Pelancong Malaysia Dapat Saksikan Hukum Sebat Di Aceh
2018.02.27
Banda Aceh, Indonesia
Sekumpulan pelancong Malaysia yang sedang melawat Aceh berkesempatan untuk melihat dengan sendirinya bagaimana pihak berkuasa wilayah itu, menjalankan hukuman sebat di khalayak ramai mengikut undang-undang syariah terhadap sepasang suami isteri beragama Kristian atas kesalahan bermain permainan video berjudi di sebuah kafe siber.
Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai itu dapat disaksikan oleh seramai 27 pelancong dari Malaysia yang sejak tiga hari lalu berada di Banda Aceh.
Menurut ketua kumpulan pelancong yang hanya dikenali sebagai Mohd Syukri berkata, kumpulan mereka yang datang dari negeri Terengganu berkesempatan melihat dengan sendiri hukuman sebat mengikut undang-undang syariah wilayah Aceh itu dijalankan.
"Kami bernasib baik dapat melihat sendiri bagaimana hukuman sebat dikhalayak ramai itu dijalankan oleh pihak berkuasa wilayah Aceh dan ini merupakan satu pengalaman dan pengajaran kepada semua. Jika di Malaysia, hukuman sebat dijalankan secara tertutup,” katanya semasa ditemui BeritaBenar di perkarangan Masjid Babussalam, Banda Aceh pada Selasa.
Dahlan Silitonga, 61, dan isterinya, Tjia Nyuk Hwa, 45, telah didapati bersalah atas kesalahan bermain permainan video berjudi di sebuah kafe siber, dan masing-masing dijatuhi hukuman sebat enam dan tujuh kali setiap seorang.
Hukuman sebat itu dilakukan di atas pentas luar Masjid Babussalam dengan disaksikan kira-kira 300 orang.
Dahlan dan Tjia telah memilih menjalani hukuman sebat di khalayak ramai itu bagi mengelak perbicaraan di mahkamah dan berkemungkinan dihukum penjara.
Penduduk bukan Islam di Aceh yang melakukan kesalahan mengikut undang-undang kerajaan dan syariah boleh memilih hukuman.
Dahlan dan Tjia adalah antara lima pesalah, termasuk pasangan beragama Islam Muzakkir dan Cut Hasmidar, keduanya berusia 40 tahun yang telah disebat sebanyak 23 kali kerana didapati bersalah atas kesalahan berkhalwat, manakala seorang lelaki yang dikenali sebagai Ridwan MR, disebat sebanyak 19 kali kerana membantu Dahlan dan Tjia untuk bermain judi, turut sama menjalani hukuman sebat berkenaan.
Dalam pada itu, Datuk Bandar, Banda Aceh, Aminullah Usman semasa mengulas mengenai hukuman yang dijalankan berkata, pelaksanaan hukum sebat dikhalayak ramai adalah satu komitmen dalam menegakkan Syariah Islam di wilayah tersebut.
“Bermula daripada orang yang tidak bermoral, judi, minum minuman keras, dan apa saja kesalahan dalam Syariah Islam jika didapati bersalah, pasti akan dikenakan hukuman, bagi mengelak orang ramai mengulangi kesalahan," katanya.
Januari lalu, seorang penganut Kristian telah disebat kerana menjual arak di wilayah yang mempunyai penduduk kira-kira lima juta orang dengan 98 peratus daripadanya beragama Islam.
Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang menjalankan undang-undang Syariah Islam selepas diberikan kuasa autonomi pada 2001, satu usaha kerajaan Indonesia untuk menamatkan pemberontakan menuntut kemerdekaan wilayah itu.
Undang-undang Islam diperkukuhkan sejak wilayah itu menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan pusat pada 2005, walaupun lebih 90 peratus rakyat Indonesia mengaku Islam, majoritinya melaksanakan ajaran agama itu secara sederhana.