Langkah Malaysia hapus subsidi diesel cetus kebimbangan kenaikan harga barang
2024.06.10
Kuala Lumpur

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Isnin mempertahankan keputusan pentadbirannya melaksanakan subsidi bersasar dengan menyifatkannya sebagai langkah 'menyelamatkan negara' ketika kenaikan kira-kira 35 peratus bahan api itu dibimbangi memberikan kesan rantaian kepada peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.
Putrajaya pada Ahad mengumumkan, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 (AS$ 0.71) seliter bermula 10 Jun berbanding RM2.15 (AS$0.45) seliter sebelum ini berdasarkan formula mekanisme harga automatik bagi Mei.
Ia sekali gus menamatkan sistem subsidi pukal setelah sebelum ini kerajaan mengurangkan subsidi elektrik dan mengapungkan harga ayam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menyedari langkah menghapuskan subsidi pukal itu tidak popular namun kerajaan terpaksa melakukannya kerana tidak mempunyai pilihan lain untuk mengurangkan beban kewangan negara.
“Siapa mahu penyelarasan sudbsidi ini? Kena tahu apa pun kita (kerajaan) lakukan kita akan dihentam habis-habisan, segala fitnah dan penipuan (dilontarkan).
“Padahal penyasaran subsidi itu semua perdana menteri sebelum ini telah bersetuju tetap tiada tekad politik untuk laksanakan. Risikonya ada namun untuk selamatkan negara kita tiada pilihan,” kata Anwar di Putrajaya.
Pakar strategik Azmi Hassan berkata penghapusan subsidi pukal diesel bakal menyebabkan kenaikan harga barang sama seperti berlaku selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2015 sebelum dimansuhkan pada 2018.
Kerajaan menanggung kerugian berbilion ringgit ekoran peningkatan jumlah diesel bersubsidi secara mendadak sejak 2019 meskipun tiada peningkatan ketara jumlah kenderaan menggunakan diesel di negara itu, demikian kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan pada Ahad.
Amir Hamzah mendedahkan penggunaan diesel bersubsidi meningkatkan 70 peratus iaitu daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter pada 2023 dan menyumbang kepada kenaikan 10 kali ganda subsidi diesel iaitu dari RM1.4 bilion (AS$297 juta) pada 2019 kepada RM14.3 bilion (AS$3.04 bilion) pada tahun 2023.
Beliau berkata kerajaan dijangka dapat menjimatkan RM4 bilion (AS$852.7 juta) setahun hasil pelaksanaan subsidi bersasar di Semenanjung Malaysia manakala Sabah dan Sarawak yang mempunyai kadar penggunaan diesel yang tinggi dikecualikan dasar itu.
Harga diesel di Malaysia sebelum ini dijual pada empat harga berbeza antara RM1.65 (AS$0.35) hingga RM3.60 (AS$0.76) seliter bergantung kepada subsidi yang diperuntukkan kepada nelayan, pengangkutan awam darat, kenderaan komersial dan persendirian selain harga pasaran tanpa subsidi bagi sektor komersial.
“Dengan jumlah subsidi yang besar diberi oleh kerajaan, harga runcit diesel di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia … di negara jiran kira-kira RM4 (AS$ 0.85) di Thailand, RM4.50 (AS$0.95) di Indonesia dan hampir mencecah RM9 (AS$1.91) di Singapura.
“Keadaan ini mengundang penyeludupan ke negara jiran dan penyelewengan ke sektor komersial yang tidak layak menggunakan diesel bersubsidi," kata Amir Hamzah.
Harga barang naik
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pemansuhan subsidi diesel akan mencetuskan kesan rantaian kenaikan harga barang dan penguatkuasaan perlu ditingkatkan bagi mengelakkan pihak peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga secara berlebihan.
Beliau juga menyarankan bantuan subsidi melalui program Budi Madani dengan kumpulan pertama 30,000 pemilik kenderaan diesel menerima bantuan tunai bulanan RM200 bermula Isnin diperkasa dan maklumat mengenainya perlu sampai kepada golongan yang layak bagi mengelakkan keciciran.
“Maklumat struktur kos perniagaan bukan satu perkara yang diketahui umum dan ia memerlukan pemantauan berkala pihak berkuasa agar dapat memastikan aktiviti pengambilan untung secara berlebihan dapat dikekang," katanya kepada BenarNews.
Tambahnya, rasionalisasi subsidi juga membolehkan agensi penarafan kredit seperti Moody's, S&P dan Fitch Ratings memberi penilaian positif terhadap kedudukan kredit kerajaan Malaysia.
Azmi yang merupakan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara berkata kenaikan harga barang mungkin berlaku disebabkan jumlah besar mesin yang menggunakan diesel di kilang serta pengangkutan tidak tergolong dalam kategori layak menerima subsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
SKDS melibatkan pengangkutan awam, kenderaan kecemasan, van jenazah, pengangkutan logistik terutamanya barangan keperluan harian selain 23 lagi jenis kenderaan diesel termasuk yang digunakan untuk mengangkut hasil pertanian.
Pakar ekonomi dari Unversiti Malaya Mohd Nazari Ismail tidak menolak kemungkinan timbul rasa tidak puas hati terhadap kerajaan dalam kalangan rakyat yang merasakan pentadbiran Anwar gagal menjaga kebajikan mereka ekoran pemansuhan subsidi pukal itu.
Namun katanya kesan pelaksanaan subsidi bersasar itu turut bergantung kepada kebijaksanaan rakyat dalam menilai keperluan melaksanakan dasar tersebut pada masa ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata penyasaran subsidi memainkan peranan penting dalam mengurangkan ketirisan dan menambah inisiatif bantuan kepada rakyat.
"Negara kehilangan RM1.25 juta (AS$265,957) sehari akibat ketirisan dan penyeludupan diesel, jumlah itu cukup besar jika dapat digunakan bagi melaksana inisiatif bantuan untuk rakyat," katanya di Kota Kibanalu, Sabah pada Isnin.
Sementara itu, Menteri Ekonomi Rafizi menjelaskan kerajaan tidak pernah membatalkan subsidi bahan api termasuk diesel yang mencecah RM60 bilion (AS$12.7 bilion) setahun sebaliknya mengalihkannya dengan memberikan bantuan terus kepada rakyat.
Sebelum ini, subsidi terbabit dibayar kepada beberapa syarikat minyak namun melalui dasar subsidi bersasar, bantuan kerajaan diagihkan terus kepada individu yang layak dari RM200 hingga RM500 sebulan, ujarnya.
“Sekarang subsidi RM60 bilion (AS$12.7 bilion) dengan harga minyak mentah AS$80 (setong)...saya sebut dulu (turunkan harga minyak) kalau harga minyak mentah rendah dan subsidi itu masih lagi boleh ditangguh kenapa nak hapuskan subsidi.
“(Sekarang) bila subsidi sudah jadi RM80 bilion (AS$17.02 bilion) nak buat sekolah tak boleh, naik gaji tak boleh dan subsidi menyebabkan harga (minyak) yang rendah, yang dapatnya orang kaya, bukankah lebih baik kita alihkan subsidi itu, bukanlah kita batalkan,” katanya.