Sesi soal jawab fasilitator rundingan damai Selatan Thailand yang baharu: “Ini melibatkan kemanusiaan”
2023.02.23
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 6 petang waktu tempatan ETS - 2023-02-23
Perkara pertama yang dilakukan oleh fasilitator Malaysia yang baharu bagi rundingan damai Selatan Thailand, Zulkifli Zainal Abidin, selepas dilantik ke jawatan itu pada bulan lepas adalah untuk bertemu dengan semua pihak yang terlibat dalam konflik di sempadan Thailand-Malaysia.
Zulkifli berkata beliau perlu memastikan dirinya mudah dihubungi oleh sesiapa sahaja kerana ia adalah satu-satunya cara bagi membolehkan komunikasi diteruskan.
Kekerapan berkomunikasi juga akan membentuk keyakinan, yang menurutnya kurang diberikan perhatian dalam proses untuk mengakhiri konflik di kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Melayu di Selatan Thailand itu.
Pada minggu ini, Zulkifli menghadiri rundingan damai itu buat kali pertama sejak mengambil alih jawatan berkenaan, dan berjaya melakukan perkara yang jarang berlaku apabila dapat mengumpulkan para perunding yang mewakili kerajaan Thailand dan kumpulan pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) dalam sidang media bersama.
Beliau turut meyakinkan BRN, kumpulan pemberontak utama, untuk secara dasarnya bersetuju membuka ruang kepada kumpulan-kumpulan lain dari Selatan Thailand supaya turut sama dilibatkan dalam rundingan itu. Sekiranya ini berlaku, ia bakal menjadi yang pertama sejak 2018 apabila kumpulan-kumpulan yang lain juga mengambil bahagian dalam rundingan damai tersebut.
Zulkifli bertuju mengadakan sesi temu bual eksklusif dengan BenarNews susulan pusingan pertama rundingan yang dikendalikan oleh beliau melibatkan dua pihak itu di Kuala Lumpur. Petikan daripada temu bual berkenaan telah disunting bagi tujuan pencerahan.
BenarNews: Tan Sri dilantik pada 1 Jan. tidak sampai dua bulan lepas. Apakah perkara pertama yang Tan Sri lakukan selepas diberikan jawatan ini?
Zulkifli Zainal Abidin: Saya telah bergerak ke merata tempat. Saya telah berjumpa dengan semua pihak – ahli-ahli BRN, PULO dan BIPP. Saya bertemu dan berbincang dengan mereka; saya juga telah berjumpa pimpinan BRN dan mereka bersetuju secara dasarnya untuk menjemput kumpulan lain kerana mereka tidak mahu bersendirian. Mereka juga mahu menjadi inklusif.
Kami perlu menghantar jemputan rasmi kepada mereka untuk merealisasikannya. Kami juga bercadang untuk membenarkan badan-badan bukan kerajaan dari Malaysia dan juga lain-lain untuk turut terlibat dalam rundingan damai ini.
Beberapa pihak telah menulis kepada kami dan menyatakan hasrat untuk menjadi pemerhati… Saya akan meneliti perkara ini selepas pulang dari Selatan Thailand.
Dan, saya perlu berunding dengan kedua-dua pihak kerana saya bukan pembuat keputusan. Kedua-dua pihak perlu bersetuju kepada [perkara ini]…
Adalah tidak adil bagi saya untuk mendesak sesiapa sahaja yang saya kehendaki.
BN: Apakah kelainannya kali ini dalam memastikan rundingan ini akhirnya akan membawa kepada pengakhiran kepada konflik itu?
ZZA: Saya mesti membenarkan komunikasi berlaku 24/7 (sepanjang masa). Saya mesti memberikan ruang kepada semua pihak untuk bercakap. Mereka perlu bercakap tanpa sekatan, dan saya mesti menjadi pendengar yang baik.
Bagaimanapun, [menjadi] pendengar yang baik tanpa memberi pandangan atau cadangan bukanlah ciri fasilitator yang baik. Saya memudahkan apa sahaja yang mereka kehendaki. Saya cuba menggunakan pemikiran saya sebaiknya untuk memberikan pilihan.
Bagaimanapun, semua keputusan adalah di pihak mereka. Disebabkan itu juga, perdana menteri menegaskan defisit keyakinan mestilah diatasi.
Sekarang, secara tidak langsung, kita telah mengatasinya. Kami meluahkan pemikiran, berkongsi pandangan dan menunjukkan kepada mereka bahawa kita jujur. Hanya itulah yang saya buat.
Ini berkaitan perihal kemanusiaan. Ini melibatkan langkah bagi mewujudkan keserasian. Ia lebih mudah untuk diperkatakan berbanding melaksanakannya namun, saya perlu memastikan saya sentiasa membuka laluan untuk rundingan.
BN: Para pemerhati berkata rundingan di antara kedua pihak tidak pernah melepasi fasa membina keyakinan. Bagaimana dengan kali ini? Apakah ia telah melepasi fasa membina keyakinan? Adakah ia berjaya membina keyakinan?
ZZA: Ya, tetapi untuk mengetahui rasa puding kita mesti memakannya. Jadi, buat masa ini kami masih tidak boleh meletakkan sebarang kayu pengukur disebabkan cabaran utamanya adalah perincian. Perincian akan memberikan banyak pengertian.
Sebagai fasilitator, saya mesti meneliti perincian, mencari sebab kepada sesetengah tindakan dan cadangan selain cuba memahami serta memudahkan dan memastikan pihak yang satu lagi juga memahami.
BN: Tan Sri akan berkunjung ke Selatan Thailand namun, akan ada yang mempunyai pandangan ragu-ragu terhadap lawatan Tan Sri ke sana, dengan mendakwa ia hanya bertujuan menyenangkan hati pihak Thailand dan pergerakan Tan Sri tidak akan bebas dan mudah seperti yang diharapkan.
ZZA: Saya tidak boleh duduk dan tidak berbuat apa-apa. Saya tidak boleh mengehadkan diri atau menghalang diri saya daripada menggunakan peluang ini untuk berada di sana. Saya mesti mencuba dan saya mesti membuka saluran komunikasi. Semua pihak boleh datang dan bertemu dengan saya.
BN: Adakah perihal membendung keganasan dibincangkan dalam pertemuan ini?
ZZA: Ya kami ada [berbincang]. Bagaimanapun, ia hanya perbincangan ringkas memandangkan kami tidak mampu fokus semata-mata kepada perkara berkenaan, jika tidak kami akan terkandas. Kami perlu memberi fokus kepada JCPP. Disebabkan itu kami menegaskan yang kami perlu mengadakan mesyuarat teknikal bagi memperincikan butiran-butirannya. Ini bukanlah perkara remeh. Ini adalah perkara yang amat serius. Kami akan bertemu lagi bulan hadapan. Saya sedang mengusahakannya.
BN: Apabila Tan Sri memutuskan untuk menerima tugasan ini, adakah Tan Sri telah dipujuk?
ZZA: Perdana Menteri meminta saya mengambil tugasan ini. Sebagai tentera, saya perlu menerima tugasan ini sebagai khidmat kepada negara. Jadi, saya katakan ya tanpa sebarang keraguan.
BN: Adakah Tan Sri ditekan untuk mendapatkan kejayaan yang pantas atau melaporkan terus kepada PM?
ZZA: Tidak, saya telah diberikan kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang perlu bagi mendapatkan hasil yang baik. Bagaimanapun, sebagai orang bawahan, saya melaporkan terus kepada beliau [Anwar Ibrahim] setiap masa dan beliau memberikan panduan kepada saya.
BN: Saya dimaklumkan yang sayap tentera BRN tidak gembira dengan JCPP kerana Tan Sri telah meletakkan tekanan ke atas BRN untuk bersetuju menerima plan damai. Adakah ini benar?
ZZA: Ia sama sekali tidak berasas. Saya tidak menekan mana-mana pihak.
Saya hanya memberikan pilihan dan pemahaman. Pasukan BRN adalah perunding yang sangat baik. Kita perlu memuji mereka.
Ia bukanlah mudah bagi saya untuk mendapatkan kedua-dua pihak bersetuju kepada beberapa perkara. Ia tidak mudah bagi pihak Thailand, ia juga tidak mudah kepada pihak BRN.
Proses menderaf sesuatu perkataan boleh mengambil masa sehingga satu jam, sekadar untuk makluman anda tentang perkara yang sangat rumit ini.
Muka saya mudah merah apabila keadaan menjadi tegang. Kami perlu mengambil begitu banyak waktu rehat semasa rundingan berjalan bagi memastikan perbincangan dapat diteruskan, dan nampaknya kami telah mencapai keputusan yang kami mahukan.
Iskandar Zulkarnian di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.