SUARAM: Tahun Muram Dan Pengabaian Hak Asasi Di Malaysia

Hata Wahari
2016.12.09
Kuala Lumpur
161209-my-suaram620.jpg Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) semasa melancarkan Laporan Hak Asasi Manusia 2016 turut memilih wakil Kesatuan Mahasiswa Malaysia Anis Syafiqah untuk menerima Anugerah Hak Asasi Manusia SUARAM 2016 yang berlangsung di Kuala Lumpur, 8 Disember 2016.
[Ihsan SUARAM]

Malaysia telah menyaksikan tahun muram di dalam menangani cabaran ketidakadilan kerajaan yang secara terbukanya telah mengabaikan hak asasi manusia, kata sebuah pertubuhan hak asasi manusia tempatan dalam laporan tahunannya, yang turut memberi perhatian kepada enam isu ketidakprihatinan dan pelanggaran hak di negara berkenaan.

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dalam Laporan Hak Asasi Manusia 2016 menyenaraikan enam isu yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dalam usaha menghentikan pencabulan  hak asasi rakyat Malaysia dengan turut mencadangkan supaya penggunaan undang-undang yang mematuhi standard yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Enam isu penting yang disenaraikan oleh badan bukan kerajaan itu dalam laporannya adalah penggunaan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan; pencabulan hak untuk bersuara; penyalahgunaan kuasa oleh polis; gangguan terhadap penganjur, peserta dan perhimpunaan aman; kebebasan beragama, dan diskriminasi gender.

Mengulas mengenai laporan tahunan itu, Pengarah Eksekutif  SUARAM, Sevan Doraisamy mahu kerajaan supaya menghentikan pencabulan hak asasi manusia dengan mengamalkan penguatkuasaan undang-undang  yang lebih inklusif dan saksama dalam melindungi hak rakyat Malaysia.

“Mengambil kira ancaman keselamatan yang semakin meningkat oleh kumpulan ekstrimis, SUARAM menggesa kerajaan supaya memahami bahawa hak asasi dan hal keselamatan bukan perkara yang berbeza, namun ia merupakan sesuatu yang saling melengkapi antara satu sama lain,’’ kata Doraisamy kepada BeritaBenar pada Jumaat.

SUARAM dalam laporannya itu mencatatkan bahawa sejumlah 478 orang telah ditahan tanpa perbicaraan yang melibatkan sebanyak 189 kes mereka ditahan tanpa bicara di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), 278 orang di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasaan) 2013 (POCA) dan seramai 11 orang di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low yang diminta mengulas mengenai laporan berkenaan mengakui bahawa kerajaan perlu membawa NGO yang mempunyai kemahiran sosial serta semangat untuk membantu kerajaan menyelesaikan masalah hak asasi manusia di negara itu.

“Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah membina penglibatan dan mengadakan dialog antara kerajaan dan badan bukan kerajaan dengan lebih banyak dalam melahirkan keterbukaan untuk mendengar pandangan lain kearah menyelesaikan isu-isu berkenaan walaupun ianya mengambil masa,” katanya.

Tahanan tanpa perbicaraan terburuk


Sementara itu, Penasihat SUARAM, Kua Kia Soong mendakwa tahun 2016 merupakan tahun terburuk dalam kes tahanan tanpa perbicaraan sejak Operasi Lalang pada tahun 1987.

Katanya, penahanan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah menyerupai apa yang berlaku pada tahun 1987  di mana lebih 100 ahli politik dan aktivis NGO ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh Perdana Menteri pada masa itu Mahathir Mohamed.

“Tahun ini Najib Razak menggunakan SOSMA kerana merasa terancam dengan kebangkitan rakyat menuntut ketelusan berhubung skandal dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB),’’ katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Sementara itu, sebuah badan hak asasi antarabangsa bernama International Humanist and Ethical Union (IHEU) dalam laporan tahunannya telah menilai Malaysia sebagai "pesalah terburuk," dan menyertai negara jiran seperti Indonesia dan Brunei.

“Malaysia berada di peringkat  sangat buruk dari segi kebebasan berfikir, dan bersuara.  Bangsa Melayu masih dikawal ketat oleh kerajaan dari segi identiti, dan agama termasuk undang-undang syariah di dua buah negeri yang menjatuhkan hukuman hudud termasuk ke atas mereka yang murtad,” menurut laporan yang meneliti isu berkaitan hak-hak bagi manusia sejagat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.