Asia Tenggara Berdepan Serangan Balas Dendam Selepas Kematian al-Baghdadi
2019.10.28
Jakarta, Kota Kinabalu, Dhaka dan Cotabato City
Negara-negara Asia Tenggara pada Isnin meningkatkan kawalan keselamatan untuk menghalang kemungkinan berlakunya "serangan balas dendam" selepas kematian pemimpin militan Negara Islam Abu Bakr al-Baghdadi, kata para pegawai, walaupun pihak berkuasa anti-keganasan memperkecilkan kesan kematiannya terhadap militan tempatan.
Al-Baghdadi, yang merupakan pengganas IS paling dikehendaki di dunia selepas mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah di Mosul, Iraq pada 2014, mati bersama-sama tiga anaknya selepas meletupkan dirinya semasa serbuan pihak tentera Amerika Syarikat [AS] di wilayah Idlib, di barat laut Syria, demikian diumumkan Presiden Donald Trump pada Ahad.
"Semua rangkaian [militan] sedang dipantau oleh Densus 88," kata jurucakap polis nasional Indonesia, Asep Adi Saputra, kepada BeritaBenar, yang merujuk kepada pasukan elit anti keganasan negara itu. "Tetapi, peristiwa terbaru ini mendorong kami supaya lebih berwaspada untuk menjangka kemungkinan berlakunya serangan balas dendam oleh penyokong al-Baghdadi."
Kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara, yang menempatkan lebih daripada 270 juta umat Islam, bersedia untuk berdepan militan global yang mencari tapak baru selepas Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya mengumumkan pada Mac lepas mengenai tumpasnya wilayah IS dan pemimpinnya yang digelar khalifah itu. Kumpulan pengganas itu pernah menguasai sejumlah besar kawasan yang dikatakan seluas Great Britian di Iraq dan Syria.
Di Filipina, di mana militan tempatan yang berkaitan IS melancarkan pengepungan besar-besaran hingga menghancurkan bandar Marawi di selatan negara itu pada dua tahun lalu, Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana berkata beliau percaya bahawa kematian al-Baghdadi adalah "sekadar kejutan kecil” bagi IS memandangkan jangkauan kumpulan militan itu di seluruh dunia.
"Seseorang bakal mengambil alih jawatannya untuk memimpin IS. Mungkin bukan seseorang yang terkenal atau dikenali ramai," kata Lorenzana kepada wartawan.
Pihak tentera menempatkan pasukannya di wilayah selatan Filipina berikutan meningkatnya isyarat pada Isnin mengenai kemungkinan berlakunya "serangan simpati" selepas pengumuman Trump itu.
Tetapi Lt. Jen. Cirilito Sobejana, komander Tentera Darat Filipina di Barat Mindanao, memberitahu BeritaBenar bahawa al-Baghdadi tidak terkenal di kalangan anggota militan yang berpangkat rendah.
"Di Filipina, semasa soal siasat yang dijalankan di kalangan mereka yang telah menyerahkan diri, kami dapati mereka tidak begitu mengenali tentang [pemimpin IS yang bernama] al-Baghdadi,” kata Sobejana.
“Saya menjangka kesannya jauh lebih rendah jika mereka mahu menyatakannya sebagi mati syahid," kata beliau. "Ia tidaklah ketara, kecuali mereka yang memimpin [militan tempatan] akan ... mendorong para pengikutnya supaya membalas dendam."
‘Ancaman keganasan akan berterusan’
Negara jiran, Malaysia, iaitu negara Islam yang mempunyai penduduk seramai 33 juta orang, pernah mengalami satu serangan IS tetapi negara itu menyuarakan kebimbangan terhadap "serangan sendirian" oleh individu yang menjadi radikal hasil propaganda dalam talian, kata Ketua Anti-Keganasan Polis Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay.
"Ancaman keganasan akan terus wujud jika kami gagal menangani ideologi yang disebarkan oleh IS atau kumpulan lain yang mengikut ideologi yang sama," katanya kepada BeritaBenar.
Sejak Januari 2018, pihak berkuasa Malaysia telah menahan lebih 450 orang yang mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan. Tetapi, berpuluh-puluh orang daripada mereka telah dibebaskan, menurut angka-angka kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar.
Serangan pengganas berkaitan IS yang pertama berlaku di Malaysia ialah pada 26 Jun 2016 apabila letupan bom tangan mencederakan lapan pelanggan di kelab malam Movida di bandar Puchong berhampiran Kuala Lumpur. Pihak berkuasa menyalahkan pihak IS atas serangan itu.
Tetapi, negara itu juga berdepan dengan ancaman daripada kalangan penduduk tempatan yang bersimpati dengan kumpulan IS dan kumpulan militan serantau termasuk Abu Sayyaf, yang anggotanya dipercayai telah ditangkap oleh pihak berkuasa di Sabah sejak beberapa bulan lalu.
Malaysia telah melancarkan rondaan maritim tiga negara dengan Indonesia dan Filipina selepas Abu Sayyaf dan seorang daripada pemimpinnya, Isnilon Hapilon, yang juga ketua IS yang dilantik di Asia Tenggara, terlibat dalam pertempuran selama lima bulan dengan pasukan keselamatan di Marawi pada dua tahun lalu.
Pertempuran Marawi telah mengorbankan 1,200 orang, dengan kebanyakannya adalah anggota militan, dan menonjolkan keadaan laluan maritim yang berliang-liang di Malaysia, dengan para penganalisis keselamatan percaya banyak pejuang asing yang menyertai Hapilon telah menggunakan Sabah sebagai transit untuk menembusi selatan Filipina yang bergolak dengan konflik.
Sebuah helikopter Huey terbang di atas sebuah kapal Peronda Pantai Filipina yang melakukan rondaan di sekitar kawasan pesisir pantai di wilayah Sulu, selatan Filipina ketika pihak berkuasa negara itu mengetatkan kawalan keselamatan untuk menghalang kemungkinan berlakunya serangan oleh militan Negara Islam, 22 Oktober 2019. [Mark Navales/BeritaBenar]
Pendekatan ‘Inspirasi al-Baghdadi’
Trump berkata al-Baghdadi, yang dipercayai berusia 48 tahun, mati bersama-sama tiga anaknya pada Sabtu setelah meletupkan dirinya dengan jaket bom yag dipakainya di sebuah terowong ketika diburu oleh Pasukan Khas AS di Wilayah Idlib di Syria.
Presiden itu berkata pasukan AS menghabiskan masa selama dua jam di kompleks tersebut dan "merampas bahan serta maklumat sangat sensitif dalam serbuan tersebut, yang kebanyakannya mempunyai kaitan dengan asal-usul [Negara Islam], rancangan masa depan, perkara yang kami amat inginkan."
Munira Mustaffa, penyelidik mengenai keganasan Malaysia di American University di Washington, pula memberitahu BeritaBenar bahawa keputusan al-Baghdadi untuk membunuh dirinya menggunakan jaket bom mungkin merupakan "pendekatan inspirasi sebagai tanda isyarat kepada para pengikutnya supaya melakukan perkara yang sama."
"Saya rasa ia tidak mungkin memberi banyak kesan kepada mereka yang bersimpati dengan IS di Malaysia kerana beliau adalah pemimpin IS yang berada jauh daripada mereka," kata Munira.
"Bagaimanapun, saya akan berhati-hati dalam membuat anggapan tentang bagaimana ia akan memberi kesan kepada mereka yang bersimpati dengan IS di Indonesia."
Dennis Jay Santos di Davao City, Filipina turut menyumbang kepada laporan ini.