Ahli akademik khuatir jurang kemahiran semakin luas, jumlah pelajar tercicir meningkat
2023.07.05
Kuala Lumpur
Remaja yang dikenali sebagai Amir Shah adalah antara puluhan ribu pelajar Malaysia yang tercicir daripada pendidikan formal tahun lepas apabila memutuskan untuk tidak menduduki peperiksaan penting bagi menamatkan alam persekolahan.
Selepas bekerja di sebuah restoran apabila sekolah ditutup semasa pandemik COVID-19, Amir mendapati beliau dengan mudah mampu menjana pendapatan AS$400 sebulan berbanding terpaksa 'berdepan penyeksaan' mendengar bebelan guru selama berjam-jam.
Kurikulum lapuk serta sistem persekolahan berorientasikan peperiksaan yang penuh dengan tekanan telah menyebabkan ramai belia hilang minat dalam pelajaran namun pandemik mempercepatkan lagi kehilangan mereka dari kelas, kata para pendidik yang memberi amaran bahawa Malaysia mungkin berdepan jurang kemahiran yang semakin meluas jika trend ini berterusan.
Hampir 30,000 daripada jumlah keseluruhan 403,637 pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menamatkan alam persekolahan mereka pada 2022, kata Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying di Parlimen baru-baru ini.
Ini bermakna kira-kira 7.4 peratus pelajar tidak mengambil peperiksaan itu. Secara perbandingan, hanya 2.7 peratus pelajar tidak menduduki peperiksaan itu pada 2021, demikian menurut The Star, sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan.
Amir, 18, bekerja sebagai pembantu di restoran makanan laut di Perlis, sebuah negeri di utara Malaysia dan memperoleh pendapatan sekitar RM1,800 sebulan (AS$386), yang didakwanya cukup untuk dia menjalani hidup dengan selesa.
"Saya mula bekerja secara sambilan di sebuah restoran berhampiran rumah saya untuk mengisi masa yang terluang ketika sekolah ditutup sepanjang perintah kawalan pergerakan dan memperoleh pendapatan antara RM30 hingga RM200 sehari bergantung kepada jumlah pelanggan," katanya kepada BenarNews.
"Apabila sekolah dibuka semula, saya sering ponteng kelas untuk membolehkan saya bekerja dan menjana pendapatan kerana saya sebenarnya tidak begitu pandai dan tidak banyak menimba ilmu di sekolah," katanya.
Amir kemudian memutuskan bahawa menjana pendapatan adalah lebih baik daripada duduk di dalam kelas dan terpaksa mendengar bebelan guru yang disifatkannya sebagai "begitu membosankan" jadi dia telah berhenti sekolah beberapa bulan sebelum peperiksaan SPM tahun lepas.
Bukti anekdot menunjukkan remaja lain yang membuat keputusan untuk tidak menduduki peperiksaan itu dan berhenti sekolah untuk bekerja turut merasakan perkara yang sama.
Noraizah Baharin, 35, pula sering menggambarkan anak saudara perempuannya yang tinggal di Sarawak sebagai seorang gadis yang bijak. Remaja itu bagaimanapun enggan ditemu bual oleh BenarNews untuk melindungi privasinya namun bersetuju membenarkan Noraizah bercakap bagi pihaknya tanpa menamakan dirinya.
Bagaimanapun, Noraizah benar-benar kecewa apabila anak saudaranya itu, yang sepatutnya menduduki peperiksaan SPM tahun ini, membuat keputusan untuk berhenti sekolah "kerana lebih seronok mencari duit daripada membaca buku."
"Saya telah cuba menasihatinya. Saya kata dia akan rugi jika berhenti sekolah tapi dia tidak mendengarnya," kata Noraizah kepada BenarNews.
"Dia rasa seronok dengan apa yang dia ada sekarang iaitu wang sendiri untuk berbelanja."
Para pelajar sedang menunggu untuk menerima vaksin COVID-19 di sebuah sekolah menengah di Putrajaya, Malaysia, 20 Sept 2021. [Lim Huey Teng/Reuters]
Kurikulum tidak relevan
Ahli akademik menyalahkan sistem pendidikan Malaysia susulan keengganan sesetengah pelajar untuk ke sekolah.
