Dua dekad tsunami Lautan Hindi, kesiapsiagaan hadapi bencana diabaikan
2024.12.19
Banda Aceh, Indonesia; Ban Nam Khem, Thailand dan Washington
Dua dekad selepas ratusan ribu mangsa terkorban dalam tragedi tsunami Lautan Hindi 2004, bencana yang dianggap paling dahsyat dalam sejarah, Indonesia, Thailand, dan Malaysia telah mewujudkan sistem amaran awal namun aktivis mengatakan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana masih kurang.
Tsunami membadai beberapa negara tersebut susulan gempa bumi berukuran 9.1 magnitud di Sumatera, Indonesia pada 26 Disember 2004.
Gelombangnya yang besar menjangkau hingga ribuan kilometer dan merentas benua itu menyebabkan kemusnahan dan mengorbankan lebih 230,000 nyawa di lebih 12 negara Asia dan Afrika yang tidak bersedia menghadapi bencana tersebut.
Di wilayah Aceh, Indonesia – berhampiran pusat gempa bawah laut itu – tsunami mengorbankan lebih 167,000 mangsa manakala negara jiran Thailand dan Malaysia masing-masing merekodkan lebih 8,200 dan 75 kematian, menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Nasional (NOAA), Amerika Syarikat (AS).
Di sepanjang pantai Aceh, gelombang tsunami mencapai ketinggian sehingga 167 kaki (51 meter). Gelombang itu tercetus akibat gempa bumi dengan pusat gempa 19 batu (30.5 km) di bawah dasar laut, yang berlaku pada pagi Ahad iaitu ketika Boxing Day.
Selepas 20 tahun bencana itu, seorang mangsa tsunami di Aceh menyeru negaranya agar meningkatkan usaha untuk melakukan persediaan sekiranya tsunami terjadi lagi.
Irma Lisa, yang kampungnya kehilangan 90 peratus penduduk, telah mendedikasikan dirinya untuk mendidik generasi muda tentang risiko tsunami.
“Kerajaan masih belum memberikan pendedahan yang mencukupi bagi mendidik generasi akan datang,” katanya kepada BenarNews.
“Beberapa buah sekolah terletak sangat dekat dengan pantai tetapi tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana sama sekali tidak wujud, bukan sahaja dalam sukatan kurikulum mereka malah dalam aktiviti kokurikulum.”
Irma, setiausaha kampung Mon Ikeun, Aceh Besar mengimbas kembali hari gelombang besar melanda kampungnya.
“Kami melihat air laut naik dan menjerit kepada orang di jalan untuk segera menyelamatkan diri,” katanya kepada BenarNews.
“Pada masa itu, kami langsung tidak tahu, ombak besar itu adalah tsunami yang mampu meranapkan apa saja,”
Irma Lisa, Setiausaha Kampung Mon Ikeun memeriksa peta pemindahan untuk kampungnya di wilayah Aceh, Indonesia, 2 Disember 2024. [Hadi Ahdiana/BenarNews]
Sistem pengesanan canggih tetapi rosak
Muksin, seorang pegawai di Pusat Penyelidikan Tsunami dan Mitigasi Bencana di Universiti Syiah Kuala, Banda Aceh, menyatakan bahawa wilayah tersebut kini telah dilengkapi dengan sistem pengesanan yang canggih.
Namun beberapa komponen termasuk boya yang memantau perubahan paras laut telah rosak.
“Sistem utama, termasuk pengesan gempa bumi, masih berfungsi dengan baik dan baru sahaja dinaik taraf,” katanya.
Bagaimanapun, Muksin menyatakan secanggih mana sekali pun teknologi, ia tidak dapat menggantikan pertimbangan dan keputusan yang dibuat manusia dalam menghadapi bencana besar seumpama itu.
“Terdapat kesedaran bahawa kami tinggal di zon gempa bumi dan ia menyebabkan penduduk sentiasa melakukan latihan menghadapi bencana berbanding masyarakat di wilayah lain di Indonesia,” katanya.
Murid tadika di Lhoknga, Aceh, Indonesia, menjalankan latihan tsunami di bilik darjah mereka, 2 Disember 2024. [Hadi Ahdiana/BenarNews]
Sistem amaran Indonesia memberikan keutamaan kepada gabungan pelbagai sensor, termasuk seismometer, alat Sistem Kedudukan Global (GPS), keadaan pasang surut air laut dan alat pengesan tekanan dasar laut, menurut pegawai kerajaan.
