Pilihan raya negeri pada Ogos uji sokongan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim
2023.07.05
Kuala Lumpur
Keutuhan kerajaan perpaduan Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim bakal diuji semasa pilihan raya di enam negeri yang dijadualkan berlangsuang bulan depan, selepas Suruhanjaya Pilihan Raya pada Rabu mengumumkan tarikh bagi rakyat keluar mengundi.
Menurut penganalisis, sekiranya parti-parti yang membentuk gabungan pentadbiran persekutuan mengalami kekalahan signifikan dalam pilihan raya pada 12 Ogos ini, ia berkemungkinan boleh membawa kepada desakan supaya kerajaan Anwar berundur daripada mentadbir negara.
Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dalam satu sidang media di Putrajaya pada Rabu mengumumkan bahawa pilihan raya akan diadakan di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah pada tarikh tersebut.
"SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting seperti berikut.... Hari mengundi 12 Ogos, 2023," kata Abdul Ghani.
Seorang penganalisis politik Syaza Shukri berkata pilihan raya berkenaan - yang akan melibatkan hampir separuh daripada jumlah pengundi di seluruh Malaysia - akan memberikan petunjuk mengenai persepsi orang ramai terhadap Kerajaan Perpaduan.
"Walaupun pilihan raya persekutuan dan negeri adalah dua perkara yang berbeza, dari satu sudut ia akan menjadi satu bentuk referendum..., satu cara menilai sokongan rakyat kepada kerajaan kerana politik Malaysia adalah amat berpusat," kata Syaza, yang merupakan seorang profesor madya sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BenarNews.
"Ia tidak akan memberikan impak secara langsung, tetapi keputusan pilihan raya negeri ini tentu akan meletakkan tekanan kepada Kerajaan Persekutuan supaya mendengar apa yang rakyat mahukan."
Daripada enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya pada bulan depan, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada masa ini berada di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin Anwar, manakala tiga lagi negeri diperintah gabungan Perikatan Nasional di mana antara parti yang menganggotainya adalah parti konservatif PAS (Parti Islam Se-Malaysia).
Penyokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan gabungan Perikatan Nasional mengibarkan bendera mereka ketika berkempen semasa Pilihan Raya Umum Malaysia di Permatang Pauh, Pulau Pinang, Malaysia, 18 Nov 2022. [Hasnoor Hussain/Reuters]
Selepas pilihan raya umum yang diadakan pada November lepas menyaksikan tidak ada satu parti berjaya mendapat sokongan majoriti, parti sekular Pakatan Harapan yang dipimpin Anwar membentuk satu gabungan dengan bekas musuhnya, Barisan Nasional serta tiga lagi parti lain. Yang di-Pertuan Agong Malaysia kemudiannya menawarkan gabungan berkenaan untuk membentuk Kerajaan dengan dipimpin Anwar.
Pakatan dan Barisan telah memutuskan untuk menyertai pilihan raya negeri pada bulan depan secara bersama, sekaligus membentuk satu blok yang janggal memandangkan Pakatan memperjuangkan agenda multi-etnik manakala Barisan pula lebih bersifat pro-Melayu.
Gabungan pembangkang Perikatan yang disertai Bersatu dan PAS pula telah secara terang menyatakan perjuangan mereka untuk kepentingan orang Melayu dan Islam di Malaysia.
PAS, parti Islamik, telah berjaya mendapatkan sokongan lebih besar daripada pengundi semasa pilihan raya umum November lepas - sesuatu yang digelar penganalisis sebagai 'gelombang hijau' - dan menjadikannya sebagai parti tunggal dengan bilangan wakil rakyat terbesar di Parlimen.
Syaza percaya bahawa pilihan raya negeri kali ini juga akan menjadi penentu sama ada 'gelombang hijau' bakal menguntungkan PAS atau hanya bersifat sementara.
"Saya melihat ianya juga akan menjadi satu referendum kepada gelombang hijau PAS, sama ada sesuatu yang sementara atau sebaliknya," kata beliau.
Etnik Melayu merupakan kumpulan terbesar dengan hampir 70 peratus daripada keseluruhan populasi Malaysia, dan kesemua mereka adalah beragama Islam. Etnik Cina pula membentuk 22.8 peratus daripada populasi, diikuti India dengan 6.6 peratus.
