Malaysia lonjak industri semikonduktor di tengah persaingan Amerika-China

Taman reka bentuk litar bersepadu terbesar di Asia Tenggara dibangunkan untuk tingkat keupayaan reka bentuk cip buatan Malaysia
Iman Muttaqin Yusof
2024.08.06
Kuala Lumpur
Malaysia lonjak industri semikonduktor di tengah persaingan Amerika-China Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (kanan) dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menandatangani plak perasmian Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia di Puchong, Selangor, 6 Ogos 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Rancangan bagi membangunkan "taman reka bentuk litar bersepadu terbesar di Asia Tenggara" di Selangor bertujuan untuk mengambil kesempatan daripada persaingan teknologi antara Amerika Syarikat dan China sebagai sebahagian daripada usaha Malaysia untuk melonjakkan industri semikonduktornya, kata Menteri Besarnya pada Selasa.

Taman yang terletak 13 kilometer dari Kuala Lumpur itu akan mampu menarik firma teknologi utama untuk meningkatkan keupayaan reka bentuk cip Malaysia, Amirudin Shari.

“Persaingan antara dua gergasi dunia iaitu AS dan China bukan hanya berkisar mengenai siapa mempunyai kekuatan ketenteraan lebih besar tetapi mengenai siapa yang mempunyai peranan dan milikan harta intelek lebih banyak dalam dunia digital. Ia akan menjadi satu persaingan teknologi.

“Dan semikonduktor akan menjadi nadi ekonomi dunia di masa depan,” ," kata Amirudin pada majlis pelancaran taman itu di Puchong.

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada cita-cita besar Malaysia untuk berkembang daripada pengujian dan pembungkusan cip kepada menawarkan sebuah hab semikonduktor yang "paling neutral”, menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim kira-kira tiga bulan lepas.

Taman yang terletak di tapak berkeluasan 0.5 hektar tersebut direka bentuk untuk menampung lebih 400 jurutera litar bersepadu (IC) melibatkan syarikat tempatan dan antarabangsa telah mula dibina sejak Julai.

Tapak itu mengambil kira faktor-faktor penting untuk firma semikonduktor termasuk saiz, bekalan tenaga, status bangunan, peralatan dalaman pejabat, kemudahan pengangkutan awam, serta potensi untuk dibesarkan pada masa depan.

Antara syarikat yang menjadi rakan kerjasama hab tersebut yang dikenali sebagai Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia adalah pembuat perkakasan Cadence Design Systems dan syarikat pembuat cip Arm Holdings.

Penyewa lain termasuk Maistorage, Skyechip, Weeroc, AppAsia ChipsBank, dan SensoremTek Sdn Bhd dan ia disokong oleh rakan kongsi ekosistem seperti BlueChip VC, Synopsys, Siemens EDA, Keysight dan Shenzhen Semiconductor Association.

"Projek ini bukan hanya mengenai kemudahan infrastruktur, ia adalah untuk mewujudkan peluang dan memacu perkembangan,” kata Amirudin.

“[Dan] mikrocip ini bukan hanya digunakan dalam telefon pintar kita. Pada masa akan datang, ribuan cip seperti ini akan dipasang di dalam setiap kenderaan terutama yang menggunakan sistem bantuan pemandu canggih (ADAS) dan beroperasi menggunakan tenaga elektrik berbanding minyak.”

Industri semikonduktor di Malaysia telah memainkan peranan signifikan sejak sekian lama.

Menurut para penganalisis, kira-kira 13 peratus cip yang dikeluarkan untuk kegunaan dunia adalah diuji dan dibungkus di negara itu sekali gus menjadikannya sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia.

Perdana Menteri Anwar pada April menjanjikan peruntukan sebagai RM25 bilion (AS$5.3 bilion) bagi melatih 60,000 jurutera tempatan dan untuk mengembangkan industri semikondutor negara itu.

Ia menyasarkan syarikat pembuat cip yang mahu mempelbagaikan rantaian bekalan mereka melalui strategi "China Plus One" dengan melengkapkan proses pembuatan di China melalui pelaburan di negara lain bagi mengelakkan berulangnya peristiwa kegawatan bekalan yang berlaku ketika pandemik COVID-19.

Kerajaan pimpinan Anwar turut menjangkakan bahawa industri semikonduktor negara itu akan menarik sehingga AS$100 bilion pelaburan termasuk apa yang dijanjikan oleh syarikat terkemuka seperti Intel, Infineon, AT&S dan ASML baru-baru ini.

