Gambar kanak-kanak Malaysia pegang senjata mainan, kibar bendera Palestin cetus kontroversi
2023.10.27
Kuala Lumpur
Susulan peperangan yang kini melanda Timur Tengah, sebuah video tular dengan beberapa keping gambar menunjukkan sekumpulan pelajar dan guru di Malaysia memegang senjata mainan sambil mengibarkan bendera Palestin di lebih daripada sebuah sekolah telah mencetuskan kontroversi dalam kalangan orang awam pada Jumaat.
Imej terbabit, yang menunjukkan pelajar memakai skaf keffiyeh dan memegang sepanduk pro-Palestin – termasuk yang pro-Hamas dalam sekurang-kurangnya sekeping gambar – telah mencetuskan kontroversi beberapa hari sebelum kerajaan Malaysia melancarkan Minggu Solidariti Palestin dari 29 Okt hingga 3 Nov di semua institusi pengajian di seluruh negara itu.
Susulan pertempuran yang berlaku di antara tentera Israel dan puak militan Hamas Palestin, kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil langkah mempromosi program itu yang didakwa adalah bertujuan “mengajar nilai-nilai kemanusiaan seperti empati dan mempertahan hak-hak serta kebebasan orang lain.”
Pentadbiran beliau telah mengambil pendirian yang bersikap defensif minggu ini selepas beberapa pengkritik mendakwa Kementerian Pendidikan cuba mempolitikkan sekolah di negara itu susulan konflik Israel-Palestin dengan memperkenal minggu solidariti.
Video itu diambil di sebuah sekolah di Pahang, negeri ketiga terbesar di Semenanjung Malaysia dan terletak kira-kira 125 kilometer (77 batu) dari ibu negara Kuala Lumpur. Gambar-gambar yang dikongsi di media sosial pula diambil di sebuah sekolah bagi kanak-kanak berkeperluan khas di Selangor.
Menjawab soalan berkaitan video dan gambar terbabit, Anwar berkata kerajaan akan memantau semua aktiviti berkaitan sepanjang minggu terbabit namun tidak menyatakan bagaimana ia akan dilakukan.
“Kita perlu mengawal perkara itu. Kita telah membincangkannya dalam Kabinet. Pertama, kami menggalakkan [penganjuran Minggu Solidariti Palestin] namun tidak memaksa sekolah untuk menganjurkannya,” katanya kepada pemberita.
Malaysia, antara dua negara Islam terbesar di Asia Tenggara, tidak mengiktiraf Negara Israel.
Beberapa minggu kebelakangan ini, Anwar telah mengutuk sekeras-kerasnya pengeboman dan pengepungan Israel ke atas Semenanjung Gaza susulan kebangkitan gelombang serangan maut mengejut yang dilakukan Hamas pada 7 Okt.
Namun setakat ini, kerajaan pimpinannya enggan menyertai kecaman yang dilontarkan ke atas kekejaman yang dilakukan oleh puak militan itu terhadap kira-kira 1,400 orang awam Israel semasa serangan tersebut, menurut beberapa laporan.
Setakat Jumaat, lebih 7,300 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara dan pengepungan Gaza oleh Israel susulan serangan awal oleh Hamas, lapor Associated Press yang memetik angka itu daripada Kementerian Kesihatan di enklaf Palestin berkenaan.
Pada Jumaat, Anwar turut mengekalkan pendirian beliau berhubung peperangan baharu yang melanda Timur Tengah itu dan menyifatkan bahawa hak-hak rakyat Palestin perlu dikembalikan manakala serangan tentera Israel perlu dihentikan.
“Selain itu, pengagihan bantuan kemanusiaan, makanan dan perubatan perlu dipercepat dan menjadi keutamaan ketika ini,” kata beliau.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementerian itu telah mengambil kira kebimbangan yang diluahkan oleh rakyat Malaysia mengenai hantaran media sosial terbabit.
“Saya ingin menegaskan bahawa minggu solidariti itu adalah bertujuan menyemai nilai-nilai kemanusiaan termasuk hak asasi manusia, kedamaian, keharmonian dan keamanan global,” katanya.
“Justeru, kementerian tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur ektremisme dan keganasan sepanjang penganjuran aktiviti itu terutama yang membabitkan penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi.”
