Amerika Syarikat tarik balik sekatan import sarung tangan getah Malaysia

Sekatan ditarik balik selepas mendapati Smart Glove telah menghapuskan elemen buruh paksa dalam rantaian pengeluaran mereka, kata pihak berkuasa AS.
Noah Lee & Nisha David
2023.04.27
Kuala Lumpur
Amerika Syarikat tarik balik sekatan import sarung tangan getah Malaysia Pekerja kilang sedang mengeluarkan sarung tangan getah daripada acuannya di sebuah kilang sarung tangan getah di Batu 13 Cheras di Kajang, Selangor, 21 Disember, 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Amerika Syarikat pada Rabu menarik balik sekatan ke atas kumpulan syarikat pengeluar sarung tangan getah Malaysia, Smart Glove, setelah mendapati tiada lagi elemen amalan buruh paksa dalam proses pengeluaran produknya.

Pengumuman itu dibuat kira-kira 18 bulan selepas pihak berkuasa kastam AS mengenakan sekatan import ke atas Smart Glove pada November 2021, menjadikannya syarikat pengeluar sarung tangan getah ketiga berpangkalan di Malaysia yang dibenarkan untuk menghantar semula produk ke negara berkenaan selepas berjaya menunjukkan kemajuan dalam menghapuskan elemen buruh paksa dalam rantaian pengeluaran mereka.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) dalam kenyataan dikeluarkan pada Rabu berkata penarikan balik sekatan itu berkuatkuasa serta-merta dan Smart Glove boleh mengeksport produk untuk pasaran AS.

"Pada hari ini, CBP AS telah mengubah sekatan import yang dikeluarkan di bawah Arahan Tahan terhadap sebuah kumpulan syarikat yang dikenali sebagai Smart Glove, sebagai tindakbalas terhadap kejayaan syarikat berkenaan menunjukkan bahawa tiada lagi elemen buruh paksa samada secara penuh atau sebahagian di dalam proses pengeluaran produk mereka.

"Berkuatkuasa serta-merta, CBP akan membenarkan penghantaran barangan Smart Glove untuk memasuki pasaran dagangan AS, dengan syarat semua produk yang diimport itu mematuhi undang-undang AS," kata agensi penguatkuasaan itu dalam kenyataan dikeluarkan di laman sesawangnya.

Menurut CBP, Smart Glove telah mengambil langkah serius untuk menangani indikator-indikator buruh paksa yang menyebabkan perintah sekatan tersebut dikeluarkan serta memastikan tiada penggunaan buruh paksa dalam keseluruhan rantaian pengeluarannya.

Antara langkah pemulihan yang telah diambil syarikat itu termasuk membayar semula yuran pengambilan pekerja, penambahbaikan kepada penempatan pekerja, dan pengenalan polisi dan prosedur-prosedur baru yang mesra pekerja, kata agensi tersebut.

"CBP telah memastikan bahawa isu-isu buruh paksa yang dikenalpasti dalam Arahan Tahan tersebut telah dipulihkan. Oleh itu, perintah sekatan telah diubah dan penghantaran sarung tangan sintetik oleh Smart Glove pada dan selepas 26 April 2023 tidak lagi akan ditahan di pintu-pintu masuk AS."

Sementara itu, Smart Glove dalam satu kenyataan balas pada Khamis menyambut baik keputusan agensi penguatkuasaan sempadan AS itu dan berkata mereka berasa gembira dapat kembali menyalurkan produk perlindungan diri kepada yang memerlukan.

"Keputusan CBP itu mencerminkan kerjasama dan ketelusan kami dalam perkara yang amat penting kepada Smart Glove.

"Smart Glove komited untuk mengekalkan standard tertinggi untuk para pekerja dan keseluruhan pasukan kami. Bagi meneruskan komitmen ini, kami telah bekerja dengan pelbagai pemegang taruh serta penasihat dalam mengambil langkah-langkah bagi menyelaraskan polisi dan prosedur kami dengan amalan terbaik yang diiktiraf dunia," kata Smart Glove dalam kenyataan media itu.

Pada 2021, CBP mengeluarkan arahan sekatan import terhadap semua produk keluaran Smart Glove berkuatkuasa pada 4 November selepas terdapatnya maklumat adanya elemen buruh paksa dalam rantaian pengeluarannya. Agensi berkenaan dilaporkan berkata bahawa mereka mendapati terdapat tujuh indikator mengenai berlakunya amalan buruh paksa.

Tindakan tersebut meliputi semua produk dikeluarkan oleh kumpulan konglomerat itu termasuk Smart Glove Corporation Sdn Bhd, GX Corporation Sdn Bhd, GX3 Specialty Plant, Sigma Glove Industries, dan Platinum Glove Industries Sdn Bhd.

Pemangku Pesuruhjaya CBP Troy Miller dalam kenyataan pada ketika itu berkata tindakan diambil terhadap Smart Glove adalah menunjukkan komitmen CBP dalam memastikan barangan yang dibuat menggunakan tenaga buruh paksa tidak memasuki pasaran AS.

Sekatan tersebut adalah yang kedua diambil terhadap syarikat pengeluar sarung tangan berpangkalan di Malaysia pada 2021 selepas Supermax Corporation Sdn Bhd dan tiga lagi anak syarikatnya termasuk Maxter Glove Manufacturing Sdn Bhd dikenakan Perintah Penahanan Pelepasan, atau dikenali sebagai WRO, atas kesalahan serupa.

Sebelum itu, pada Julai 2020, CBP telah mengenakan larangan import terhadap Top Glove, sebuah lagi pengeluar produk sarung tangan getah besar di Malaysia, dan anak syarikatnya TG Medical Sdn Bhd meskipun ketika itu dunia menyaksikan peningkatan kes COVID-19.

Pihak berkuasa kastam AS itu menyatakan bahawa terdapatnya bukti yang memberikan indikasi bahawa berlaku aktiviti buruh paksa dalam operasi syarikat tersebut.

Sekatan itu bagaimanapun telah ditarik balik pada Oktober 2021 selepas Top Glove didapati telah memperbaiki keadaan dan kediaman untuk pekerja asingnya.

Pada September 2019, CBP turut mengeluarkan WRO terhadap sebuah lagi syarikat pengeluar sarung tangan getah iaitu WRP Asia Pacific Sdn Bhd, dan ia bagaimanapun telah ditarik balik pada Mac 2020.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.