Boya tidak lagi dianggap sebagai satu keperluan kerana ia terdedah kepada risiko mengalami kerosakan atau dicuri, kata mereka.
Apabila gempa bumi bawah laut meletus, sistem tersebut akan menganalisis data daripada sensor yang diletakkan di dasar laut untuk mengesan sebarang perubahan paras air laut.
Maklumat berkenaan dihantar ke stesen pemantauan pusat, di mana pakar menganalisis data tersebut untuk menentukan kemungkinan berlakunya tsunami.
Boya Penilaian dan Pelaporan Tsunami Laut Dalam (DART) dilihat dalam foto tanpa tarikh ini. [Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan AS]
Lokasi utama sistem berkenaan ditempatkan di kawasan terjadi gempa termasuk di Sumatera, terutamanya Padang, serta wilayah Jawa Selatan, Bali dan kawasan pantai lain yang berisiko dilanda tsunami.
Sekiranya agensi berkenaan mengesahkan terdapat potensi berlakunya tsunami, amaran akan dikeluarkan kepada pihak berkuasa dan orang awam melalui pelbagai saluran komunikasi termasuk mesej teks, siaran radio dan siren kecemasan.
‘Risiko masih tinggi’
Ahmad Dadek, Ketua Agensi Perancangan Pembangunan Aceh berkata wilayah tersebut masih terdedah kepada ancaman tsunami.
“Risiko bencana kita masih tinggi tetapi indeks daya tahan masih rendah,” katanya kepada BenarNews, merujuk kepada keupayaan untuk menghadapi dan pulih daripada bencana.
Ahmad Dadek, yang mengetuai Agensi Perancangan Pembangunan Aceh bertanggungjawab menetapkan peraturan perumahan di kawasan yang terdedah kepada tsunami, 4 Disember 2024. [Hadi Ahdiana/BenarNews]
Beliau berkata kerajaan Aceh telah mengambil langkah untuk mengintegrasikan zon berisiko bencana ke dalam perancangan bandar mereka sebagai langkah mitigasi mengurangkan risiko.
“Bagaimanapun, pelaksanaan di lapangan lebih rumit daripada yang kami jangka,” katanya.
“Kawasan pantai pada awalnya dirancang menjadi zon larangan menghuni tetapi disebabkan pelbagai isu, kawasan tersebut telah menjadi penempatan penduduk. Jadi kami perlu mengambil langkah tambahan.”
Bagi Arif Munandar, 55, seorang mangsa tsunami 2004, setiap individu perlu mempunyai tanggungjawab untuk membuat persediaan dalam menghadapi risiko bencana.
Beliau yang kehilangan 27 ahli keluarga dalam tragedi itu, kini bekerja sebagai juruteknik di sebuah agensi pengurusan bencana Aceh.
Mangsa tsunami Arif Munandar memeriksa Sistem Penerima Amaran di pejabatnya di Aceh, Indonesia, 5 Disember 2024. [Hadi Ahdiana/BenarNews]
Arif bertanggungjawab menyelenggara sistem amaran tsunami dan mengetuai usaha pendidikan masyarakat.
“Kerajaan menggunakan pelbagai saluran media, seperti video dan YouTube untuk mendidik masyarakat mengenai tsunami,” katanya kepada BenarNews.
“Media merupakan alat yang berkesan untuk menyampaikan maklumat dan melibatkan komuniti dalam simulasi bencana.”
Sementara itu, kerajaan Thailand telah memasang dua stesen pengesan tsunami yang terletak kira-kira 965km dari Phuket dua tahun selepas bencana itu manakala satu lagi sistem dipasang pada 2017 iaitu kira-kira 340km dari lokasi pelancongan terkenal di negara itu selain ditempatkan di zon ekonomi eksklusif.
Seorang senator Thailand menyuarakan kebimbangan bahawa amaran daripada alat pengesan tersebut mungkin diabaikan.
“Aspek yang paling menakutkan adalah kurangnya kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat. Walaupun boya amaran sudah ada, ia turut bergantung kepada sejauh mana orang ramai bersedia dan memahami apa yang perlu dilakukan sekiranya menerima isyarat amaran,” kata Ratchaneekorn Thongthip kepada BenarNews.
“Di Thailand, kita lebih memberikan tumpuan kepada pemulihan selepas bencana berbanding pencegahan.