Cip 'Buatan Malaysia'

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang turut serta dalam majlis pelancaran taman berkenaan berkata Malaysia perlu mempunyai kebolehan mencipta reka bentuk semikonduktor yang tersendiri dan tidak hanya bergantung kepada produk import.

Kata beliau, taman reka bentuk itu dijangka membawa pulangan ekonomi antara RM500 juta (AS$111.8 juta) sehingga RM1 bilion (AS$223.5 juta).

"Negara ini sedang menerima pelaburan yang signifikan ke dalam pusat-pusat data tetapi pusat data juga memerlukan pembuat reka bentuk yang tulen. Oleh itu, kerajaan sedang melihat ke arah mewujudkan satu ekosistem penuh bagi melengkapi (keperluan) ini,” kata Rafizi.

"Apabila ekosistem ini wujud, para pusat data di Malaysia akan mula mempertimbangkan untuk menggunakan cip 'buatan Malaysia'. Inilah yang sedang dilihat oleh kerajaan Persekutuan.”

Tambah Rafizi kementeriannya juga mempunyai perancangan lebih besar bagi sektor teknologi Malaysia daripada sekadar mewujudkan sebuah hab IC terbesar di Asia Tenggara.

“Kita mempunyai beberapa inisiatif untuk memula dan meningkatkan reka bentuk IC dengan lebih hebat berbanding apa yang ada sekarang.

“Perbincangan sedang berjalan dan sudah tentu ia memakan sedikit masa tetapi saya fikir sekiranya dan bila kita berjaya menjadi antara yang terbesar di dunia, ia akan menaikkan Malaysia dalam industri reka bentuk IC dunia,” kata beliau.

Bagaimanapun, projek tersebut turut menjadikan Malaysia sebagai satu sasaran oleh AS dan China.

Pada minggu lalu, Reuters melaporkan bahawa AS merancang untuk mengumumkan satu peraturan baharu yang akan melebarkan kuasanya bagi menghalang eksport peralatan pembuatan semikonduktor daripada beberapa negara asing kepada syarikat pembuat cip China termasuk Malaysia.

Dalam responnya terhadap berita tersebut, Rafizi menekankan mengenai komitmen Malaysia sebagai sebuah negara berkecuali.

“Adalah jelas bahawa setiap negara mempunyai pendirian masing-masing dan ketegangan geopolitik akan berterusan.

“Kita akan mendapatkan butiran lanjut dan perlu berbincang dengan wakil AS di sini. Pendirian Malaysia adalah sebuah negara berkecuali dan ia merupakan satu komponen penting dalam rantaian bekalan dunia bagi barangan elektronik dan semikonduktor. Saya rasa ini adalah sesuatu yang diiktiraf,” kata beliau kepada media selepas majlis pelancaran itu.

Pada 1 Mei lalu, kerajaan AS telah mengenakan sekatan terhadap syarikat Malaysia, Jatronics kerana membekalkan semikonduktor kepada Rusia.

Bagaimanapun, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa Jatronics bukan sebuah pengilang produk tersebut tetapi hanya sebuah syarikat dagangan yang beroperasi tanpa lesen eksport.

Zachary Abuza, seorang profesor di National War College di Washington sebelum ini menulis bahawa kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara tidak menyukai sekatan yang dikeluarkan AS secara bersendirian serta ugutan sekatan tambahan termasuk kehilangan akses kepada pasaran Amerika dan negara Barat yang lain.

“Bagi AS, sementara ia menyasarkan untuk mempelbagaikan rantaian bekalan untuk menyaingi China, perlu ada kawalan bagi menghalang teknologi daripada sampai ke tangan musuh.”

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Wong Siew Hai memberitahu BenarNews bahawa Malaysia boleh mendapat faedah daripada ketegangan geopolitik yang sedang berlaku seperti persaingan AS dengan China.

Jelasnya manfaat itu bukan sahaja hanya dalam bidang pembuatan malah membabitkan sektor reka bentuk cip.

"Kesan limpahan akan memberikan faedah kepada industri pembuatan cip yang banyak di bahagian utara serta industri reka bentuk IC.

“Malaysia boleh menarik lebih banyak syarikat reka bentuk IC yang sedang cuba mengelak ketegangan politik untuk datang ke sini.

"Dengan pelbagai insentif seperti pekerja berkemahiran, kemudahan pengangkutan awam dan ruangan pejabat yang disediakan hab seperti ini, banyak syarikat akan mendapat faedah,” kata Wong.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.