Malaysia potong subsidi elektrik syarikat multinasional, gergasi atasi beban kewangan
2022.12.14
Kuala Lumpur
Malaysia akan memulakan langkah mengurangkan subsidi bahan api untuk syarikat multinasional (MNC) dan syarikat gergasi memandangkan impak pengurangan tarif elektrik ke atas kedudukan kewangan kerajaan yang begitu tinggi, demikian umum Perdana Menteri baru Anwar Ibrahim pada Rabu.
Ujar beliau, sebelum ini ada yang mencadangkan supaya kerajaan menaikkan tarif elektrik kepada semua kategori pengguna, namun kerajaan telah memutuskan untuk tidak melaksanakannya berikutan krisis kos sara hidup, bebanan yang ditanggung oleh rakyat serta perusahaan kecil dan sederhana.
Salah satu daripada beberapa akujanji utama Anwar dalam kempen pilihan raya adalah untuk mengurangkan beban kesan inflasi yang tinggi ke atas kumpulan berpendapatan rendah, khususnya kebimbangan kemelesetan ekonomi pada tahun hadapan.
“Berdasarkan laporan NACCOL (Majlis Tindakan Sara Hidup Negara) semalam (Selasa), kita memutuskan supaya cadangan awal untuk naikkan tarif elektrik itu tidak diteruskan, kerana kita akui ia akan membebankan rakyat. Tetapi kita akui jika tidak ada apa apa dilakukan, ia akan memberi kesan kepada kewangan negara agak tinggi, iaitu RM30 bilion(AS$6.8 bilion).
“Masalah dengan pemberian subsidi ini ialah ia dilihat tidak dilakukan dengan telus, sebaliknya dilihat hanya memberi keuntungan kepada golongan kaya. Maka saya berpandangan kita akan meningkatkan tarif secara berfasa untuk syarikat multinasional.
“Jika dikenakan pun, hanya terhadap syarikat MNC yang eksport kerana tariff terlalu rendah buat mereka dan subsidi itu tidak harus diberikan kepada syarikat-syarikat gergasi yang untungnya tinggi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet kedua.
Anwar sebelum itu dalam ciapan di akaun Twitternya telah memberi contoh syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Bhd mempunyai hampir 10 juta pengguna namun 10 peratus atau 1 juta dari jumlah itu adalah pengguna kumpulan konglomerat yang menikmati lebih 50 peratus dari subsidi elektrik yang ditanggung oleh kerajaan.
Tegasnya lagi, Malaysia perlu menyalurkan semula subsidi pukal yang turut memanfaatkan golongan kaya dan konglomerat bagi membantu kumpulan berpendapatan rendah, sederhana dan peniaga kecil.
Pengecualian kenaikan
Anwar memberi jaminan langkah menaikkan tarif elektrik itu tidak akan melibatkan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, IKS (Industri Kecil dan Sederhana), syarikat pertanian dan pengeluar makanan.
Beliau bagaimanapun berkata peningkatan tarif elektrik ke atas syarikat MNC dan syarikat gergasi akan dibuat secara berfasa dan munasabah supaya tidak menjejaskan operasi dan unjuran perniagaan.
Menurutnya lagi, pengumuman lanjut berkaitan semakan tarif ke atas syarikat-syarikat berkenaan akan dibuat oleh Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Air, Tenaga, Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan telah mencadangkan supaya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi laporan penuh dan pengambilan langkah berkesan bagi mengatasi kekurangan barangan keperluan tertentu di pasaran.
“Ya, perkara berkaitan langkah yang akan diambil oleh pelbagai kementerian dan jabatan berkaitan isu berkenaan telah kita bincangkan (Isnin) yang menjurus kepada kecelaruan infrastruktur pemasaran, pengeluaran serta pasaran di mana jurangnya begitu ketara pada masa-masa tertentu,” jelasnya lagi.
Antara isu utama yang menjadi keutamaan kerajaan adalah kekurangan bekalan telur ayam.
Pakatan Harapan menjadikan kekurangan isu bekalan telur ayam sebagai bahan jenaka dalam mengkritik kelemahan pentadbiran terdahulu semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 dua bulan lepas.
Pentadbiran Anwar kini berdepan dengan tekanan untuk menyelesaikan isu itu dengan kadar segera.
Pada 5 Disember, Anwar dilaporkan berkata Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengumumkan harga baru telur ayam yang lebih rendah pada hari berikutnya.
Bagaimanapun, sehari selepas itu Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja sekadar mengumumkan kemementeriannya telah mengenalpasti beberapa sumber dari luar negara untuk menampung keperluan bekalan telur ayam dalam negara sebagai pelan jangka pendek.
Kurang beban kerajaan
Sementara itu, Ahmed Razman Abdul Latiff, penganalisis ekonomi di Putra Business School (PBS) berkata langkah pemotongan subsidi tarif elektrik kepada MNC dan syarikat gergasi adalah perlu bagi mengurangkan beban kerajaan.
“Tahun ini sahaja kerajaan telah memperuntukkan RM5.8 bilion(AS$1.3 bilion) dalam bentuk subsidi untuk memastikan tarif elektrik kekal pada kadar yang mampu ditanggung oleh rakyat.
“Situasi global yang tidak menentu pada tahun hadapan akan menyebabkan harga arang batu dan gas kekal tinggi, faktor ini boleh meningkatkan kos penjanaan elektrik lebih dua kali ganda dan ianya juga dilihat bakal menambahkan beban di pihak kerajaan kerana memberi peruntukkan subsidi yang tinggi,” katanya kepada BenarNews.
Justeru, Razman berkata langkah pemotongan subsidi terhadap MNC dilihat sebagai langkah mengurangkan beban kerajaan, tetapi pada masa yang sama memastikan impaknya minimum kepada rakyat kerana fokus diberi kepada MNC yang mengeksport barangan ke luar negara.
“Prestasi eksport MNC dijangka tidak akan terjejas dengan pemotongan subsidi yang akan meningkatkan kos operasi, kerana matawang ringgit yang masih lemah berbanding dollar Amerika…, eksport dari Malaysia akan masih kekal kompetitif dan mampu menjana pertumbuhan ekonomi yang positif bagi negara pada tahun hadapan,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Razman berkata kerajaan harus berterusan melaksanakan reformasi sistem monetari dan fiskal agar dapat mengurangkan komitmen hutang melalui alternatif yang tidak bergantung kepada pembiayaan insititusi kewangan.