Siasatan enam bulan SPRM bongkar sindiket rasuah didalangi pegawai Imigresen
2024.09.18
Kuala Lumpur
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata agensi itu telah menahan seramai 60 individu termasuk seorang pegawai imigresen berpengaruh yang disyaki menjadi dalang sindiket membawa masuk pekerja asing secara haram dengan melibatkan wang rasuah.
Pekerja asing, biasanya tanpa dokumentasi yang lengkap akan membayar pegawai Imigresen yang kemudiannya mengagihkan wang itu kepada rakan-rakan lain dengan semua pegawai terlibat mengumpul sejumlah besar wang dalam tempoh dua tahun mereka menjalankan kegiatan jenayah itu, kata Pesurujaya SPRM Azam Baki semasa sidang media pada Rabu.
"Tangkapan itu dibuat dalam beberapa serbuan awal bulan ini selepas siasatan selama enam bulan," kata Azam.
Dalang lelaki berusia 49 tahun itu yang ditahan oleh SPRM pada 5 September lepas dijangka didakwa di mahkamah bersama tiga yang lain bulan depan.
Menggunakan kod panggilan berasaskan nama buah-buahan atau barangan bagi membawa masuk warga asing, rangkaian pegawai penguat kuasa yang diketuai oleh lelaki tersebut telah bergiat aktif sejak dua tahun lalu tanpa dapat dikesan.
“Dia pegawai biasa dan sudah 20 tahun bekerja di Jabatan Imigresen. Tidak berpangkat tinggi tetapi berpengaruh. Dia mengawal 50 pegawai yang kami tangkap dalam beberapa siri serbuan baru-baru ini,” kata Azam kepada BenarNews mengenai dalang sindiket berkenaan.
Tambahnya, pegawai Imigresen yang tidak boleh didakwa kerana kekurangan bukti pula akan menjalani siasatan dalaman supaya tindakan tatatertib boleh diambil terhadap mereka.
“Siasatan dalaman akan dijalankan oleh Jabatan Imigresen, bukan kami,” kata Azam.
Pada sidang media, Azam berkata kumpulan pemerdagangan manusia itu berjaya ditumpaskan selepas enam bulan kerja risikan yang digerakkan selepas SPRM dimaklumkan oleh pemberi maklumat.
Setakat ini, SPRM telah membekukan sebanyak 215 akaun bank bernilai RM3.6 juta [AS$850,000] yang dikaitkan dengan pegawai yang ditahan, ahli keluarga dan rakan mereka.
Agensi anti-rasuah itu turut merampas jongkong emas dan barang kemas yang didakwa dibeli menggunakan wang rasuah dan menemui hampir RM800,000 [AS$190,000] wang tunai yang disembunyikan di dalam bilik tidur suspek.
Bagaimana sindiket berfungsi?
Skim rasuah itu dikenali sebagai “penetapan laluan khas,” melibatkan sindiket yang mempromosikan pakej mereka di platform media sosial seperti Facebook dan Telegram untuk memudahkan kemasukan warga asing ke Malaysia tanpa semakan yang sewajarnya, kata Azam.
“Ejen menghubungi pegawai imigresen melalui aplikasi WhatsApp untuk mengatur tarikh sesuai untuk kumpulan itu memasuki Malaysia.
“Setelah diluluskan, pegawai akan menghantar butiran “kaunter khas” di mana warga asing itu boleh memintas pemeriksaan keselamatan biasa sebelum meloloskan diri ke negara ini,” tambahnya.
Sindiket itu meminta warga asing membayar wang rasuah bergantung kepada kewarganegaraan mereka antara RM200 hingga RM2,500 [AS$46 hingga AS$590] dengan kod panggilan khusus antaranya rakyat Bangladesh dirujuk sebagai “budak sekolah”, Myanmar sebagai “junta” dan Pakistan sebagai “karpet”.
Warganegara lain termasuk Indonesia dan China, mempunyai kod panggilan mereka sendiri seperti “Salak” dan “Limau”.
Sebahagian barangan termasuk wang tunai yang dipercayai hasil rasuah membabitkan pegawai Imigresen dalam sindiket membawa masuk warga asing ditunjukkan pada sidang media di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya, 18 September 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Pada 20 Ogos lalu, SPRM membongkar sindiket memudahkan kemasukan warga asing secara haram dengan memintas proses pemeriksaan standard melalui “kaunter khas” di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 membabitkan pegawai-pegawai Imigresen.
