Pakar: Pengurangan Bajet SPRM Bantutkan Usaha Cegah Rasuah
2016.10.24
Kuala Lumpur
Pengurangan dana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM35 juta berbanding tahun sebelumnya, pada Bajet 2017 dilihat oleh pakar sebagai tindakan kurang komited oleh kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak dalam memerangi jenayah rasuah yang semakin kompleks dan sofistikated.
Menurut dokumen Maksud Bekalan 9, SPRM, Anggaran Perbelanjaan Mengurus Bagi Tahun 2017 Mengikut Objek Am, yang dikeluarkan Jabatan Perbendaharaan Negara, Kementerian Kewangan, pada pembentangan Bajet 2017 yang dilihat oleh BeritaBenar, peruntukan bagi badan pencegahan rasuah berkenaan adalah sebanyak RM216 juta manakala bagi bajet 2016 ialah RM251 juta, pengurangan dengan jumlah RM35 juta.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Akhbar Satar ketika dihubungi BeritaBenar memberitahu pihak kerajaan tidak sepatutnya memotong peruntukan SPRM sebanyak RM35 juta kerana ia boleh menjejaskan usaha badan itu untuk memerangi jenayah rasuah yang semakin rumit.
“SPRM memerlukan dana untuk memerangi jenayah rasuah yang semakin kompleks di zaman teknologi ini. Kerajaan sepatutnya menambah lagi dana bukannya mengurangkannya kerana ia membantu operasi serta memperkuatkan lagi penguatkuasaan agensi pencegahan rasuah berkenaan,” katanya kepada BeritaBenar pada Isnin.
Najib pada Jumaat lalu, membentangkan Bajet 2017 yang bertemakan "Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh" dengan peruntukan keseluruhannya sebanyak RM260.8 bilion di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen.
Akhbar berkata, berdasarkan laporan oleh badan National Oversight & Whistleblowers (NOW), kegawatan ekonomi adalah antara penyumbang utama berlakunya kegiatan rasuah secara berleluasa.
“Oleh kerana itu, SPRM lebih memerlukan penambahan peruntukan berbanding tahun lalu dalam usaha memerangi jenayah rasuah dan berdasarkan laporan kajian antarabangsa menunjukkan sesebuah negara mengalami kerugian pendapatan sebanyak 5% ekoran jenayah rasuah,” tambahnya lagi.
Menurut maklumat Jabatan Perbendaharaan Negara, pada Bajet 2015, SPRM menerima peruntukan sebanyak RM294 juta diikuti RM251 juta pada Bajet 2016, dengan perbezaan sebanyak RM43 juta sebelum ini.
Dalam pada itu, bekas ahli Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM, Prof .Madya Dr P. Sundramoorthy menyifatkan langkah mengurangkan peruntukan lebih 10 peratus itu sebagai perkembangan yang tidak sihat kepada bidang anti-rasuah di Malaysia.
Beliau yang berkhidmat dalam panel PPO selama satu tahun berakhir Febuari lepas, menegaskan bahawa pada hakikatnya sebelum ini SPRM sememangnya telah beroperasi dalam keadaan dana yang terhad.
"Kami telahpun dimaklumkan bahawa SPRM ketika itu menghadapi kekangan dari segi peruntukan dan beroperasi dalam keadaan bilangan anggota yang terhad," ujar pensyarah kanan bidang Kriminologi di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) ketika dihubungi BeritaBenar pada Isnin.
Menurut Sundramoorthy, beliau dimaklumkan yang SPRM telahpun mengenalpasti empat keperluan yang mendesak bagi badan pencegahan rasuah itu yang melibatkan latihan kemahiran pegawai, pengambilan sumber manusia tambahan dengan kemahiran tinggi.
Selain itu, agensi berkenaan juga memerlukan peralatan sofistikated untuk pemantauan dan siasatan disamping meneruskan kempen berterusan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.
"SPRM memerlukan kombinasi empat faktor untuk meningkatkan kecekapannya dalam membanteras jenayah rasuah kerana sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang, ia perlu sentiasa berada jauh di hadapan memandangkan aktiviti jenayah rasuah semakin kompleks dan sofistikated.
"Justeru mereka mesti sentiasa menambahbaik kelengkapan dan kepakaran mereka kerana aktiviti rasuah pada masa kini dan pada masa hadapan melibatkan penggunaan sistem kewangan, peralatan dan kaedah yang semakin canggih untuk menutup jenayah," kata Sundramoorthy.
Cubaan BeritaBenar untuk mendapatkan maklum balas daripada Ketua Persuruhjaya SPRM dan juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Paul Low bagaimanapun gagal.
Najib semasa pembentangan Bajet 2017 berkata, kerajaan Barisan Nasional telah berjaya mempertahankan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada purata enam peratus setahun dan pembentangan bajet kali ini adalah yang kelapan bagi beliau sejak menyandang jawatan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.
Beliau berkata, Bajet 2017 digubal dengan berpegang kepada lima prinsip dan falsafah kerajaan termasuk mengutamakan perpaduan nasional dalam membina negara, bangsa dan bagi memelihara kedaulatan, keluhuran perlembagaan dan undang-undang serta keselamatan negara.
Sementara itu, Ketua Eksekutif sebuah badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan berpendapat bahawa, pemotongan dana SPRM berlaku ekoran pihak kerajaan kekurangan dana.
“SPRM bukanlah satu-satunya agensi yang mengalami pemotongan peruntukan dana, terdapat juga agensi lain yang dipotong dana pada pembentangan bajet kali ini. Dari segi komitmen, ianya tidak adil jika kita letak potongan dana sebagai kayu ukur,” katanya.
Rombakan SPRM
SPRM telah dirombak ketika siasatan skandal rasuah dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang dijalankan oleh agensi itu.
Kepimpinan SPRM di bawah Abu Kassim Mohamed telah diambil alih oleh Dzulkifli Ahmad, yang mengetuai pasukan penguatkuasaan pemulihan pendapatan negara, Jabatan Peguam Negara.
Manakala itu, dua Timbalan Ketua Pesuruhjaya baru telah dilantik - bekas Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Azam Baki, 53, dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) menggantikan Mohd Shukri Abdull, 56, yang bersara wajib secara rasmi berkuatkuasa pada 3 Oktober.
Bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Shamshun Baharin Mohd Jamil, 55, pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) bagi menggantikan Mustafar Ali yang dipindahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia sebagai Ketua Pengarah, menurut kenyataan itu.
Suruhanjaya itu, semasa berada di bawah Abu Kassim, telah menjalankan siasatan melibatkan skandal 1MDB dan menurut laporan bulan Jun oleh Wall Street Journal, agensi itu telah meminta Peguam Negara memfailkan tuduhan jenayah terhadap Najib, berkaitan wang yang dimasukkan ke dalam akaun banknya melalui entiti yang berkaitan dengan 1MDB.
Najib menegaskan beliau tidak mengambil apa-apa wang untuk kepentingan peribadinya.
S. Adie Zul menyumbang kepada laporan ini.