Malaysia, Singapura Bincang Isu Rakyat Pulang Susulan Perintah Pemutus Rantaian Jangkitan

Noah Lee & Nisha David
2020.04.22
Kuala Lumpur, Malaysia
MY-SG-covid-620.jpg Lelaki berbaris untuk mendapatkan makanan di asrama pekerja asing di Singapura, 19 April 2020.
(AFP)

Malaysia akan mengadakan perbincangan mengenai isu rakyatnya yang bekerja di Singapura susulan pengumuman republik itu mahu mengenakan Perintah Pemutus Rantaian Jangkitan sehingga 1 Jun setelah berlakunya peningkatan mendadak lebih 10,000 kes positif COVID-19 yang berkait dengan penempatan puluhan ribu pekerja asing.

Menteri Kanan Malaysia, Ismail Sabri Yaakob berkata perbincangan itu adalah untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai status rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, selain menentukan berapa ramai yang boleh dihantar pulang.

"Kami belum menerima perincian dari kerajaan Singapura, tetapi telah meminta Menteri Sumber Manusia untuk berunding dengan rakan sejawatannya jika ada rakyat Malaysia yang telah diberi cuti tanpa gaji akan kembali atau tidak,” katanya kepada wartawan semasa sidang media di Putrajaya pada Rabu.

Ismail Sabri turut memberitahu bahawa setakat ini masih belum ada kepulangan rakyat Malaysia secara besar-besaran dari Singapura, kerana masih terdapat kilang yang dibenarkan beroperasi manakala pekerja kilang yang operasinya ditutup, masih dibenarkan tinggal di negara itu.

Beliau yang mengadakan perbincangan dengan rakannya dari Singapura telah bersetuju yang kepulangan rakyat Malaysia akan dibuat secara berperingkat dan bukannya dalam kumpulan besar pada satu masa.

"Kami merancang bagaimana mengelak kesesakan ... seperti yang saya sebutkan semalam, kami akan menyediakan 10,000 bilik untuk digunakan sebagai pusat kuarantin jika ada rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura dalam jumlah yang besar," kata menteri kanan itu.

Singapura telah merekodkan peningkatan kes COVID-19 yang mendadak kepada lebih 10,000 sejak beberapa hari lepas, dengan pihak berkuasa kesihatan republik berkenaan mendapati bahawa kebanyakan kes adalah berkaitan dengan penempatan pekerja asing.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada Selasa telah mengumumkan bahawa tempoh Perintah Pemutus Rantaian Jangkitan negara berkenaan yang sepatutnya tamat pada 4 Mei telah dilanjutkan selama empat minggu lagi kepada 1 Jun.

Data statistik Kementerian Kesihatan Singapura pada Rabu telah merekodkan sebanyak 10,141 kes positif COVID-19, dengan 8,094 daripadanya melibatkan kluster penghuni penempatan pekerja asing, manakala 12 kematian turut dicatatkan republik itu.

Sebanyak 1,016 kes baru telah dilaporkan di republik itu pada Rabu, termasuk 999 yang merupakan pemegang permit kerja warga asing, yang kebanyakannya tinggal di asrama.

Dalam pada itu, R Vidyananthan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, yang bersempadan dengan republik itu berkata ribuan rakyat Malaysia telah kembali dari Singapura, dan selama dua minggu lepas seramai 4,783 telah dikuarantin selepas tiba di Tanahair.

"Negeri Johor melihat perkara ini dengan serius dan akan memastikan bahawa pegawai kesihatan serta jabatan imigresen negeri memantau prosedur kemasukan bagi rakyat Malaysia yang kembali dari Singapura melalui proses pemeriksaan yang ketat," kata Vidyananthan.

Pada Isnin, data statistik Kementerian Kesihatan Singapura telah merekodkan seramai 95 rakyat  Malaysia yang bekerja di republik itu telah disahkan positif COVID-19.

Dianggarkan kira-kira 200,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura dengan kebanyakan mereka sebelum ini, berulang-alik setiap hari melalui dua pintu sempadan di Johor.

Sementara itu, Malaysia melaporkan 50 kes baru jangkitan COVID-19 pada Rabu yang sekaligus menunjukan jumlah keseluruhan jangkitan adalah sebanyak 5,532, dengan satu kematian dan menjadikan kesemuanya 93 orang telah meninggal dunia akibat jangkitan pandemik itu.

Di peringkat global pula, hampir 2.6 juta jangkitan telah direkodkan dengan angka kematian mencecah 180,000 orang pada Rabu, demikian menurut data daripada Universiti Johns Hopkins di Washington.

Indonesia di Singapura

Indonesia pula telah melaporkan seramai 48 warganya yang berada di Singapura telah dijangkiti COVID-19 dengan dua kematian, demikian kata pejabat Kedutaan Besar Indonesia di republik itu.

Awal bulan ini, pejabat kedutaan itu berkata kebanyakan rakyatnya di Singapura tidak tinggal di asrama kerana ramai yang bertugas sebagai pembantu rumah dan tinggal bersama majikan mereka.

“Sebilangan besar pekerja migran Indonesia bekerja di sektor domestik. Mereka tidak tinggal di asrama tetapi tinggal dengan majikan, atau mereka adalah profesional Indonesia yang tinggal di tempat sendiri atau di tempat yang ditentukan oleh pejabat mereka,” kata Ratna Lestari, ketua bahagian sosial dan budaya di Kedutaan Indonesia di Singapura kepada BBC News.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.