Seorang lagi penganalisis Jayum A. Jawan berkata keputusan pilihan raya enam negeri berkemungkinan akan menunjukkan sama ada orang Melayu telah menjadi lebih selesa dengan pendirian sekular Anwar.
"Kelantan dan Terengganu, dua negeri yang didominasi orang Melayu iaitu di mana 95 peratus populasi mereka adalah dari etnik tersebut, manakala tiga lagi negeri juga mempunyai penduduk majoriti Melayu iaitu Kedah (76 peratus), Negeri Sembilan (56 peratus) dan Selangor (61 peratus), akan menjadi medan perang yang signifikan untuk sokongan politik," kata profesor sains politik di Universiti Putra Malaysia itu kepada BenarNews.
"Ia akan terus menjadi status quo di peringkat persekutuan, tetapi sebarang penurunan sokongan mungkin akan membawa kepada desakan supaya Anwar dan Kerajaan Perpaduannya berundur."
Jayum berkata Anwar perlu meyakinkan para pengundi bahawa kepentingan politik mereka adalah terbela di bawah kepimpinan beliau, kerana pihak pembangkang mendakwa bahawa kepentingan orang Melayu telah diketepikan kerajaan yang lebih memihak kepada rakan politik bukan Melayu mereka.
Sejak memegang tampuk pemerintahan negara tahun lepas, Anwar telah mengumumkan pelbagai usaha untuk melawan naratif bangsa dan agama sedemikian yang dimainkan oleh pembangkang.
Kerajaan Anwar juga tidak mengelak daripada membincangkan mengenai isu-isu sensitif berkaitan agama, bangsa dan raja, serta diskriminasi terhadap kaum bukan Melayu. Ia juga telah menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menjalankan siasatan terhadap komen-komen yang mampu menyebabkan pecah-belah masyarakat membabitkan isu-isu berkenaan.
Bagaimanapun, sebaliknya sedang dilakukan pihak pembangkang, terutama PAS, yang menumpukan kepada menarik undi orang Islam semata-mata.
"Jangan biarkan kita tidak menyumbangkan sesuatu untuk kemenangan Islam dalam pilihan raya. Pastikan kita ada sumbangan kepada gerak kerja pilihan raya ini. Ia adalah saham kita di akhirat," kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man di laman media sosial Facebook pada Selasa.
'Pilihan raya negeri juga penting'
Ku Hasnan Ku Halim dari Universiti Tun Hussein Onn percaya bahawa gabungan Pakatan-Barisan akan menghadapi tentangan sengit di negeri-negeri majoriti Melayu.
Kerajaan Anwar, kata beliau, telah gagal menyelesaikan isu kos sara hidup yang tinggi serta gaji setara.
"Situasi sekarang menyaksikan beliau telah berjaya menjadi perdana menteri, tetapi rakyat masih menunggu untuk menyaksikan beliau menjalankan tugas sebagai PM. ... Anwar gagal untuk melaksanakan perkara-perkara yang telah dijanjikan," kata pensyarah kanan Jabatan Sains Sosial itu.
"Apabila beliau bercakap di depan orang ramai, beliau lebih sibuk berbicara tentang isu rasuah dan serangan-serangan terhadapnya, dan memberikan pelbagai alasan."
Selain itu, tambah Ku Hasnan, sesetengah calon yang ingin diletakkan parti Anwar semasa pilihan raya negeri nanti, dilihat sebagai progresif, dan ia mungkin tidak disukai komuniti Islam.
"Pakatan Harapan bercadang meletakkan calon yang mempunyai pandangan liberal, yang menekankan mengenai sikap terbuka dan kemodenan, dan ini tidak digemari komuniti Melayu," kata beliau.
Sementara itu, Ku Hasnan percaya kekalahan besar dalam pilihan raya enam negeri mampu mengancam gabungan Kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar.
"Ada kemungkinan UMNO [parti yang mengetuai Barisan] akan beralih pihak di peringkat persekutuan sekiranya gabungan pimpinan Anwar kalah teruk," kata beliau.
"Ini sebabnya pilihan raya negeri yang akan diadakan juga sesuatu yang penting."
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.