Malaysia mahu melabur AS$5.3 bilion jadi hab semikonduktor 'berkecuali' ditengah ketegangan AS-China

Anwar Ibrahim memberitahu peserta pameran bahawa negara itu adalah lokasi ‘paling neutral’ bagi industri semikonduktor.
Iman Muttaqin Yusof
2024.05.28
Kuala Lumpur
Malaysia mahu melabur AS$5.3 bilion jadi hab semikonduktor 'berkecuali' ditengah ketegangan AS-China Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berucap pada persidangan Semicon Asia Tenggara 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur, 28 Mei 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia memperuntuk RM25 bilion (AS$5.3 bilion) untuk melatih 60,000 jurutera tempatan dan mengembangkan industri semikonduktor tempatan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Selasa, ketika negara itu berusaha untuk muncul sebagai hab pembuatan cip global yang neutral susulan ketegangan Amerika Syarikat (AS)-China.

Negara Asia Tenggara itu juga berhasrat memanfaatkan syarikat cip yang mempelbagaikan rantaian bekalan mereka dengan strategi "China Tambah Satu" bagi mengelakkan kejutan permintaan seperti berlaku ketika pandemik.

Penganalisis berkata Malaysia berpeluang memperoleh manfaat daripada strategi yang menyaksikan syarikat melengkapkan pengeluaran di China dengan pelaburan di negara lain.

“Malaysia menawarkan diri sebagai ‘jambatan’ untuk menghubungkan negara yang terbuka kepada kolaborasi teknologi di negara ini,” kata Anwar ketika berucap merasmikan pameran perdagangan Semicon Asia Tenggara 2024 di Kuala Lumpur.

“Malaysia sudah menjadi pusat bakat teknologi tempatan dan antarabangsa, menjadikannya mudah bagi syarikat yang berakar umbi di sini untuk berdaya saing di peringkat serantau dan global.”

Anwar berkata selain latihan jurutera tempatan dalam pembuatan cip, pentadbirannya merancang mewujudkan 10 syarikat tempatan bagi reka bentuk dan pembungkusan semikonduktor, menyasarkan pendapatan AS$210 juta hingga AS$1 bilion (RM985.8 juta hingga RM4.7 bilion) dan menarik sekurang-kurangnya 100 syarikat berkaitan semikonduktor.

“Kami akan menarik pelaburan sekurang-kurangnya RM500 bilion (AS$106.5 bilion) dengan pelaburan langsung domestik menumpukan pada reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju dan pelaburan langsung asing yang memfokus kepada fabrik wafer dan peralatan pembuatan,” katanya merujuk kepada pengeluaran fabrikasi semikonduktor.

Pada April, Anwar mengumumkan rancangan untuk membina taman reka bentuk litar bersepadu terbesar di Asia Tenggara untuk beralih tumpuan daripada pemasangan cip kepada kerja-kerja bernilai tinggi dan menarik syarikat serta pelabur teknologi global.

Malaysia menguasai kira-kira 13 peratus perkhidmatan pembungkusan, pemasangan dan ujian cip global, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), menjadikan ia sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia.

Pelaburan utama dalam sektor semikonduktor Malaysia baru-baru ini termasuk pengembangan oleh Intel yang berpangkalan di AS dan Infineon dari Jerman bersama dengan pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) oleh Nvidia dan Microsoft, menurut MIDA.

Pada Ogos 2023, Infineon Technologies mengumumkan pelaburan sehingga 5 bilion Euro (AS$5.4 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang untuk membina kemudahan fabrikasi

Walaupun kebimbangan semakin meningkat apabila perang teknologi AS-China mengganggu rantaian bekalan, bermula daripada telefon pintar hinggalah kenderaan elektrik, Anwar pada Selasa melobi untuk Malaysia sebagai tempat selamat untuk pembuat cip terkemuka.

“Saya menawarkan negara kami sebagai lokasi paling neutral dan berkecuali untuk pengeluaran semikonduktor bagi membantu membina rantaian bekalan semikonduktor global yang lebih selamat dan berdaya tahan,” katanya.

"Mengetepikan dinamik geopolitik, pengeluaran semikonduktor multinasional yang teguh kekal penting untuk kelangsungan hidup manusia, terutamanya kerana kita kesuntukan masa dalam iklim tindakan dan mitigasi risiko."

