Junta Myanmar: PM Kemboja Tidak Dibenarkan Bertemu Pemimpin Demokrasi
2022.01.04
Washington, Kuala Lumpur & Jakarta
KEMASKINI pada 11.50 pagi waktu tempatan ETS - 2022-01-05
Jurucakap junta Myanmar pada Selasa membayangkan bahawa rejim tenteranya tidak akan membenarkan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen bertemu dengan pemimpin pro-demokrasi yang ditahan, semasa lawatannya ke negara bergolak itu pada hujung minggu ini.
Bagaimanapun, penganalisis berkata Hun Sen boleh menjejaskan usaha ASEAN untuk menekan junta Myanmar itu supaya mengembalikan negara itu ke landasan demokrasi, sekiranya beliau gagal bertemu pemimpin pro-demokrasi dalam lawatannya pada 8 hingga 9 Januari, yang pertama oleh pemimpin asing sejak rampasan kuasa tentera berlaku di negara itu pada Februari tahun lepas.
“Hanya mereka yang mewakili parti politik sahaja yang boleh bertemu dan berbincang, tetapi ada sekatan bagi mereka yang masih berdepan dengan pertuduhan undang-undang,” kata jurucakap junta Zaw Min Tun kepada Radio Free Asia (RFA), yang merupakan sekutu BenarNews.
Beliau merujuk kepada pertuduhan, antara lainnya, mengimport walk-talkie, menghasut perbezaan pendapat dan melanggar peraturan COVID-19 terhadap Penasihat Negara dan pemimpin Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) Aung San Suu Kyi serta Presiden yang digulingkan Win Myint.
Junta juga tidak membenarkan bekas utusan khas ASEAN ke Myanmar untuk bertemu dengan pemimpin demokrasi tahun lepas.
Zaw Min Tun tidak menjelaskan sama ada Hun Sen telah meminta untuk bertemu dengan pemimpin tertinggi NLD, termasuk Presiden Win Myint dan Aung San Suu Kyi yang dipecat. Dan jurucakap Kementerian Luar Kemboja, Koy Koung, ketika ditanya oleh RFA, berkata beliau tidak mempunyai maklumat sama ada pemimpin Kemboja itu akan bertemu Aung San Suu Kyi.
'Beliau tidak boleh menyokong apa berlaku di Myanmar'
Lawatan Hun Sen itu dijadualkan dua bulan selepas blok serantau itu menolak kehadiran junta Myanmar daripada sidang kemuncak utamanya kerana mengingkari janji untuk membenarkan pertemuan dengan semua pihak yang terlibat dalam kebuntuan politik semasa negara itu.
Ramai rakyat Myanmar yang pro-demokrasi berang kerana Hun Sen mahu bertemu dengan junta dan menurut mereka, ini akan memberi perakuan kepada pihak junta.
Khit Thit Media, satu daripada lima saluran utama media berita bebas yang diharamkan oleh junta pada Mac lalu, menyiarkan gambar para penduduk Myanmar memijak gambar Hun Sen.
Saluran media lain pula menyiarkan gambar penunjuk perasaan yang memegang sepanduk tertera mesej untuk Hun Sen: “Jangan Sokong Medan Pembunuhan di Myanmar .”
Mereka merujuk kepada pembunuhan beramai-ramai membabitkan lebih 1.7 orang di Kemboja oleh Khmer Rouge pada 1970-an, menurut kajian Universiti Yale.
Sementara itu, satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Selasa oleh hampir 200 kumpulan masyarakat sivil di Myanmar dan luar negara telah mengecam Hun Sen berhubung rancangan lawatannya itu.
ASEAN dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menyokong Konsensus Lima Perkara, dan "mesti memastikan Hun Sen tidak bertindak bersendirian pada 2022 – dengan memberikan perakuan kepada junta tentera Myanmar dan seterusnya membuat mereka berani untuk menyebabkan lebih banyak bahaya kepada rakyat," kata kumpulan itu.
“Ini akan menjadi satu penghinaan kepada rakyat Myanmar dan Kemboja serta menjejaskan lagi kredibiliti ASEAN yang sudah pun merosot semasa Kemboja menjadi pengerusi ASEAN pada 2022.”
Perbincangan dengan Myanmar perlulah melibatkan usaha "menjalinkan hubungan dengan semua mereka yang berkaitan" termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional – iaitu kerajaan awam bayangan - kata Muhammad Arif, pensyarah jurusan hubungan antarabangsa di Universiti Indonesia.
"Apa yang disasarkan ASEAN dengan menggunakan dasarnya untuk mengasingkan junta secara diplomatik adalah bagi mengenakan beberapa kesan politik terhadap pihak junta itu," kata Muhammad Arif kepada BenarNews mengenai blok itu di Ibupejabatnya di Jakarta.
"Jika Hun Sen hanya mengadakan perbincangan eksklusif dengan junta, ia akan menjejaskan usaha ini."
Di Malaysia, bekas menteri luarnya berkata adalah penting bagi Hun Sen untuk menjelaskan bahawa apa yang berlaku di Myanmar tidak boleh diterima oleh ASEAN. Beliau merujuk kepada rampasan kuasa tentera pada 1 Februari 2021 dengan hampir 1,400 orang – yang kebanyakan penunjuk perasaan pro-demokrasi – terbunuh akibat tindakan pasukan keselamatan Myanmar sejak rampasan kuasa itu.
“Beliau tidak boleh menyatakan bahawa apa yang berlaku di Myanmar adalah masalah hal ehwal dalaman negara itu,” kata Syed Hamid Albar, yang juga bekas utusan Pertubuhan Kerjasama Islam ke Myanmar, kepada BenarNews.
“Adalah penting bagi Hun Sen, dalam perbincangannya dengan Myanmar, untuk menyuarakan sentimen ASEAN dan antarabangsa mengenai apa yang berlaku di Myanmar… lawatan beliau tidak boleh menjejaskan pendirian menyeluruh ASEAN berhubung rampasan kuasa itu,” kata beliau.
Hun Sen: perbincangan di meja 'adalah terbaik'
Setakat ini, Hun Sen belum memperkatakan apa-apa mengenai pembunuhan itu.
Minggu lalu, Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn memberitahu Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang baharu di Myanmar Dr. Noeleen Heyzer bahawa negaranya komited untuk mengambil “pendekatan langkah demi langkah yang praktikal ke arah mencapai kemajuan dalam pelaksanaan konsensus lima perkara ASEAN."
Pada April tahun lalu, ketua junta Min Aung Hlaing dan ketua-ketua negara ASEAN yang lain bersepakat untuk melaksanakan konsensus lima perkara itu yang akan membawa Myanmar kembali ke landasan demokrasi. Konsensus itu menggesa dihentikan keganasan, melantik utusan khas ASEAN ke Myanmar dan membenarkan utusan khas mengadakan pertemuan dengan semua pihak yang terlibat dalam konflik itu.
Myanmar telah mengingkari semua perkara itu.
Pada akhir 2021, blok 10 negara anggota itu menghalang Min Aung Hlaing daripada menghadiri sidang kemuncak tahunannya pada Oktober kerana tidak menunaikan janji. Sejak itu, Myanmar tidak menghadiri dua mesyuarat peringkat tertinggi.
Hun Sen, at first, said Myanmar was to blame for being excluded from the ASEAN summit. But he changed his rhetoric soon after he received the ceremonial gavel for the revolving chairmanship of ASEAN.
Hun Sen pada mulanya berkata Myanmar perlu dipersalahkan setelah diketepikan daripada menghadiri sidang kemuncak ASEAN. Tetapi, sejurus selepas beliau diberi jawatan pengerusi mengikut penggiliran ASEAN, pemimpin itu menukar nadanya dengan berkata Myanmar tidak seharusnya dipinggirkan daripada badan serantau itu.
