Malaysia Buat Permohonan Dapatkan Semula AS$64.9 Juta dari Skandal 1MDB

Radzi Razak & Hadi Azmi
2019.06.21
Putrajaya, Malaysia
190621-MY-SPRM-Latheefa620.jpg Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Latheefa Koya menunjukkan senarai 41 individu dan entiti yang berdepan dengan perlucutan hak kerana menerima dana 1MDB di Putrajaya, 21 Jun, 2019.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Malaysia yang berjaya mendapatkan semula 919 juta ringgit [AS$221.4 juta] telah memfailkan permohonan melucut hak terhadap 41 lagi responden termasuk entiti politik tempatan berjumlah 270 juta ringgit [AS$64.9 juta] dalam usahanya mendapatkan semula wang yang disalah guna dan mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Permohonan perlucutan hak itu dibuat oleh agensi pencegahan rasuah negara di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 dan telah difailkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua hari lepas.

“Kami telah memfailkan permohonan di mahkamah Kuala Lumpur dan setelah afidavit dikeluarkan, ianya akan diserahkan kepada mereka,” kata Latheefa pada sidang media pertamanya sebagai Ketua Persuruhjaya yang baru dilantik di Putrajaya pada Jumaat.

Permohonan lucut hak itu diambil di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) di mana pihak pendakwaraya boleh memohon kepada hakim untuk mengeluarkan satu arahan supaya sebarang harta benda boleh dilucut hak jika ianya datang dari hasil kegiatan haram.

“Ini merupakan yang terbesar sekali (perlucutan hak) dan proses mendapatkan semula wang adalah sama penting dengan proses pendakwaan,” kata Latheefa.

Menurut Latheefa lagi, SPRM telah berjaya menjumpai jejak bukti yang menunjukkan dana itu datangnya dari akaun milik Najib Razak di AmBank yang dibuat secara khusus untuk menerima wang 1MDB sebelum ianya disalurkan kepada 41 entiti.

Najib sekarang berdepan dengan 42 pertuduhan jenayah berkaitan rasuah, salahguna kuasa dan pecah amanah yang mempunyai hubungan dengan skandal 1MDB.

Jika disabitkan kesalahan, Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan berdepan dengan kemungkinan dipenjarakan selama 125 tahun atau didenda sebanyak 210 juta ringgit.

“Mereka tidak boleh berkata mereka tidak tahu. Jika individu itu tidak mengambil langkah untuk mendapat tahu dari mana wang itu berasal, itulah yang dikatakan pengubahan wang haram,” menurut Latheefa lagi.

Pada sidang media itu, Latheefa turut memberitahu bahawa sebahagian daripada wang dari dana 1MDB itu disalurkan kepada beberapa bahagian Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO], yang Najib pernah menjadi Presidennya, termasuk bahagian-bahagian di dalam kawasan Parlimen Pekan.

“Jumlah terbesar wang yang ditemui adalah wang yang disalurkan kepada banyak UMNO  bahagian dengan jumlah keseluruhannya 212 juta ringgit(AS$51 juta)," tambah Latheefa.
Baru-baru ini, pemangku Presiden UMNO Mohamad Hasan yang berkata SPRM perlu menyerahkan semula dana yang dibekukan dari akaun-akaun parti itu kerana ia bukanlah datang dari dana 1MDB.

“Wang yang dibekukan itu bukan dana yang parti terima daripada 1MDB. Wang itu telah digunakan sepenuhnya,” kata Mohamad Hasan yang turut menambah bahawa akaun parti tersebut dibekukan sejak tiga bulan lepas.

Mohamad Hasan yang berada di Kuantan, Pahang bagi menghadiri perhimpunan tahunan Parti Islam Se-Malaysia(PAS) turut berkata kenyataan beliau hanyalah tertumpu kepada akaun parti di peringkat kebangsaan dan bukan di peringkat bahagian.

Selain dari sembilan entiti UMNO yang dikatakan menerima wang dari 1MDB, adalah dari parti-parti gabungan di bawah Barisan Nasional seperti sayap wanita MCA, Parti Liberal Demokrasi (LDP) Sabah, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan beberapa badan bukan kerajaan termasuk Yayasan Permata dan Yayasan Rahah.
Turut termasuk dalam senarai ialah gergasi tekstil Jakel dan syarikat barang kemas Habib Jewel.

Sehingga hari ini, SPRM telah berjaya mendapatkan semula 919 juta ringgit (AS$221.4 juta) termasuk 100 juta ringgit(AS$24 juta) dari hartanah Hotel Park Lane di New York yang dirampas dan dana yang diperolehi dari Red Granite Pictures yang dimiliki oleh anak tiri Najib, Riza Aziz yang menerbitkan Filem yang memenangi Anugerah Academy,  The Wolf of Wall Street.

Pasukan Khas


Dalam sidang akhbar yang sama, timbalan pesuruhjaya SPRM Azam Baki memberitahu media bahawa satu pasukan petugas khas akan diwujudkan untuk mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB di luar negara yang berjumlah kira-kira AS$5 bilion.

Menurut beliau, pasukan petugas khas itu akan diketuai oleh Pusat Jenayah Kewangan Nasional di bawah Pusat Governans, Integriti dan Anti-rasuah Nasional.

Pada Mei, Pejabat Peguam Negara memfailkan permohonan lucut hak ke atas Najib, isteri beliau Rosmah Mansor, anak mereka Nor Ashman dan Noryana Najwa, dan anak tiri Riza, termasuk juga 14 individu dan entiti lain ke atas harta benda bernilai 711 juta ringgit (AS$171.9 juta) yang didakwa dibeli menggunakan dana dari 1MDB.

Antara harta benda yang dipohon untuk dilucutkan hak termasuklah 263 beg tangan mewah, wang tunai lebih 18 juta ringgit (AS$4.3 juta) dan satu hartanah mewah milik Goh Gaik Ewe, ibu kepada ahli perniagaan Malaysia Jho Low who yang didakwa terlibat dalam skandal 1MDB. Goh, suaminya dan anaknya Jho Low yang melarikan diri dan bersembunyi.

Pada April, kerajaan Malaysia berjaya menjual kapal layar mewah Equanimity dengan harga AS$126 juta kepada syarikat Genting Malaysia selepas merampas aset tersebut di Bali, Indonesia pada Ogos 2018.

Aminah Farid di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.