Palsu Cop Sempadan: 27 Pegawai Imigresen antara 46 Ditahan SPRM

Noah Lee & Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-11-17
Share
201117-MY-SPRM-JIM1000.jpg Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membawa sebahagian daripada mereka yang ditahan oleh pihak berkuasa dalam Ops Selat ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman di Putrajaya, Malaysia, 17 November, 2020.
[Ihsan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia]

Malaysia menahan lebih 40 individu termasuk 27 pegawai imigresen kerana disyaki terbabit dalam sindiket yang aktif memalsukan cop keluar-masuk negara bagi membolehkan pekerja asing memperbaharui visa lawatan sosial mereka dan terus menyalahgunakannya untuk bekerja secara haram, demikian kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penangkapan itu disahkan oleh pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Norazlan Mohamad Razali semasa dihubungi media dengan berkata kesemua mereka ditahan menurut Seksyen 16 Akta SPRM 2009, manakala Ketua Pengarah Imigresen Malaysia (JIM) Khairul Dzaimee Daud mengesahkan mengenai penahanan pegawai jabatan berkenaan melalui satu siaran akhbar.

“Pegawai-pegawai yang ditahan tersebut telah disyaki terlibat dalam aktiviti pemalsuan cop keselamatan imigresen. JIM ingin memaklumkan bahawa penahanan mereka adalah hasil kerjasama antara jabatan ini dan SPRM khususnya dalam perkongsian maklumat yang diperolehi daripada aduan orang ramai,” kata Khairul Dzaimee dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya.

Semasa mengesahkan mengenai penahanan oleh SPRM itu, Norazlan turut memberitahu yang sindiket berkenaaan antara lain menyediakan khidmat kepada pendatang tanpa izin [PATI] yang telah disenaraihitam pihak berkuasa dan mereka yang telah tamat tempoh visa untuk berada di dalam negara.

Sementara itu, sumber SPRM memberitahu yang kesemua 46 orang yang ditahan itu dipercayai terlibat dalam sindiket salah guna cop keluar dan masuk di sempadan negara dengan mereka ditangkap secara serentak di Putrajaya, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching dalam satu operasi yang dinamakan ‘Ops Selat’ pada Isnin.

“Seramai 46 individu termasuk 27 pegawai Jabatan Imigresen ditahan dalam serbuan serentak di empat negeri semalam [Isnin], selepas terbabit sindiket salah guna cop keluar dan masuk di sempadan negara. Ops Selat digerakkan SPRM dengan kerjasama JIM membabitkan serbuan di Putrajaya, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.

“Empat belas ejen pekerja asing dan lima orang awam berusia antara 21 hingga 46 tahun, yang dipercayai memainkan peranan sebagai orang tengah dalam operasi haram itu adalah antara mereka yang ditahan,” kata sumber itu memaklumkan butiran operasi tersebut.

Beliau memberitahu pegawai Imigresen yang ditahan termasuk mereka yang bertugas di Ibupejabat Imigresen di Putrajaya; Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar, Johor; dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta KLIA 2.

Operasi lebih setahun

BeritaBenar difahamkan bahawa sindiket tersebut telah beroperasi sejak setahun lalu, dan kegiatan mereka hanya dihidu SPRM ketika kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Untuk rekod, perintah berkenaan menyaksikan sempadan negara ditutup, dan menyebabkan ramai pekerja asing yang berada di dalam negara terkandas manakala yang berada di luar juga tidak dapat memasuki Malaysia.

Semasa perintah itu, aktiviti sindiket menjadi semakin rancak dengan mengambil peluang terhadap pekerja asing serta PATI yang terkandas di dalam negara.

"Sindiket menerima banyak permintaan daripada majikan untuk melanjutkan tempoh izin berada di negara ini dan permintaan pekerja asing termasuk PATI yang mahu pulang ke negara asal mereka," kata sumber itu kepada BeritaBenar.

Dalam pada itu seorang lagi sumber iaitu daripada Jabatan Imigresen pula menceritakan kepada BeritaBenar bagaimana sindiket tersebut memanipulasi dan mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan.

Menurut beliau, ramai warga asing yang bekerja secara haram di Malaysia menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka bagi tujuan memasuki negara dengan tempoh sah kebolehan berada di dalam negara adalah selama tiga bulan, dan pemegangnya perlu memperbaharuinya melalui keluar dari negara dan memasukinya semula.

"Mereka akan pergi ke negara jiran terdekat seperti Thailand atau Singapura untuk mendapatkan pas lawatan sosial yang baru. Mengikut syarat permit, pemilik pasport perlu hadir ke pejabat imigresen di sempadan bersama pasport yang sah dan pas lawatan sosial yang belum tamat tempoh.

"Sindiket ini menggunakan modus operandi yang sama, cuma mereka lebih memudahkan warga asing ini di mana pasport akan dibawa oleh ejen kepada pegawai imigresen yang merupakan ahli sindiket, dan pas lawatan sosial akan diperbaharui tanpa kehadiran warga asing itu sendiri," kata sumber.

Difahamkan, sindiket mengenakan bayaran bagi menurunkan cop ke atas setiap pasport, atau dipanggil sebagai cop sempadan, bagi membolehkan pas lawatan sosial diperbaharui.

Norazlan semasa ditanya mengenai bayaran memberitahu bahawa bayaran yang dikenakan adalah di antara RM500 (AS$121.82) hingga RM6,000 (AS$1,457) bagi mendapatkan setiap satu cop itu.

Menurut beliau, tangkapan pertama dibuat SPRM membabitkan seorang pegawai Imigresen di Johor, dan risikan mendapati bahawa suspek menerima rasuah di antara RM100 (AS$24.36) hingga RM500 (AS$121.82) bagi setiap pasport yang diberikan cop keselamatan.

"Wang itu diterima daripada ejen sebagai upah untuk membantu ahli sindiket menyalahgunakan proses mendapatkan pengesahan cop keselamatan tanpa kehadiran pemilik pasport dan tidak perlu keluar masuk Malaysia," kata Norazlan.

Beliau berkata bahawa terdapat dua modus operandi yang digunakan sindiket dalam aktiviti haram mereka. Cara pertama dikenali sebagai taktik 'pasport terbang', iaitu ejen sindiket mengumpulkan semua pasport yang menggunakan pas lawatan sosial untuk dicop keluar dan masuk.

Modus operandi kedua pula adalah dengan menyasarkan PATI yang telah disenaraihitamkan serta visa perjalanan tamat tempoh bagi membolehkan mereka terus berada dalam negara.

Khairul Dzaimee turut memberitahu yang JIM akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan kakitangan yang menyalahgunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta dan Peraturan-peraturan Imigresen bagi tujuan kepentingan peribadi.

"Mereka yang terlibat hendaklah bersedia menghadapi tindakan undang-undang yang akhirnya akan dipenjara dan ditamatkan perkhidmatan jika didapati bersalah,” tambah ketua pengarah itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut <a href='/english/about/terms-of-use'>Syarat Penggunaan BeritaBenar</a>. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.