Platform media sosial wajib mohon lesen setiap tahun, bendung jenayah siber
2024.08.01
Kuala Lumpur
Malaysia pada Khamis berkata platform pemesejan Internet dan media sosial yang besar perlu memohon lesen operasi setiap tahun berkuat kuasa pada 1 Januari 2025 sebagai tambahan kepada syarat-syarat lain yang jika gagal, mereka boleh dikenakan hukuman denda yang tinggi dan penjara.
Kerajaan mengumumkan minggu lalu bahawa platform yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna akan dikenakan peraturan baharu dengan butiran seperti hukuman denda RM500,000 [AS$109,649] atau lima tahun penjara didedahkan pada Khamis.
Peraturan yang diwartakan pada Khamis itu disasarkan berkuat-kuasa pada Januari tahun depan dengan mewajibkan platform terbabit untuk mendapatkan Lesen Kelas Penyedia Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, penyedia platfrom media sosial kini diberi tempoh untuk mendaftar lesen itu bermula Khamis hingga 31 Disember dan mematuhi keperluan pelesenan.
“Kegagalan berbuat demikian pada 1 Januari 2025 akan mengakibatkan penalti termasuk denda sehingga RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Penyedia platform boleh dikenakan denda harian sebanyak RM1,000 [AS$218] untuk setiap hari pelanggaran itu berterusan,” kata Fahmi pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Khamis.
Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyelia penguatkuasaan peraturan baharu itu dan tindakan terhadap platform yang tidak patuh diambil bergantung kepada sejauh mana tahap pelanggaran, impak dan kekerapan ingkar peraturan.
“Langkah-langkah ini penting untuk membendung peningkatan ancaman penipuan, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak," katanya pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di Putrajaya.
“Rangka kerja pelesenan itu adalah satu langkah ke arah memastikan Internet yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia.”
Gergasi media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram, TikTok dan X adalah antara platform yang terbabit dengan Malaysia mempunyai hampir 30 juta pengguna media sosial aktif pada 2023.
Sebelum ini di Malaysia, platform media sosial dikecualikan daripada mendapatkan lesen tetapi dalam kerangka kawal selia baharu, lesen kini diperlukan dan diperbaharui setiap tahun.
Di bawah kerangka kawal selia baharu itu, platform mesti membayar yuran pendaftaran, memohon melalui syarikat tempatan yang diperbadankan dan menyerahkan dokumen diperlukan mengikut senarai semakan permohonan lesen kelas tertentu termasuk borang permohonan, profil syarikat dan maklumat perkhidmatan.
Mereka juga bertanggungjawab untuk mematuhi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan perundangan subsidiarinya susulan arahan yang dikeluarkan SKMM.
SKMM pada Khamis berkata garis panduan komprehensif berkaitan peraturan baharu itu akan disiapkan menjelang hujung Disember ini dan dalam tempoh itu, penyedia perkhidmatan diminta memperkukuh langkah melindungi data pengguna, memastikan keselamatan kanak-kanak, memerangi jenayah dalam talian serta menguruskan pemalsuan imej yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI).
Bagi menangani ketidakpatuhan oleh platform media sosial, SKMM berkata pihaknya akan mempertimbangkan keseriusan pelanggaran, impak serta kekerapan dan rekod pematuhan penyedia perkhidmatan sebelum memutuskan tindakan yang bersesuaian terhadap mereka.
"Tindakan boleh diambil merangkumi amaran pentadbiran, arahan untuk membetulkan pelanggaran, penalti sivil atau pengkompaunan kesalahan dalam menangani isu pelanggaran secara berkadar. Bagi pelanggaran yang lebih berat, SKMM boleh menyekat capaian kepada platform tersebut, membatalkan lesen atau memulakan pendakwaan," kata agensi itu.
Menjawab kebimbangan mengenai potensi penapisan dan kesan terhadap kebebasan bersuara, Fahmi memberi jaminan bahawa peraturan baharu itu bukan untuk menyekat hak yang dijamin oleh Perlembagaan.
“Kami mahukan suasana yang lebih baik terutamanya dalam memastikan Internet yang lebih selamat untuk anak-anak dan keluarga,” katanya.
Fahmi juga menjelaskan bahawa keperluan pelesenan hanya terpakai kepada platform, bukan kepada pengguna individu, pempengaruh atau pencipta kandungan.
Katanya perbincangan dengan platform media sosial utama sedang berjalan sambil menyatakan bahawa syarikat terbabit bersedia untuk mengambil bahagian dalam proses pelesenan.
Fahmi telah bertemu dengan hampir semua platfrom media sosial pada hujung minggu lalu di Singapura.
“Sesi libat urus akan diteruskan dengan pihak berkepentingan bagi meningkatkan kefahaman mereka tentang langkah pelesenan,” jelasnya.
Dalam soalan lazim berkaitan kerangka kawal selia itu, SKMM memberikan justikasi memperkenalkan peraturan baharu itu dengan memetik laporan ECPAT International, kumpulan advokasi mencegah eksploitasi seks kanak-kanak yang mendedahkan 100,000 golongan itu berisiko kepada eksploitasi seksual dalam talian.
SKMM juga mendedahkan laporan transaksi mencurigakan berkaitan judi dalam talian di Malaysia meningkat hampir dua kali ganda antara 2019 dan 2022, mencecah lebih 42,000 laporan membabitkan jumlah transaksi yang melonjak sebanyak 273 peratus kepada lebih RM26 bilion [AS$5.5 bilion] dalam tempoh yang sama.
Buli siber juga merupakan isu utama ketika ini apabila 28 peratus daripada kanak-kanak di Malaysia telah menjadi mangsa keganasan dalam talian berdasarkan kepada satu laporan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2019.
SKMM berkata ia telah menerima sejumlah 9,483 laporan buli siber bagi tempoh antara Januari 2022 sehingga Julai lalu.
Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia, kes penipuan dalam talian di Malaysia meningkat dua kali ganda daripada 17,688 kes pada 2019 kepada 34,495 kes pada 2023.
Jabatan berkenaan turut melaporkan jumlah kerugian akibat penipuan atau scam bernilai RM1.4 bilion [AS$307 juta] bagi tempoh antara Januari sehingga Julai 2024.
Tingkat penapisan
Sementara itu, BenarNews telah menghubungi Meta - pemilik Facebook, WhatsApp dan Instagram selain Telegram dan X untuk mengulas mengenai rangka kerja kawal selia itu tetapi masih belum menerima maklum balas. TikTok pula enggan mengeluarkan kenyataan.
Pengumuman mengenai kerangka kawal selia itu sebelum ini telah mencetuskan kritikan kumpulan masyarakat sivil yang berpendapat bahawa peraturan itu boleh membawa kepada peningkatan penapisan dan autoritarianisme.
Dalam surat terbuka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jun lalu, kumpulan itu menyeru mekanisme pengawasan pelbagai pihak dan program literasi media yang komprehensif sebagai alternatif kepada keperluan pelesenan baharu.
Pada awal Jun, Malaysia juga mendahului senarai kerajaan yang meminta menurunkan kandungan daripada TikTok sepanjang tahun lepas.
Menurut "Laporan Permintaan Kerajaan Menurunkan Kandungan" dwitahunan TikTok bagi 2023, platform itu menerima sejumlah 2,202 permintaan daripada kerajaan untuk mengeluarkan lebih 6,000 kandungan.
Pada Mei lalu, Malaysia dilaporkan jatuh ke tempat ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media yang disediakan pemantau media global Reporters Without Borders (RSF), susut 34 anak tangga daripada 73 pada tahun lalu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pihaknya 'tidak kisah' dengan kedudukan itu kerana ia disebabkan usaha kerajaan membanteras “perkauman dan fanatik agama”.
Mengulas mengenai kerangka kawal selia itu, seorang ahli akademik, Benjamin Loh berkata peraturan pelesenan tersebut dilakukan tanpa mengambil kira aspek kebebasan bersuara.
“Rangka kerja itu meletakkan asas untuk kerajaan berkuasa sepenuhnya ke atas pemegang lesen. Terdapat peraturan yang mengatakan ia boleh 'menggantung akses' yang sama fungsinya dengan 'suiz pemati' media sosial seperti dicetuskan oleh Fahmi sebelum ini,” kata pensyarah kanan Pusat Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Taylor itu kepada BenarNews.
A. Aziz Azizam, pensyarah kanan komunikasi liberal Universiti Teknologi Mara pula berkata setiap undang-undang dan peraturan mempunyai objektif utama bagi memupuk keharmonian dan keselesaan rakyat namun tidak banyak pihak memahaminya secara jelas.
"Kita melihat kawal selia sebagai suatu tindakan untuk mengawal kumpulan lawan politik kerajaan. Ini menganggu dan memberi kesan kepada kebebasan bersuara.
"Rata-rata pengguna tidak melihat kepada keperluan platfrom media sosial yang perlu bertanggungjawab. Perkara tersebut belum difahami buat masa ini," jelasnya kepada BenarNews.
Dalam hal ini, katanya pihak kerajaan perlu menjelaskan tentang kekaburan berhubung kerangka kawal selia itu kerana ia berpotensi menjejaskan pentadbiran negara.
"Kita faham kerajaan pada hari ini merupakan kumpulan politik yang bersungguh-sungguh dalam menegakkan keadilan dan kebebasan hak bersuara. Apabila sudah berkuasa, mereka perlu jelaskan bagaimana atau apa yang mereka hendak lakukan pada masa ini,” katanya