Pengarah syarikat didakwa cuba sogok menteri RM7.5 juta

Iman Muttaqin Yusof
2023.04.05
Kuala Lumpur
Pengarah syarikat didakwa cuba sogok menteri RM7.5 juta Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, pengarah syarikat Hydroshoppe Sdn. Bhd. tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi pendakwaan kes rasuah terhadapnya, 5 April, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Seorang pengarah syarikat pada Rabu telah didakwa di mahkamah atas cubaan memberi rasuah RM7.5 juta (AS$1.8 juta) kepada Annuar Musa yang pada masa itu adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia sebagai imbuhan untuk mempercepatkan proses pengambil alihan konsesi Menara KL tahun lalu.

Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Suzana Hussain terhadap pertuduhan tersebut yang kemudiannya dibenarkan diikat jamin sebanyak RM50,000 (AS$11,371) dengan seorang penjamin

Hakim Suzana turut mengarahkan beliau untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai, demikian menurut laporan media tempatan.

Abdul Hamid Shaikh dikatakan menawar sogokan tersebut melalui seorang ahli perniagaan bernama Tan Ser Lay, 60 tahun bagi pihak Annuar di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.

Menurut kertas pertuduhan yang dilihat BenarNews, pemilik syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd itu didakwa mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta yang sama.

“Bahawa kamu di antara bulan Julai dan Ogos 2022, di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Lot 4G9, Persiaran Perdana, Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di dalam Wilayah Persekutuan Putrajaya, telah secara rasuah menawarkan kepada Tan Ser Lay suatu suapan, iaitu wang sejumlah RM500,000.00 setahun selama tempoh 15 tahun, bagi faedah Annuar Musa yang merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, sebagai dorongan untuk Annuar Musa melakukan suatu perkara yang dicadangkan, iaitu mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat Hydroshoppe Sdn. Bhd. yang mana kamu adalah seorang pengarah di dalam syarikat tersebut.

“Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama,” demikian menurut salah satu kertas pertuduhan yang dibacakan terhadap Abdul Hamid di mahkamah pada Rabu.

Jika sabit kesalahan, Abdul Hamid berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan yang diberikan, atau denda maksimum RM10,000 (AS$2,274), mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pada hari yang sama, syarikat tersebut juga didakwa di sebuah lagi mahkamah iaitu di hadapan Hakim Mahkamah Seysen Rozina Ayob kerana bersekutu dengan Abdul Hamid atas suapan rasuah dengan niat memperoleh perniagaan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL, di lokasi dan tarikh sama.

Abdul Hamid Shaikh turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan dengan Hakim menetapkan jaminan berasingan sebanyak RM50,000 dengan satu lagi penjamin bagi dakwaan kedua itu.

Disember tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyatakan bahawa agensi berkenaan sedang menyiasat mengenai penjualan syarikat yang memiliki kontrak pengurusan Menara KL.

"SPRM akan menyiasat sama ada terdapat elemen rasuah dalam penjualan 100% saham oleh Telekom Malaysia Bhd (TM) dalam Syarikat Menara KL Sdn Bhd kepada Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober 2022," kata agensi anti-rasuah itu dalam satu kenyataan pada 29 Disember.

Menurut laporan media Januari lalu, SPRM telah menahan dua individu berusia 49 dan 59 tahun selama empat hari, termasuk pengarah urusan yang bertindak sebagai perantara untuk mengendalikan suapan dalam urus niaga itu.
SPRM mengesyaki bahawa pemilihan syarikat berkenaan melibatkan permintaan wang suapan bernilai ratusan ribu ringgit dan jam tangan mewah sebagai hadiah kepada 'pihak atasan' untuk memudahkan pengambilalihan.

Pengambilalihan pengurusan Menara KL tular di media sosial apabila orang ramai mempersoalkan keputusan TM menerusi anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, untuk memindahkan pemilikan penuh kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd pada bulan Oktober tahun lalu.

Satu akaun Twitter dikenali sebagai @FreeMsian mendakwa Menara KL yang menjana pendapatan RM66 juta (AS$15 juta) pada 2019 dengan untung bersih RM25 juta (AS$5.6 juta) itu sebagai 'cash cow' dan pemindahan saham itu tidak dihebahkan kepada umum.

Dalam laporan Malaysiakini, Annuar Musa berkata bahawa beliau tidak mempunyai kaitan dengan pemindahan saham TM dari Menara KL ke Hydroshoppe.

Beliau menyatakan bahawa TM adalah sebuah syarikat tersenarai awam dan urus niaga untuk memindahkan saham tidak memerlukan kebenaran menteri.

BenarNews cuba menghubungi Annuar Musa bagi mendapatkan komen tetapi tidak berjaya.

Menara KL merupakah sebuah menara telekomunikasi tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara serta ketujuh tertinggi di dunia dengan ketinggian 421 meter.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.