Azam berkata dalam tiga serbuan berasingan, SPRM merampas wang tunai berjumlah lebih RM1.4 juta [AS$300,000], dua jongkong emas bernilai RM360,000 [AS$85,000] setiap satu, 27 keping dinar emas seberat 575.75 gram, 22 buah kenderaan dan lebih 75 unit barang kemas yang didakwa dibeli dengan wang rasuah bernilai RM200,000 [AS$47,000].
“Setengah juta ringgit [AS$118,000] turut ditemui di bilik tidur pegawai kanan imigresen wanita di Pahang dan RM248,443 [AS$58,595] lagi daripada bilik tidur pegawai imigresen lelaki di Melaka,” katanya.
Azam menambah seramai 50 pegawai penguat kuasa telah ditahan berhubung siasatan SPRM iaitu 49 daripada Jabatan Imigresen dan seorang daripadanya pegawai polis dengan sebanyak 37 kertas siasatan telah dibuka melibatkan 95 keterangan saksi direkodkan setakat ini.
Sistem pemantauan lemah
Azam mendedahkan kelemahan disebabkan kelonggaran aspek kawalan dalaman ketika bertugas menyebabkan pegawai Imigresen mudah didekati oleh ejen dan sindiket.
“Pusingan tempat kerja bagi pegawai Imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan 2 tidak sistematik, menyebabkan ejen dan sindiket senang berurusan dengan pegawai penyelia atau pegawai kaunter.
“Ini kerana mereka terlebih dahulu mengetahui pegawai itu akan bertugas di kaunter mana dan dan berlaku “penetapan kaunter”,” ujarnya.
Azam berkata SPRM turut mengesan kelemahan dari segi kekurangan pemantauan dan penyeliaan dengan pegawai menjadi terlalu selesa selepas berkhidmat di lokasi itu selama beberapa tahun.
“Ganjaran rasuah itu juga lumayan,” katanya sambil menambah bahawa transaksi dilakukan secara tunai dan satu dengan satu.
Azam berkata SPRM akan mencadangkan penambahbaikan antaranya ialah pegawai imigresen dilarang membawa masuk telefon pintar mereka semasa syif bekerja bagi mengelakkan komunikasi dengan sindiket.
“Perlu diwujudkan jaringan perhubungan komunikasi lain sepanjang bertugas.
“Jadual penetapan pegawai di kaunter dibuat ketika pegawai masuk bertugas dan sudah berada di zon kaunter,” katanya.
Hilangkan sentuhan manusia
Sebagai tindak balas kepada rasuah yang berleluasa dalam kalangan pegawai Imigresen, Presiden Transparency International Malaysia, Muhammad Mohan menekankan tentang keperluan kepada pemantauan yang berkesan.
Beliau menggesa pihak berkuasa memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kaunter dan memantau dari jauh interaksi antara pelawat dan pegawai.
Beliau juga mencadangkan proses reformasi jangka panjang, menggalakkan sistem automatik yang menghapuskan sebarang hubungan manusia.
“Semua dokumen perlu dilengkapkan sebelum masuk dan semua orang perlu melalui sistem pintu pagar automatik.
“Campur tangan manusia sepatutnya hanya berlaku sekiranya berlaku masalah teknikal dan walaupun begitu, prosedur yang betul mesti ada untuk mencegah risiko rasuah,” katanya kepada BenarNews.
Muhammad juga menggesa pindaan kepada Akta SPRM dan mendesak hukuman yang lebih berat.
“Hukuman itu harus termasuk hukuman penjara mandatori sekurang-kurangnya 14 hari, sama seperti Akta Pencegahan Rasuah 1997 sebelum ini. Dalam akta semasa langsung tidak diletakkan peruntukan hukuman penjara minimum mandatori.”
Cynthia Gabriel, pengarah Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) berkata penguatkuasaan yang lemah membuatkan rasuah boleh berlaku dalam kalangan penjawat awam.
“Sistem itu sendiri memudahkan perkara ini... penguatkuasaan yang lemah menyebabkan berlaku rasuah,” katanya sambil menambah bahawa struktur yang betul perlu disediakan untuk membendung gejala rasuah.