Pada Selasa juga, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata pendirian Malaysia terhadap sikap 'neutral geopolitik', ditambah pula dengan kemahiran dalam diplomasi pelaburan mengukuhkan lagi kedudukan globalnya.

AP4977439645254700.jpg

Seorang juruteknik di fasiliti ujian kumpulan kilang sedang memeriksan dulang pemprosesan 'Intel Core Ultra'  sebelum ianya siap dan boleh dihantar ke pelanggan di kilang Intel Penang, di Pulau Pinang, Malaysia, 14 Disember, 2023. [Jason Cheah/Intel Corporation melalui AP]

Menetapkan sasaran

Bercakap kepada pemberita di luar ekspo yang dihadiri oleh berpuluh-puluh firma dari Asia, Eropah dan Amerika itu, Tengku Zafrul berkata Malaysia menetapkan sasaran untuk mencapai cita-citanya dalam industri semikonduktor dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Pada Ogos 2022, penggubal undang-undang AS meluluskan Akta CHIPS dan Sains yang membenarkan subsidi serta pelepasan cukai untuk meningkatkan pengeluaran semikonduktor yang terkehadapan.

Dua bulan kemudian, Washington mengenakan sekatan eksport yang meluas ke atas cip dan teknologi pembuatannya untuk mengehadkan "keupayaan China membeli dan mengeluarkan cip mewah tertentu yang digunakan dalam aplikasi ketenteraan serta membina dasar terdahulu, tindakan khusus syarikat dan kurang pengawalseliaan awam, undang-undang dan tindakan penguatkuasaan…”

Perang teknologi AS-China dan strategi 'China Tambah Satu' telah memberikan peluang keemasan untuk ekonomi Malaysia, kata Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia Wong Siew Hai.

“Pada 2021, nilai eksport semikonduktor Malaysia meningkat 18 peratus dan pada 2022, meningkat 30 peratus. Nilai eksport ialah RM595 bilion (AS$126.8 bilion] pada 2022.

“Pada 2022, pasaran semikonduktor global berkembang 3.3 peratus tetapi Malaysia berkembang 30 peratus, jadi ini bermakna strategi China Tambah Satu sebenarnya berkesan. Malaysia adalah antara penerima manfaat terbesar semikonduktor,” katanya kepada BenarNews.

Pengarah Eksekutif Perunding Hartanah Antarabangsa KGV Samuel Tan pula berkata sikap berkecuali politik dan hubungan mesra Malaysia dengan China serta Barat adalah faktor utama yang menjadikan ia hab pelaburan menarik bagi syarikat yang memindahkan kemudahan pembuatannya.

“Malaysia menawarkan persekitaran yang kondusif untuk syarikat disebabkan faktor seperti kumpulan tenaga mahir, rangka kerja perundangan yang teguh, kestabilan politik, dasar mesra pelaburan dan ekosistem yang menyokong perusahaan kecil dan sederhana,” katanya kepada BenarNews.

"Keupayaan negara yang mempunyai berbilang bahasa, kadar mata wang yang rendah untuk eksport yang kompetitif dan keupayaan untuk mempelbagaikan risiko meningkatkan lagi daya tarikannya bagi mewujudkan hab pengeluaran."

Pendekatan China

Penganalisis Collins Chong Yew Keat dari Universiti Malaya berkata firma China turut menggunakan strategi yang sama seperti Malaysia.

"Walaupun firma AS dan Eropah berminat untuk mempelbagaikan produk mereka di luar China, firma republik itu melakukan perkara yang sama untuk mengelakkan kesan sekatan AS dan menempatkan kemudahan di luar tanah besar sebagai sebahagian daripada China Tambah Satu," katanya kepada BenarNews.

“Kebimbangan terhadap sejauh mana ketahanan jangka panjang kehebatan Taiwan dalam sektor semikonduktor dengan peningkatan ketidaktentuan geopolitik dan keselamatan juga telah mendorong tumpuan kepada Malaysia yang kini sudah menjadi pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia dan membungkus 23 peratus daripada cip Amerika,” katanya.

Beliau berkata Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam dan India akan menjadi pelopor atau destinasi popular yang berpotensi untuk syarikat yang melaksanakan strategi tambah satu.

Bagaimanapun, Malaysia mempunyai "ramuan dan kelebihan yang betul" untuk menjadi pilihan utama bagi firma pembuatan cip, katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.