Sultan Selangor Beri Pengampunan DiRaja Terhadap Persalah Dadah

Hata Wahari
2017.02.27
Kuala Lumpur
170227-my-ampun620.jpg Pengarah Eksekutif AIM Shamini Darshini (kiri) dan Sapenah Nawawi semasa dalam sidang media mengumumkan mengenai pengampunan diraja yang diterima oleh anak Sapenah, Shahrul Izani Suparman di Kuala Lumpur, 27 Feb 2017.
[Ihsan AIM]

Seorang lelaki berusia 33 tahun yang dihukum gantung pada tahun 2009 setelah didapati bersalah oleh mahkamah Malaysia kerana memiliki dadah telah diberikan pengampunan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah minggu lepas.

Shahrul Izani Suparman, 33 yang dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar dadah pada 2003, semasa beliau berusia 19 tahun, kini hanya perlu menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Beliau dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 selepas didapati bersalah membawa 622g kanabis ketika ditahan polis dalam satu sekatan jalanraya semasa menunggang motosikal kawannya.

Ibu lelaki berkenaan, Sapenah Nawawi memaklumkan kepada media mengenai pengampunan diraja yang diberikan kepada anaknya itu pada satu sidang media bersama Amnesty International Malaysia (AIM) di Kuala Lumpur pada Isnin.

“Saya diminta ke penjara Sungai Buluh minggu lepas dan tahu hal itu sudah tentu mengenai anak saya Shahrul Izani yang sedang berdepan dengan hukuman gantung sampai mati… selepas dimaklumkan oleh pihak penjara yang anak saya mendapat pengampunan diraja, saya sangat gembira sekali, walaupun beliau tidak dibebaskan,” kata Sapenah.

Ibu tersebut memberitahu, antara sebab anaknya mendapat pengampunan adalah kerana dia merupakan seorang banduan yang mempunyai tingkah laku yang baik dan tidak bergaduh semasa ditahan di dalam penjara.

Sapenah juga memaklumkan yang beliau sudah menunggu selama 13 tahun dan berulang-alik setiap minggu ke penjara untuk memberi sokongan moral apabila anaknya dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

“Sesungguhnya berkat doa seorang ibu, kawan dan semua, anak saya terlepas hukuman gantung,” kata Sapenah sambil memaklumkan bahawa pihaknya juga akan membuat rayuan semula bagi mengurangkan lagi tempoh hukuman penjara seumur hidup, empat tahun lagi.

Permohonan untuk hukuman yang lebih ringan hanya boleh dilakukan setiap empat tahun.

Kerajaan negeri Selangor diterajui oleh Parti Keadilan Rakyat [PRK], sebuah parti pembangkang di mana diasaskan oleh Anwar Ibrahim.

Mengikut laporan media tempatan sebelum ini, sepanjang perbicaraan, Shahrul bertegas yang beliau tidak tahu-menahu mengenai kewujudan kanabis yang dibalut dengan surathkhabar dan disembunyikan dalam motosikal milik kawannya.

Kerajaan Malaysia sebelum ini telah mengumumkan untuk menilai semula hukuman mandatori ke atas pesalah yang berkaitan dengan kesalahan dadah.

Penilaian itu bagi memberi kuasa kepada hakim menggunakan kuasa mereka sama ada untuk mengenakan hukuman mati ataupun penjara seumur hidup.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio undang-undang Azalina Othman Said mengumumkan pada sesi parlimen Malaysia Oktober lepas, bahawa perkara itu sedang dipertimbangkan dan dinilai oleh kerajaan Malaysia.

Azalina yang dihubungi BeritaBenar pada Isnin tidak memberikan sebarang jawapan terhadap pertanyaan mengenai maklumat terbaru berhubung perkara berkenaan.

Beberapa bulan lepas, Azalina semasa dihubungi BeritaBenar memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara perlu menjalankan kajian terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diambil.

Malaysia merupakan antara 58 negara yang masih mengenakan hukuman mati walaupun negara-negara lain telah memperlihatkan trend untuk menghapuskan hukuman tersebut.

Statistik Jabatan Penjara Malaysia sehingga 16 Mei tahun lepas menunjukkan bahawa kira-kira 1,041 banduan di penjara-penjara Malaysia sedang berhadapan dengan hukuman mati, yang melibatkan kesalahan membunuh, mengedar dadah, memiliki senjata api dan menculik.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Zulkifli Omar sebelum ini, dilaporkan berkata, 46 peratus daripada mereka yang menunggu pelaksanaan hukuman mati disabitkan atas kesalahan berkaitan dadah dengan ramai masih lagi menanti keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan atau Lembaga Pengampunan.

Usaha BeritaBenar untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai jumlah pesalah dadah yang menerima hukuman gantung sampai mati yang mendapat pengampunan diraja bagaimanapun gagal.

Kempen anti hukuman-mati

Sementara itu, Amnesty International Malaysia sebelum ini telah mengambil perhatian terhadap kes Shahrul dengan membuat rayuan kepada lembaga pengampunan negeri Selangor, menggesa meringankan hukuman mati itu.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia (AIM) Shamini Darshni memberitahu, keluarga Shahrul telah memohon pertolongan badan bukan kerajaan itu sejak 2014.

"Sekarang Sultan Selangor telah memperkenankan permohonan rayuan pengampunan Shahrul, kita berharap Kerajaan Persekutuan akan menggunakan bidang kuasanya dan memansuhkan hukuman mati mandatori sebagai langkah pertama ke arah pemansuhan secara keseluruhan," tambah beliau di persidangan media bersama itu.

''Kami telah berkempen agar hukuman mati yang dihadapi Shahrul di batalkan malahan Amnesty International telah memilih beliau sebagai ikon bagi kempen anti-hukuman mati antarabangsa  pada tahun 2015,'' katanya sambil memaklumkan bahawa kempen membatalkan hukuman mati ke atas Shahrul telah berjaya mengumpulkan lebih 10,000 tandatangan dalam kempen global yang dianjurkan itu.

Tambahnya, perjuangan menghapuskan hukuman itu akan diteruskan lebih-lebih lagi dengan kemenangan yang diperolehi Shahrul.

''AIM kini juga sedang berjuang untuk memohon pengampunan agar hukuman mati ke atas adik beradik Rames dan Suthar Batumalai dibatalkan.

“Pada masa ini hukuman mati yang dihadapi oleh kedua-dua adik beradik itu ditangguhkan sehingga keputusan permohonan pengampunan diputuskan oleh Lembaga Pengampunan Negeri Sembilan,” tambah Darshini.

Rames and Suthar dijatuhkan hukuman mati pada tahun 2010 di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mereka didapati bersalah melakukan pembunuhan pada 4 Februari 2006 di Port Dickson.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) Eric Paulsen dilaporkan berkata tiada bukti menunjukkan hukuman mati mengurangkan kadar jenayah dan menyalahkan ahli politik yang tidak berazam untuk menghapuskannya.

“Di Malaysia pula saya rasa masalahnya ialah pihak kerajaan dan ahli politik mahu dilihat sebagai tidak bertolak ansur dengan jenayah.

“Sekiranya mereka katakan hukuman gantung harus dimansuhkan, mereka akan dilihat lemah dalam menangani jenayah yang berat,” katanya seperti dilaporkan oleh portal berita Free Malaysia Today pada Sabtu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.