Gred markah dalam peperiksaan SPM menjadi penentu kolej atau universiti yang boleh mereka hadiri dan ini memberikan tekanan besar sepanjang tempoh dua tahun terakhir alam persekolahan pelajar, kata Noorazeela Zainol Abidin, seorang pensyarah kanan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Selain itu, beliau percaya para guru pula berada dalam keadaan tergesa-gesa untuk menghabiskan semua silibus subjek, yang sebenarnya sudah ketinggalan zaman.
Terdapat juga pelajar yang menyifatkan kurikulum SPM sebagai tidak relevan dan tidak memenuhi keperluan atau minat mereka... yang menghalang mereka daripada mengasah minat atau bakat mereka sehingga menyebabkan mereka hilang minat untuk meneruskan pengajian," katanya kepada BenarNews.
“Jika pedagogi yang digunakan tidak menarik atau tidak sesuai dengan gaya pembelajaran pelajar, mereka mungkin berdepan kesukaran untuk memahami sesuatu pelajaran itu."
BenarNews cuba menghubungi Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan komen Menteri mengenai cara kerajaan bercadang untuk menangani masalah itu namun belum menerima maklum balas. Beberapa pengarah pendidikan negeri ketika dihubungi oleh BenarNews pula enggan mengulas dan berkata hanya Menteri yang boleh bercakap mengenai isu itu.
Seorang kaunselor di sebuah sekolah menengah yang enggan dikenali kerana beliau tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan pemberita pula berkata pandemik telah menjadi pemangkin dalam insiden kehilangan sebahagian besar pelajar daripada sistem pendidikan.
"Hilang minat dalam pelajar sering berlaku namun COVID-19 telah memburukkan keadaan. Anak-anak muda ini adalah generasi masa depan negara," katanya kepada BenarNews.
"Apa akan berlaku kepada Malaysia pada tahun-tahun akan datang jika separuh daripada mereka (pelajar) mengabaikan pendidikan dan berpuas hati dengan pekerjaan berpendapatan rendah? Siapa yang akan mengisi sektor yang memerlukan kemahiran dan latihan? Apakah akan terdapat tenaga kerja profesional yang mencukupi pada masa akan datang? Jika tidak ditangani, pembangunan negara akan terbantut."
Pada awal tahun ini, Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli memaklumkan Parlimen bahawa kadar penggangguran belia Malaysia yang tinggi iaitu 10 peratus adalah disebabkan oleh ketidaksepadanan kemahiran, menurut The Edge Malaysia, sebuah penerbitan tempatan.
"Kita mempunyai jurang (kemahiran) yang luas di antara pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi dengan kualiti bakat yang dikeluarkan oleh sistem pendidikan kita," Rafizi dipetik sebagai berkata.
Kaunselor itu berkata beliau pernah berjumpa dengan ramai pelajar seperti Amir dan anak saudara Noraizah sepanjang kerjayanya.
Tambah beliau penyelesaiannya adalah pihak sekolah perlu mengambil langkah proaktif untuk mengenal pasti pelajar yang kerap ponteng dan menyiasat punca ketidakhadiran mereka serta menghulurkan bantuan jika diperlukan.
"Kita ada anak-anak yang terpaksa ponteng sekolah untuk menjaga ibu bapa mereka yang sakit atau mereka yang berdepan dengan situasi kewangan yang teruk. Dalam kes-kes sebegini, kita akan menghubungi semua pihak yang relevan atau NGO untuk memberikan bantuan yang diperlukan," katanya.
"Bagi mereka yang tidak berminat untuk mengikuti sesi pembelajaran di kelas, meskipun mereka akan menduduki peperiksaan SPM dalam tempoh beberapa bulan, kami boleh menasihati mereka untuk mempertimbang mendaftar dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menyediakan kemahiran praktikal kepada pelajar dan ilmu khusus untuk kebolehan atau pekerjaan tertentu."
Beliau merujuk kepada program TVET yang menurutnya boleh juga diguna pakai untuk menambah baik kurikulum sekolah.
"Daripada membuang masa dan berhenti sekolah, sekurang-kurangnya mereka boleh menggunakan kemahiran mereka sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik pada masa akan datang," katanya.