Malaysia Transit Penyeludupan Manusia Ke Australia Dengan Bayaran RM30 Ribu

Hata Wahari
2018.05.07
Kuala Lumpur, Malaysia
180507-my-srilanka620.jpg Kapal tangki yang diubah suai yang digunakan untuk menyeludup pendatang warga Sri Lanka dari Malaysia ke Australia atau New Zeland di Tanjung Gemuk, Kota Tinggi, Johor, 7 Mei 2018.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Mangsa sindiket penyeludupan manusia melibatkan warga Sri Lanka yang menuju ke  Australia  dan  New  Zealand  melalui  perairan Malaysia, yang berjaya  ditumpaskan pada Selasa lepas, mendakwa mereka membayar agen di antara RM10,000 dan RM30,000 untuk perjalanan dari Malaysia ke dua negara berkenaan.

Sumber sebuah agensi pihak berkuasa Malaysia memberitahu BeritaBenar, bahawa siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai mula beroperasi sejak awal tahun ini, dan mengenakan bayaran, yang termasuk tiket penerbangan dari Sri Lanka ke Malaysia ataupun Indonesia, bagi setiap pendatang.

Mereka kemudian “diseludup masuk menggunakan jalan laut menggunakan kapal yang diubah suai yang telah sedia menunggu di kawasan perairan negeri Johor, dan menuju ke Australia atau New Zealand” kata sumber itu kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Isnin.

Pada Sabtu lepas, pihak berkuasa Malaysia berkata, mereka berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan manusia melibatkan 131 warga Sri Lanka yang mahu dibawa ke Australia dan New Zealand melalui perairan negara dari Tanjung Gemuk, Kota  Tinggi, Johor.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata, operasi bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Peguam Negara yang diadakan pada pukul 2.02 pagi pada 1 Mei lepas berjaya memintas sebuah kapal tangki yang tertera perkataan 'Erta’ yang sedang membawa warganegara Sri Lanka keluar ke perairan antarabangsa.

Polis turut menahan sebuah bot milik nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran KTF 6102 yang digunakan untuk mengangkut warga asing terbabit dari darat ke atas kapal Erta itu.

“Pemeriksaan di atas kapal mendapati terdapat seramai 131 warga Sri Lanka terdiri daripada 98 lelaki, 24  wanita, empat kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan, katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu.

Ditahan bawah ATIPSOM

Mohamad  Fuzi  berkata, 16 anggota sindiket itu terdiri daripada empat warga Sri  Lanka, tiga warga Indonesia  dan sembilan warga tempatan ditahan untuk siasatan dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Katanya, seramai 127 lagi warga Sri Lanka dituduh dibawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan  keluar dari Malaysia melalui jalan tidak sah atau tidak diwartakan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Mustafar Ali memberitahu BeritaBenar bahawa kesemua mereka yang ditahan itu telah ditempatkan di Pusat Tahanan Bukit Nenas, Johor Bahru.

“JIM membantu dari segi penempatan, sementara operasi dilakukan oleh polis dan beberapa agensi lain. Bagaimanapun, kita juga turut menyiasat mengenai sindiket ini memandangkan mereka keluar menggunakan jalan yang tidak diwartakan,” katanya pada Isnin.

Tambahnya, JIM juga membuat siasatan bagaimana pendatang tanpa izin berkenaan berjaya melepaskan diri untuk memasuki Malaysia serta rumah transit yang digunakan untuk menempatkan kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan hasil siasatan yang dijalankan kerana jabatan tersebut merancang untuk melancarkan operasi bersama dengan pihak polis bagi membendung kegiatan menggunakan Malaysia sebagai negara transit untuk menyeludup manusia ke negara ketiga.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.