Malaysia Lantik Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Baru

Staf BeritaBenar
2016.01.20
160120-MY-BERSIH620 Sekumpulan besar peserta perhimpunan anti kerajaan berpakaian kemeja-t kuning memenuhi satu bahagian di pusat bandar Kuala Lumpur. 29 Ogos 2015.
BeritaBenar

Malaysia mengumumkan pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya yang baru pada Rabu dengan kumpulan badan bukan kerajaan menggesa agensi itu supaya lebih telus untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap proses pilihan raya negara itu.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Mohd Hashim Abdullah telah dilantik sebagai pengerusi baru suruhanjaya itu berkuatkuasa Ahad ini, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Dr. Ali Hamsa dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

Pelantikan Mohd Hashim ke jawatan itu adalah bagi mengisi kekosongan berikutan tamat tempoh perkhidmatan Abdul Aziz Mohd Yusof pada Sabtu ini.

Mohd Hashim, 62, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengerusi SPR pada Sept 2014.

BERSIH, gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil yang terdiri daripada gabungan badan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil menyeru pengerusi SPR yang baru itu memulakan beberapa langkah untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai kepada agensi pilihanraya negara berkenaan.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah menggesa kerajaan supaya menjadikan SPR sebagai sebuah badan bebas yang bertanggunjawab secara langsung kepada Parlimen.

“Saya menggesa kerajaan meminda undang-undang SPR dalam menjadikannya sebuah badan bebas seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang mempunyai tanggungjawab terus kepada Parlimen dan tidak lagi berada di bawah Jabatan Perdana Menteri” kata Maria ketika dihubungi BeritaBenar.

Beliau turut meminta SPR membersihkan senarai pengundi Sarawak dimana 38 peratus daripada mereka tidak mempunyai alamat.

BERSIH telah menganjurkan empat siri perhimpunan di sekitar ibu negara Kuala Lumpur dalam tempoh lapan tahun dengan yang terbaru diadakan pada 29 Ogos lepas, iaitu selama 34 jam.

Kesemua perhimpunan itu membuat pelbagai tuntutan, antaranya: mengadakan pilihan raya bebas dan adil, menegakkan sebuah kerajaan yang telus, memberikan hak untuk berdemonstrasi, mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen, menyelamatkan ekonomi negara, serta menggesa peletakan jawatan Perdana Menteri Najib Razak yang berdepan dengan skandal rasuah melibatkan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif Institute For Democracy and Economic Affairs (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan berkata, tugas utama yang perlu dibuat oleh Mohd Hashim adalah memastikan pensempadanan semula kawasan parlimen yang perlu dilakukan dengan telus serta mengikut lunas undang-undang untuk memastikan keadilan kepada pengundi.

"Ini merupakan tugas utama kerana ia bakal digunakan pada pilihanraya akan datang.Kegagalan melakukan pensempadanan ini secara telus akan menjurus kepada pilihanraya negara yang tidak adil kepada semua parti politik serta pengundi," katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.

"Kegagalan mengamalkan polisi terbuka, dengan terus melaksanakan polisi sedia ada, hanya menjadikan SPR seperti pasukan lama tanpa sebarang faedah kepada pengundi" tegas Wan Saiful.

Manakala Pensyarah Media dan Komunikasi Universiti Nottingham Malaysia, Profesor Zaharom Nain ketika dihubungi pula, mahukan SPR menjadi sebuah badan yang benar-benar bebas kerana itu adalah antara harapan para pengundi.


Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.