Bom dipercayai buatan sendiri ditemui bawah kereta peguam dan aktivis Siti Kasim

Dua butir bom dipercayai buatan sendiri ditemui terikat di bahagian belakang tayar kereta oleh mekanik semasa mahu buat pemeriksaan.
Nisha David & Noah Lee
2023.07.21
Kuala Lumpur
Bom dipercayai buatan sendiri ditemui bawah kereta peguam dan aktivis Siti Kasim Dua botol alat letupan dipercayai buatan sendiri ditemui di bawah kereta milik peguam merangkap aktivis hak Orang Asli, Siti Kassim selepas dihantar untuk pemeriksaan di Bangsar, Kuala Lumpur, 21 Julai 2023.
[Facebook Siti Kasim]

Polis Malaysia pada Jumaat berkata yang pihak berkuasa itu telah melancarkan siasatan selepas dua butir bom dipercayai buatan sendiri ditemui terikat di bahagian bawah kereta milik aktivis dan peguam Siti Zabedah Kasim di Kuala Lumpur.

Lebih dikenali sebagai Siti Kasim, wanita yang juga aktif memperjuangkan isu komuniti Orang Asli di Malaysia itu hanya mengetahui mengenai bom tersebut selepas mekanik di sebuah bengkel kereta terletak di Bangsar menemui objek berkenaan dipasang di bahagian tayar belakang semasa mahu membuat kerja penyelenggaran pada tengahari Jumaat, sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata Unit Pemusnah Bom Polis telah digerakkan ke bengkel tersebut untuk menjalankan siasatan terhadap objek yang ditemui itu - terdiri daripada dua botol air yang dipasang bateri dan wayar serta bahan lain - sebelum mengalihkannya untuk dihantar bagi pemeriksaan lanjut.

"Hasil siasatan awal mendapati terdapat bahan disyaki bahan letupan. Kes disiasat dibawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada petang Jumaat.

Dalam pada itu, Ketua Polis daerah Brickfields, Amihizam Abdul Shukor berkata, unit pemusnah bos sedangan menjalankan pemeriksaan lanjut bagi mengesahkan sama ada bom tersebut adalah buatan sendiri atau sebaliknya.

Penemuan objek disyaki bom buatan sendiri didedahkan kepada umum oleh Siti Kasim melalui siaran langsung di akaun Facebooknya ketika menunggu ketibaan pasukan polis tiba di bengkel berkenaan.

Menurut peguam itu, beliau menghantar kereta ke bengkel di Jalan Maarof, Bangsar kira-kira jam 12 tengahari sebelum dimaklumkan oleh mekanik mengenai objek pelik ditemui di bawah kereta miliknya.

"Saya tinggalkan kereta di bengkel, kemudian ke kedai berdekatan untuk makan tengahari. Kemudian saya dapat panggilan dari bengkel bertanyakan pasal kereta. Mereka minta saya lihat gambar yang dihantar.

"Jadi saya lihat gambar yang dihantar dan terkejut. Mereka tunjuk ada dua ‘item’ seperti bom diletakkan di bawah kereta dengan wayar dan mekanik kata seperti baru di pasang berdasarkan kondisi bom," kata Siti sambil memberitahu yang beliau menghantar kenderaannya untuk ‘servis’ sebelum melakukan perjalanan ke Kelantan berhubung kes melibatkan Orang Asli di negeri itu.

Aktivis tersebut juga menyuarakan rasa tidak percaya dengan kejadian berkenaan, dan berasa pelik mengapa dirinya menjadi sasaran.

"Saya bukanlah siapa-siapa. Saya tidak tahu kenapa mereka fikir mahu membunuh saya, akan membuat suasana menjadi senyap, atau ia cuma sebagai satu pengajaran? Saya tidak tahu.

"Apa yang saya buat sebelum ini, atau bersuara sebelum ini adalah untuk kepentingan semua rakyat Malaysia dan juga negara. Saya mengkritik perlakuan kerajaan dan ahli politik serta mereka yang mentadbir negara ini.

“Saya harap individu (yang meletakkan bom) ini akan ditangkap,” kata Siti dalam sesi siaran langsung di laman media sosial beliau.

Tambahnya lagi, kejadian hari ini adalah yang pertama beliau menerima ancaman secara fizikal.

"Sebelum ini ada banyak ugutan bunuh di laman maya. Tapi yang seperti ini, ia adalah pertama kali," kata Siti yang telah memandu kereta Toyata Celica berusia 25 tahun itu, sejak 10 tahun lepas.

Siti berkata kejadian terkini itu, tidak akan mematahkan semangatnya untuk hadir perbicaraan melibatkan Orang Asli di Kelantan yang akan bermula Isnin, di mana beliau akan menjadi saksi pertama memberikan keterangan dalam kes kanak-kanak Orang Asli yang hilang di negeri tersebut.

"Saya akan tetap hadir," katanya.

Dalam kes pada 2015 itu, tujuh pelajar SK Pos Tohoi di Gua Musang dilaporkan hilang setelah gagal pulang ke asrama mereka.

Kehilangan mereka yang penuh misteri selama 47 hari itu berakhir dengan penemuan rangka lima kanak-kanak manakala dua lagi dijumpai dalam keadaan sangat kurus dan lemah.

Siti Kasim sememangnya terkenal sebagai seorang peguam yang lantang yang pernah mengkritik keputusan Putrajaya mengharamkan buku lucah, golongan LGBTQ yang didakwa boleh "membawa keruntuhan moral masyarakat" serta "mempromosi gaya hidup golongan LGBTQ".

Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam telah menyaksikan kebangkitan fundamentalisme agama sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan parti konservatif PAS (Parti Islam Se-Malaysia) memenangi sejumlah besar kerusi pada Pilihan Raya Umum November tahun lepas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.