“Kita menyediakan peruntukan yang besar untuk tujuan pemulihan, tetapi langkah yang sama tidak dilakukan dari segi aspek pencegahan dan kesiapsiagaan,” kata Senator Ratchaneekorn yang juga pengasas Muzium Tsunami Antarabangsa di Phang Nga, wilayah Thailand di Laut Andaman yang menanggung kesan terbesar tsunami 2004.
Beliau menyeru supaya fokus diberikan kepada soal perubahan iaitu persediaan boleh mengurangkan tahap kerosakan dalam mana-mana bencana.”
Rangkaian siren Malaysian
Di Malaysia, Jabatan Meteorologi (METMalaysia) menubuhkan Sistem Amaran Awal Tsunami Kebangsaan yang diintegrasikan dengan pusat amaran lain seperti Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii, Amerika Syarikat dan Agensi Meteorologi Jepun.
Sistem tersebut mempunyai 83 siren di seluruh negara yang diaktifkan bersama mesej teks dan amaran media apabila ancaman dikenal pasti, kata Mohd Hisham Mohd Anip, Ketua Pengarah METMalaysia.
Beliau berkata latihan kecemasan tsunami telah dilaksanakan agensi itu sejak 2006.
“Malaysia menyedari bahawa orang awam perlu peka terhadap risiko tsunami,” kata beliau kepada BenarNews.
“Perkara ini sangat penting kerana ia adalah faktor penentu untuk mengurangkan risiko tsunami kepada masyarakat."
Pihak berkuasa di ketiga-tiga negara Asia Tenggara itu tidak mendedahkan butiran mengenai kekerapan sistem amaran mereka diaktifkan.
Di Amerika Syarikat, NOAA mengakui bahawa "tragedi Lautan Hindi menjadi satu peringatan kepada dunia tentang bahaya tsunami," sambil menambah bahawa mereka telah mengambil langkah penting untuk meningkatkan pengesanan di Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii dan lokasi lain.
Pada 26 Disember 2004, pusat di Hawaii itu telah mengesan gempa bumi di Sumatera dan cuba membantu memberi amaran kepada negara-negara di Lautan Hindi mengenai tsunami yang akan melanda.
Langkah yang diambil termasuk menambah jumlah boya Penilaian Laut Dalam dan Pelaporan Tsunami (DART) daripada enam kepada 39 unit, memasang atau menaik taraf 188 stesen pantai untuk menyokong operasi amaran, menaik taraf rangkaian untuk menghantar 100 peratus data seismik secara masa nyata dan membangunkan model ramalan.
Tsunami: Fenomena purba
Di Universiti Syiah Kuala, Banda Aceh, para penyelidik telah melakukan kajian terhadap sejarah geologi rantau ini hingga mereka dapat mendedahkan corak kemusnahan muka buminya.
“Kami telah menemui bukti bahawa tsunami pernah berlaku 7,400 tahun dahulu,” kata penyelidik Nazli Ismail kepada BenarNews.
“Dan coraknya tidak tetap – terdapat kluster tsunami kecil diikuti oleh yang besar, kemudian mengalami tempoh tenang yang panjang."
Ketidakpastian tentang kemungkinan tercetusnya tsunami sekali lagi, menjadikan semua pihak perlu sentiasa bersiapsiaga dan berwaspada.
Papan tanda memberi amaran tentang bahaya tsunami di daerah Ban Nam Khem di wilayah Phang Nga, Thailand, 6 Disember 2024. [Krueg Prachakul/BenarNews]
“Kita tidak boleh menganggap bahawa hanya kerana tsunami besar berlaku pada 2004, kita akan selamat untuk 200 tahun lagi,” kata Nazli.
“Penyelidikan kami menunjukkan bahawa tsunami boleh berlaku dengan tempoh masa hanya 50 tahun, atau ribuan tahun lagi."
Di Thailand, Senator Ratchaneekorn memberikan ingatan terhadap sikap acuh tidak acuh orang ramai terhadap kepentingan untuk membuat persediaaan berdepan dengan bencana tsunami pada masa akan datang.
"Oleh kerana kita tidak tahu bilakah [tsunami] akan berlaku lagi, ramai yang berfikir, ‘Ia tidak akan berlaku semasa hayat saya,’ atau bahawa ia sesuatu yang jauh di masa hadapan," katanya.
Uzair Thamrin di Banda Aceh dan Iman Muttaqin Yusof di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.