Malaysia Haram Tiga Buah Buku Berunsur Syiah

Ahmad Najmi Nasruddin
2016.06.01
Kuala Lumpur
160601-my-shiite-buku Wanita Indonesia sedang mencari buku di sebuah kedai buku diskaun di Jakarta, September 3, 2015.
AFP

Malaysia pada Rabu telah mengharamkan penerbitan tiga buah buku termasuk dua dari Indonesia kerana memudaratkan ketenteraman awam, mengelirukan serta mengandungi  unsur ajaran dan amalan Syiah yang bertentangan dengan Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Alwi Ibrahim berkata, dua buku dari Indonesia yang diharamkan itu ialah hasil terbitan Pustaka Hidayah dari Bandung, bertajuk “Rasulullah SAW Sejak Hijrah Hingga Wafat” dan “Tafsir Ayat-Ayat Kematian”.

Katanya, sebuah buku lagi buku bertajuk “Sinema Spiritual: Dramaturgi Dan Kritikan” terbitan Unit Buku Harakah di Kuala Lumpur.

“Warta perintah larangan ini adalah mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang antara lain menetapkan bahawa pencetakan, pengimportan, penghasilan, penerbitan semula, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan buku-buku tersebut adalah dilarang sama sekali di Malaysia,” kata Alwi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Beliau berkata,  perintah larangan itu dibuat kerana ia dilihat dapat memudaratkan ketenteraman awam kerana mempromosikan unsur ajaran atau amalan Syiah,” tambahnya lagi.

Alwi berkata, keputusan pengharaman itu dibuat bertujuan menghalang cubaan untuk menyuntik propaganda Syiah di Malaysia melalui pengedaran atau penjualan penerbitan tersebut kepada orang ramai.

“Ia mungkin boleh mengelirukan pemikiran umat Islam dan mungkin memberi implikasi negatif daripada sudut keselamatan dan sosial masyarakat Islam di Malaysia,” kata beliau sambil menambah bahawa larangan itu telah berkuatkuasa sejak 22 April lepas.

Beliau berkata, mereka yang didapati mencetak, mengimport, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, menawar untuk menjual jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 8 (2) Akta 301.

Dari tahun 1971 sehingga April 2016, sebanyak 1593 bahan penerbitan seperti buku, majalah, akhbar dan kitab telah dikenakan perintah larangan oleh Malaysia, menurut statistik KDN.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.