Kebimbangan secara kolektif
Kumpulan masyarakat sivil di Sarawak, sebuah negeri di Kepulauan Borneo, sebelum ini telah menyatakan bahawa ia tidak bersetuju dengan arahan kementerian itu agar semua institusi pendidikan awam menganjurkan program tersebut bagi menyokong perjuangan Palestin.
“Secara kolektif, beberapa kumpulan NGO amat bimbang dengan penganjuran acara kontroversi ini yang dibuat dengan mudah melalui arahan pentadbiran tanpa sebarang perbincangan mengenai kewajarannya di peringkat Parlimen atau berunding dengan ibu bapa.
Tindakan yang bakal dilakukan itu adalah dirasakan tidak sesuai jika dipertimbang dari segi kesan jangka panjang,” menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan.
“Kita sedang melihat keseriusan tindakan mengheret pelajar untuk menjadi sebahagian daripada dunia protes orang dewasa dalam insiden di peringkat global,” kata Peter John Jaban daripada Global Human Rights Federation sambil menambah bahawa pelajar terbabit tidak sepatutnya “terjerumus ke dalam krisis Timur Tengah ini.”
Kenyataan itu turut memberi amaran mengenai insiden baru-baru ini di Malaysia, yang menyaksikan golongan belia yang terdiri daripada pelajar memijak bendera Israel di sekolah mereka. Jaban berkata sekolah terbabit sedang menanam benih kebencian dalam minda pelajar yang begitu mudah terpengaruh.
Di laman Facebook, aktivis dan peguam Siti Kassim pula berkata penganjuran minggu solidariti itu sudah berada di luar kawalan.
“Maaf cakaplah, beliau sendiri yang buka pintu jadi sekarang semua syaitan sudah lari,” katanya ketika mengulas keputusan Anwar untuk menganjurkan program itu.
Pada Julai, polis Malaysia memaklumkan bahawa mereka telah menjumpai sebutir bom di bawah kereta Siti. Beliau berkata ini adalah antara sebab mengapa beliau membantah penganjuran minggu solidariti di sekolah.
“Adakah kita sedang melatih pejuang Jihad di sekolah kita? Kenapa pula sampai kena bawa senjata dan semua benda ini?” katanya yang merujuk kepada senapang mainan yang dibawa.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berucap ketika menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin pada satu perhimpunan di Kuala Lumpur, 24 Okt 2023. [Vincent Thian/AP]
Kebimbangan seorang bapa
Bapa kepada seorang kanak-kanak autistik berusia 8 tahun memberitahu BenarNews pada Jumaat bahawa guru di sekolah anak lelakinya itu telah memadam semua gambar yang dikongsikan dengan ibu bapa dalam aktiviti solidariti Palestin baru-baru ini.
“Saya telah menyoal guru terbabit mengapa dan mereka kata Kementerian Pendidikan tidak begitu gembira dengan perkara itu,” kata lelaki itu yang enggan dikenali kerana bimbang dengan keselamatan anaknya.
Bapa tiga anak itu kemudian memaklumkan BenarNews bahawa beliau tahu acara itu tidak akan berlangsung dengan baik apabila mendapati sekolah terbabit telah meminta para pelajar memakai kemeja T putih dan membawa senapang mainan. Katanya bagaimanapun, beliau tidak membantah permintaan itu secara terbuka.
Malah katanya beliau melakukan apa yang difikirkan betul pada ketika itu. Beliau telah menghantar anaknya ke sekolah dengan memakai pakaian sukan biasa dan tidak membawa senapang mainan.
“Sebab saya tidak membantah ialah kerana saya tidak mahu anak saya menjadi sasaran. Dia perlu berada di sekolah itu kerana itulah satu-satunya sekolah yang berdekatan dengan rumah,” kata lelaki itu.
Seorang anggota Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) berkata kementerian itu melakukan kesilapan apabila mengarahkan sekolah untuk melibatkan kanak-kanak dalam isu dasar luar di peringkat usia yang masih terlalu muda.
“Pelajar dipergunakan. Kerajaan tidak sepatutnya memaksa para pelajar berfikir dengan cara yang dikehendakinya. Arahan sedemikian daripada peringkat atasan adalah berbaur politik dalam pendidikan,” katanya.
Azimah menyalahkan Kementerian Pendidikan kerana mengeluarkan pekeliling yang begitu kabur dan berkata situasi di sesetengah sekolah sudah berada di luar kawalan. Justeru, beliau menggesa kerajaan agar menghentikan penganjuran minggu solidariti itu secepat mungkin sebelum lebih banyak kerosakan berlaku.