“Ia bukanlah bergantung kepada ASEAN untuk menyelesaikan isu ini. ASEAN berada di sini untuk membantu, tetapi Myanmar perlu menyelesaikan masalahnya sendiri,” kata PM Kemboja itu pada 15 Disember.
“Adalah penting bagi saya untuk bertemu dengan pemimpin [tentera] Myanmar, tetapi perbincangan di luar meja perundingan adalah pendekatan terbaik dan paling berkesan untuk kami ambil. Jangan ganggu saya, beri saya masa,” katanya.
Berita mengenai dua bom meletup berhampiran kedutaan Kemboja di Nyapyitaw pada 31 Disember tidak meresahkan Hun Sen, dengan jurucakap kementerian luar negara itu berkata bahawa lawatan tersebut akan diteruskan seperti yang dirancang.
Beberapa pengkritik tidak mengharapkan apa-apa daripada pemimpin itu, yang menurut mereka, telah menggunakan ASEAN untuk ‘menghalalkan’ kerajaan autoritariannya. Mereka juga mendakwa bahawa pemimpin pro-China itu, yang pernah menjadi pengerusi ASEAN pada 2012, memihak kepada Beijing dan menghalang ASEAN daripada mencapai persetujuan mengenai Laut China Selatan.
Namun, Muhammad Arif dari Universiti Indonesia berkata dengan misi ke Myanmar, Hun Sen mungkin cuba melenyapkan memori semasa Kemboja menjadi pengerusi ASEAN pada 2012.
“Nampaknya Hun Sen tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama dan mahu mencipta kejayaan kali ini. Perbincangan Kemboja dengan Myanmar mudah dilihat dalam konteks ini. Tetapi, beliau tidak harus tersasar jauh daripada pendirian menyeluruh ASEAN," kata Arif.
Perdana Menteri Kemboja Hun Sen ketika berucap pada satu acara di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh, 12 September, 2021. [Reuters]
Menurut seorang Ahli Parlimen ASEAN dari Malaysia, kebanyakan negara anggota blok itu tidak berpuas hati dengan rancangan Hun Sen untuk melawat Myanmar.
"Jika [Hun Sen] pergi ke sana dengan mewakili ASEAN, beliau harus memaklumkan kepada semua negara ASEAN dan mendapatkan perakuan [mereka] tetapi sehingga kini semua negara belum dimaklumkan malah tidak memperakukan lawatannya itu,"kata Charles Santiago, pengerusi Ahli Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia, kepada BenarNews.
Pegawai kerajaan dari Indonesia, Filipina, Malaysia dan Thailand – yang merupakan anggota ASEAN – enggan mengulas untuk laporan ini.
Bagi penganalisis politik Dinna Prapto Raharja, beliau bimbang Hun Sen mengadakan lawatan itu sebagai wakil ASEAN kerana Kemboja merupakan pengerusi ASEAN manakala Myanmar adalah anggota ASEAN.
“Apa yang penting ialah siapa yang akan Hun Sen jumpa? Saya hampir pasti beliau akan bertemu dengan junta tentera, ”kata Dinna, pengasas badan pemikir Indonesia, Dasar Siniergi, kepada BenarNews.
"Jika Hun Sen bertemu dengan junta tentera dan bukannya dengan wakil NUG, beliau akan menghantar mesej yang salah kepada junta Myanmar mengenai hasrat ASEAN dan konsensus lima perkara yang disepakati."
Kumpulan Ahli Parlimen ASEAN juga tidak yakin yang Hun Sen akan mewakili sentimen ASEAN.
“PM Kemboja Hun Sen sanggup memecahbelahkan ASEAN seperti yang dilakukannya pada 2012. Kali ini, beliau akan berbuat demikian bagi memperakukan penjenayah perang iaitu junta Myanmar,” kata APHR dalam hantaran Twitter pada Selasa.
"Adakah ini bermulanya pengakhiran bagi ASEAN?"
Perkhidmatan berita Myanmar dan Kemboja Radio Free Asia turut menyumbang kepada laporan ini.