Malaysia Tidak Setuju Tindakan Drastik AS Sekat Minyak Sawit Sime Darby

Washington sepatutnya memberi peluang kepada syarikat untuk membuktikan dakwaan berhubung buruh paksa, kata Menteri berkenaan.
Noah Lee & Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2020-12-31
Share
Malaysia Tidak Setuju Tindakan Drastik AS Sekat Minyak Sawit Sime Darby Seorang pekerja sedang menyusun tandan kelapa sawit di sebuah kilang di Tanjung Karang, Selangor, Malaysia, 14 Ogos, 2020.
[Reuters]

Malaysia pada Khamis berkata bahawa negara itu tidak bersetuju dengan tindakan drastik Amerika Syarikat menyekat produk minyak sawit syarikat gergasi, Sime Darby, dengan Washington seharusnya memberi peluang kepada syarikat berkenaan untuk membuktikan dakwaan buruh paksa di ladangnya.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) pada Rabu telah mengumumkan sekatan segera terhadap import minyak sawit dan produk berkaitan daripada Sime Darby Plantation (SBP) dengan menyatakan bahawa siasatan berbulan-bulan lamanya mendapati adanya petunjuk penggunaan buruh paksa dalam proses pengeluaran produk berkenaan.

“KPPK tidak bersetuju dengan tindakan drastik yang dibuat oleh AS tanpa memberi peluang terlebih dahulu kepada syarikat untuk membuktikan bahawa dakwaan yang dilemparkan mungkin tidak berasas sama sekali,” kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohammad Khairuddin Aman Razali dalam satu kenyataan.

“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengambil maklum tentang langkah drastik diambil oleh pentadbiran Donald Trump semalam…, tanpa merujuk kepada Kerajaan Malaysia di atas kesahihan dakwaan penggunaan buruh paksa dalam industri,” tegas beliau.

Menteri itu mengakui bahawa pernah berlaku isu buruh paksa melibatkan sektor perladangan kelapa sawit di Malaysia tetapi berkata satu "kajian komprehensif" yang dilakukan pada 2018 menunjukkan kes-kes tersebut adalah hanya kejadian terpencil.

Hasil kajian itu juga telah dipanjangkan kepada Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada awal bulan lalu, kata Khairuddin.

“Bagaimanapun… sekiranya tuduhan yang dibuat oleh pihak AS ini adalah benar, tindakan sewajarnya dan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat yang terlibat dalam isu buruh paksa ini,” kata beliau.

Maklum balas syarikat gergasi sawit

Sementara itu, Sime Darby, pengeluar minyak sawit terbesar Malaysia berdasarkan kawasan perladangan, pada Khamis menyatakan bahawa pihaknya sedang menunggu maklumat lanjut dari AS untuk membolehkannya "menangani secara bermakna" tindakan Washington menyekat import produknya.

"Kenyataan media CBP tidak memberikan maklumat yang secukupnya untuk membolehkan SDP menangani secara bermakna tuduhan yang membawa kepada Perintah Menahan Pelepasan itu," kata syarikat berkenaan dalam satu kenyataan.

"Walaupun begitu, kami berharap dapat menerima maklumat yang relevan dan bekerjasama dengan CBP untuk mengatasi kebimbangan mereka dan menyelesaikan perkara ini pada kadar segera."

Sime Darby memberitahu bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan organisasi anti-pemerdagangan manusia Liberty Shared untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai petisyen yang diajukannya kepada CBP, yang mendesak agensi itu untuk melarang import produk syarikatnya.

"Menurut dakwaan itu adanya pelanggaran dalam pelaksanaan dasar ketat SDP sendiri. Demi kepentingan semua pihak, terutama tenaga kerja asing dan pekerja wanita, perkara sebegini perlu ditangani dengan segera,”kata Sime Darby.

Sementara itu, Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia menyuarakan rasa "amat bimbang" berhubung sekatan CBP terhadap produk Sime Darby.

Skim pensijilan majlis itu adalah wajib bagi industri negara dan semua pemegang sijil perlu mematuhi undang-undang anti-pemerdagangan dan penyeludupan migran Malaysia, kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif majlis itu, Simon Selvaraj.

Sebarang pelanggaran yang dibuktikan "boleh mengakibatkan pensijilan berkenaan digantung atau dibatalkan," kata Simon.

‘CBP perlu bekerjasama dengan Malaysia’

Sebaliknya, Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) pada Khamis berkata bahawa audit bebas yang dijalankan terhadap Sime Darby pada tahun ini tidak menunjukkan sebarang bukti mengenai penggunaan buruh paksa.

RSPO adalah entiti multinasional yang memantau kesan ekologi industri dan amalan pekerja.

"Kami boleh mengesahkan bahawa semakan awal hasil audit pada awal tahun ini tidak menunjukkan sebarang tanda amaran terhadap Sime Darby Plantations. Kami bergantung kepada juruaudit bebas untuk mengesan pelanggaran seperti ini dan setakat ini, tidak ada pelanggaran yang dikesan di mana-mana ladang SDP yang disahkan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

RSPO menyatakan bahawa ia tidak akan bertolak ansur dengan amalan buruh paksa, namun ia meminta kerajaan AS supaya mengkaji kesan sekatan produk Sime Darby terhadap tenaga kerja syarikat berkenaan.

"Kami akan mengambil tindakan segera terhadap perniagaan yang sengaja melanggar piawaian kami, tetapi kami juga harus memupuk dialog yang telus dan saksama antara kerajaan dan masyarakat tempatan," kata Ketua Pegawai Eksekutif RSPO, Beverley Postma, dalam satu kenyataan.

"Justeru, RSPO sekali lagi meminta kerajaan AS dan CBP untuk bekerjasama dengan semua pihak relevan untuk melakukan penilaian risiko penuh mengenai kesan sebarang sekatan terhadap populasi yang mudah terjejas ini serta bekerjasama dengan kerajaan Malaysia ke arah hasil positif yang membolehkan kedua-dua negara untuk memenuhi komitmen mereka terhadap Matlamat Pembangunan Lestari PBB. "

Kumpulan itu juga telah melancarkan siasatannya berhubung pelanggaran yang dilakukan Sime Darby seperti yang dinyatakan oleh CBP, menurut kenyataan itu.

Komen (0)

Lihat semua komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh