengamalkan pembangunan secara terancang serta mengawal aktiviti penebangan hutan.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia, Shariffa Sabrina Syed Akil berkata aktiviti penebangan hutan menjadi salah satu punca yang menyebabkan banjir besar.

"Kita tidak perlu mempelajari ilmu roket sains untuk mencari punca banjir yang melanda di beberapa negeri termasuk Selangor sebaliknya punca boleh diketahui dengan menggunakan akal.

"Saya boleh kata antara punca banjir disebabkan berlakunya aktiviti penebangan hutan. Hutan ini adalah nadi kehidupan, walaupun ada sesetengah berpendapat penebangan hutan wajar untuk tujuan pembangunan namun hutan yang ditebang itu perlu ditanam semula," kata beliau kepada BenarNews.

Tambah Sabrina, beliau meletakkan kejadian yang berlaku sebagai salah semua pihak yang memimpin negara.

"Tidak jadi masalah jika kita mahukan pembangunan tetapi janganlah sampai terlampau kerana yang akan menghadapi kesusahannya kelak adalah rakyat.

"Saya menyalahkan semua pemimpin dan ini juga kerana rakyat terlampau baik dan sering bertolak ansur dengan kerajaan dan kita mengikut apa sahaja yang kerajaan minta."

Presiden Sahabat Alam Malaysia Meenakshi Raman pula berkata kerajaan perlu mengambil iktibar daripada apa yang terjadi dan membuat persiapan awal bagi menghadapi bencana di masa akan datang.

"Memang benar bahawa kadar hujan yang telah turun di beberapa bahagian negara kali ini adalah luar biasa, tetapi apa yang penting sekali adalah kita harus bersedia untuk menghadapi pelbagai peristiwa yang tidak dijangka seperti ini, yang mungkin akan berlaku dengan lebih kerap lagi disebabkan oleh kesan-kesan perubahan iklim.

"Di seluruh dunia, peristiwa cuaca melampau yang tidak dijangka ini sedang menjadi lebih kerap, dan kebimbangan telah pun timbul tentang keperluan kita untuk memberi fokus terhadap langkah-langkah adaptasi dan pembinaan daya ketahanan kita terhadap perubahan iklim, serta peningkatan usaha siap siaga kita untuk menghadapi bencana.

"Kita tidak boleh lagi menganggap kadar taburan hujan sebegini sebagai kejadian terpencil sahaja. Sebaliknya, kita harus membuat perancangan untuk menghadapi kejadian-kejadian seperti ini dan mengambil segala jenis langkah yang diperlukan untuk mengurangkan kesan-kesan mereka," kata beliau dalam satu kenyataan kepada BenarNews.

Meenakshi turut mempersoalkan kesediaan dan rancangan Malaysia untuk menghadapi keadaan bencana, terutama sekali apabila masih banyak projek besar dilihat rancak dijalankan di seluruh negara.

"Promosi projek infrastruktur berskala besar seperti pembinaan jalan raya, terowong, penambakan laut dan pembangunan mega masih boleh dilihat di mana-mana; dengan hanya sedikit atau malah tiada kebimbangan langsung terhadap risiko dan kesan-kesan perubahan iklim.

"Kelihatannya, tidak ada sebarang pertimbangan yang wajar tentang sama ada projek-projek sedemikian rupa akan menyumbang atau malah, menjejaskan lagi daya ketahanan negara terhadap perubahan iklim."

Sementara itu, Kementerian Kesihatan melaporkan satu kes baru penularan COVID-19 di kalangan mangsa banjir pada Isnin, menjadikan bilangan keseluruhan mangsa bencana yang dijangkiti koronavirus setakat ini seramai 461 orang.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah, pihak berkuasa kesihatan turut mengesan 39 lagi kes penyakit berjangkit yang lain dalam kalangan mangsa banjir.

Daripada jumlah itu, 33 didapati mempunyai jangkitan saluran pernafasan akut, penyakit kulit (4), dan acute gastroenteritis (2).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh