Soal Jawab Dengan Pemimpin Parti Islam Se-Malaysia
2018.04.17
Perak, Malaysia
Pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang berjuang bagi pelaksanaan undang-undang jenayah Islam yang ketat termasuk pemotongan tangan dan rejam sehingga mati sebagai hukuman di negara pelbagai kaum itu, diwawancara oleh BeritaBenar minggu ini.
Abdul Hadi Awang, yang berusia 70 tahun, dan mengetuai parti itu sejak 16 tahun lalu, menjawab pelbagai soalan – yang merangkumi usaha partinya supaya diwujudkan kanun keseksaan Islam yang ketat hinggalah kepada peranan PAS sebagai "penentu" yang dijangka diperlukan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.
Berikut petikan wawancara dengan Abdul Hadi:
BeritaBenar (BN): Apakah unsur-unsur penting dalam kempen pilihan raya PAS?
Abdul Hadi Awang (AHA): PAS akan menggunakan Islam sebagai platform dalam kempen untuk PRU14 akan datang, di mana perjuangan kami menunjukkan bahawa semua perkara berkaitan pentadbiran perlulah berdasarkan kepada agama. Pembangunan juga perlu berasaskan kepada prinsip-prinsip Islam.
Kami tegas mengenai perkara ini dan prinsip-prinsip Islam tidak boleh diketepikan langsung... Kami menghormati ideologi parti-parti lain tetapi apabila berkaitan dengan Islam, kami tidak boleh bertolak ansur dan semua pihak harus menghormati prinsip asas ini.
Ini adalah platform PAS sejak awal lagi, dan ia akan menjadi teras perjuangan kami.
BN: Bagaimana anda melihat sokongan untuk PAS pada pilihan raya umum ke-14?
AHA: Ada peningkatan sokongan untuk parti. Itulah sebabnya ... BN melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Jika dilihat dengan teliti di Terengganu, kawasan-kawasannya ... dikuasai oleh PAS yang mempunyai hampir 100,000 pengundi, manakala kawasan yang dikuasai oleh BN mempunyai kira-kira 40,000 pengundi.
Ini menunjukkan PAS terus mendapat sokongan, dan ini yang menakutkan kerajaan BN sekarang.
BN: Adakah anda melihat orang lain menyokong PAS? Mengapa kaum etnik Cina dan India perlu mengundi PAS?
AHA: Apabila kami menang di Kelantan dan Terengganu, yang lain - komuniti bukan Islam seperti orang Cina dan India - melihat cara pentadbiran kami di mana tiada siapa pun yang dinafikan hak mereka walaupun mereka bukan Islam.
Ini memberi mereka keyakinan untuk menyokong PAS seperti pada pilihan raya sebelum ini, dan parti yakin bahawa mereka akan terus menyokong PAS berdasarkan keadilan yang kami tunjukkan semasa pentadbiran kami ....
BN: Apakah pelaksanaan undang-undang jenayah Islam menjadi unsur utama dalam kempen PAS pada pilihan raya umum? Jika ya, bagaimanakah PAS dapat mencapai matlamat ini?
AHA: Memperjuangkan Islam adalah tanggungjawab kami sebagai umat Islam. Kami yang menjadi penentunya.
... BN [Barisan Nasional] dan PH [Pakatan Harapan] tidak dapat memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan. PAS yang akan menjadikan keadaan itu berbeza.
Bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan, mereka perlu membawa masuk PAS dan kami mempunyai satu syarat jika itu berlaku - iaitu Islam perlu dijadikan asas bagi mana-mana pentadbiran kerajaan.
Sekiranya mereka enggan menerima syarat kami, kami tidak kisah menjadi pembangkang tetapi persoalan di sini adalah bagaimana mereka dapat membentuk sebuah kerajaan tanpa majoriti? Kerana itulah, PAS yakin bahawa mereka akhirnya akan menerima syarat kami.
BN: Adakah PAS akan bekerjasama dengan Barisan Nasional atau Pakatan Harapan dalam pilihan raya akan datang?
AHA: Kami tidak akan bekerjasama dengan BN dan PH.
Kami mempunyai Gagasan Sejahtera, gabungan empat parti - iaitu PAS, Parti Cinta Malaysia [PCM], Parti Next Gen dan Parti Perikatan Nasional Malaysia [Ikatan] yang akan bertanding di bawah logo PAS, di mana kita akan bertanding merebut 160 kerusi dan mungkin lebih.
Semua akan diumumkan pada 19 April [apabila PAS menamakan calon-calonnya bagi pilihan raya]. Jadi dalam pilihan raya akan datang, kita dapat melihat tiga logo utama bertanding dan ia adalah BN, Parti Keadilan Rakyat [PKR] dan PAS.
BN: Bolehkah PAS mengekalkan kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta mengekalkan kuasa di negeri Kelantan?
AHA: PAS yakin dapat memenangi 40 kerusi Parlimen, dan akan mengekalkan kuasa di negeri Kelantan serta menawan semula Terengganu.
PAS juga meramalkan bahawa ia akan memenangi kerusi utama di Kedah, Perak, Pahang dan Selangor di mana kerajaan negeri tidak boleh dibentuk tanpa sokongan PAS. PAS juga dijangka memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri di Sabah, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Pulau Pinang.
BN: Apakah pilihan raya umum tahun ini boleh menjadi adil?
AHA: Tidak pernah ada pilihan raya yang adil di sini kerana BN, parti pemerintah, sentiasa membuat perubahan ...
Tidak kisahlah kerana PAS akan bertanding [dalam pilihan raya umum], dan tidak kisahlah bagaimana mereka menjadikannya tidak adil [bagi kami] ... Kami pernah memperoleh kemenangan besar dan mengalami kekalahan teruk sebelum ini tetapi kami tidak pernah memboikot pilihan raya, walaupun ketika kami hanya memenangi satu kerusi.
Kami akan menerima cabaran itu dan menghadapinya dengan penuh keberanian.
BN: Seorang bekas pemimpin PAS mendakwa parti UMNO yang memerintah menyumbang RM90 juta (US$23.1 juta) kepada PAS bagi membantu parti anda. Apakah reaksi anda terhadap dakwaan ini?
AHA: [Ia] pembohongan. Bagaimana BN boleh menderma RM90 juta kepada PAS, parti yang tidak akan bersama mereka dalam pilihan raya umum akan datang?
Kami tidak melihat ini sebagai isu utama kerana akar umbi [parti] tahu dan sedar bahawa PAS bukan parti lemah yang harus menerima sumbangan daripada BN ...
Bekas pemimpin PAS itu boleh terus menyebarkan dakwaan palsu tetapi akar umbi dan penyokong parti tidak akan menerimanya kerana bukti menunjukkan bahawa PAS tidak pernah menerimanya.
BN: Apakah PAS sudah bersedia sepenuhnya untuk pilihan raya umum ini?
AHA: Sudah tentu. Kami mempunyai ahli dan penyokong akar umbi yang bersedia untuk berjuang.
Mereka berada di semua kawasan pilihan raya, termasuk di tempat-tempat mengundi. Inilah orang yang sentiasa berjuang dan menyokong PAS kerana mereka amat setia [dengan parti].