Malaysia tolak tuntutan AS$15 bilion kumpulan terbaru dakwa waris Sulu

Peguam waris Sultan Sulu yang sebelum ini berusaha mendapat perintah timbang tara nafi anak guamnya ada kaitan dengan kumpulan United Tausuq Citizen.
Iman Muttaqin Yusof
2024.03.13
Kuala Lumpur
Malaysia tolak tuntutan AS$15 bilion kumpulan terbaru dakwa waris Sulu Anggota tentera Malaysia melepaskan tembakan mortar ke arah sekumpulan lelaki Filipina yang bersenjata di Kampung Tanduo dalam negeri Sabah, Malaysia, 8 Mac 2013.
[Kementerian Pertahanan Malaysia/AFP]

Malaysia bertegas enggan melayan tuntutan terkini daripada satu kumpulan yang mendakwa sebagai 'waris sah Kesultanan Sulu" yang meminta bayaran berjumlah AS$15 bilion (RM69 bilion), dengan peguam kepada waris yang melalui proses timbang tara sebelum ini menyatakan mereka tidak ada kaitan dengan pihak terbabit.

Tuntutan yang dikemukakan oleh kumpulan tersebut timbul selepas tujuh tahun waris kesultanan itu membuat percubaan mendapatkan perintah timbang tara dengan jumlah tuntutan sama melalui mahkamah di Eropah sejak beberapa tahun lepas.

Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Azalina Othman Said berkata, satu kumpulan menggelarkan diri mereka sebagai United Tausug Citizens (UTC) mendakwa sebagai "penjaga sah Wilayah Kesultanan Sulu" ke atas Sabah menuntut Malaysia membayar AS$15 bilion yang didakwa mereka sebagai wang penyerahan wilayah.

“Kumpulan itu juga mahu mereka diiktiraf sebagai "kerajaan berdaulat dan merdeka" selain mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di Amerika Syarikat,” kata Azalina dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu.

Menteri itu berkata tindakan kumpulan terbaru menuntut kedaulatan ke atas wilayah Malaysia dan mengancam mengambil tindakan undang-undang di Amerika Syarikat sekiranya permintaan mereka tidak dipenuhi sebagai satu peras ugut yang tidak berasas terhadap negara itu.

“Malaysia tidak pernah mengiktiraf keabsahan tuntutan terhadap kedaulatan, wilayah dan sumber asli di Sabah… Kesultanan Sulu sudah tidak wujud selama beberapa dekad dan tidak diiktiraf oleh mana-mana negara berdaulat atau organisasi antarabangsa."

"Ini merupakan percubaan terkini yang remeh dan tidak berasas oleh satu kumpulan untuk menuntut kedaulatan ke atas wilayah Malaysia dan memeras wang secara tidak berasas daripada Malaysia," kata Azalina lagi.

Malaysia berhenti membuat pembayaran tahunan seperti mana yang termaktub dalam satu perjanjian pada abad ke-19 kepada waris Sulu, selepas sekumpulan 200 anggota bersenjata yang dikenali sebagai Tentera Diraja Sulu menceroboh masuk ke daerah Lahad Datu di Sabah dari Filipina, dalam usaha untuk mengambil alih negeri itu pada 11 Februari 2013.

Pencerobohan tersebut telah menyebabkan berlakunya pertempuran lebih enam minggu dengan pasukan keselamatan Malaysia sehingga melibatkan kematian.

Bekas Kesultanan Sulu berpusat di kepulauan kecil di Selatan Filipina, sebahagian daripadanya meliputi Sabah, sebuah negeri di pulau Borneo yang kaya dengan hasil minyak dan menyertai pembentukan Malaysia pada 1963.

Kenyataan mengelirukan

Dalam pada itu, Paul Cohen, peguam utama yang mewakili pewaris bekas Kesultanan Sulu semasa dihubungi BenarNews berkata, “kenyataan menteri mengelirukan. Kumpulan yang diterangkan oleh beliau tidak dikenali oleh anak guam saya”.

“Agensi perisikan dan pihak keselamatan Malaysia mempunyai kemampuan untuk membezakan 'kumpulan' palsu dengan anggota yang tidak diketahui oleh anak guam saya yang Malaysia mempunyai sejarah kontrak pembayaran yang lama dan perintah timbang tara sedia ada terhadap kerajaan negara itu.

“Kerajaan Malaysia boleh menjalankan sebarang kempen gangguan awam yang mahal sekiranya ia mahu melakukannya. Kerajaan tahu faktanya,” kata peguam yang berpangkalan di United Kingdom itu.

Tahun lalu, beberapa mahkamah di seluruh Eropah memutuskan untuk memihak kepada Malaysia apabila kumpulan lapan warga Filipina yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu gagal memperoleh perintah timbang tara yang dimenangi pada Februari 2022.

Pada 2019, kumpulan itu dilaporkan telah mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Kumpulan waris Sultan Sulu itu melantik penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa untuk kes di Mahkamah Madrid dan Paris namun beliau telah disabitkan kesalahan di Mahkamah Madrid pada Januari lalu kerana gagal mematuhi keputusan mahkamah untuk menggugurkan kes tersebut, sebaliknya memilih memindahkannya ke mahkamah di Paris, lapor media antarabangsa.

Skim peras ugut

Sementara itu, Azalina dalam hantaran terbarunya di aplikasi X pada Selasa berkata, tindakan terkini kumpulan UTC dianggap sebagai 'skim peras ugut' dengan tuntutan palsu yang mendatangkan risiko sebanyak 16 peratus kepada belanjawan negara dengan cara mengeksploitasikan proses timbang tara untuk mengaut keuntungan selain mengancam integriti negara berdaulat dan prinsip keadilan.

“Kes Sulu, yang dibiayai oleh penyedia dana litigasi Therium, menimbulkan kebimbangan mengenai sasaran seterusnya oleh pembiaya pemangsa ini. Ia adalah peringatan yang jelas tentang keperluan bagi integriti dalam sistem keadilan kita,” tulisnya di X, merujuk kepada pembiaya waris Sulu sebelum ini.

Meskipun mengakui pembiayaan litigasi penting untuk akses kepada keadilan, jelas Azalina, kekurangan pengawalseliaan terhadap perkara itu menimbulkan ancaman global "Sifat rahsia” (pembiayaan litigasi pihak ketiga) dalam timbang tara palsu yang memerlukan kawal selia global dan standard etika untuk mencegah penyalahgunaan dan eksploitasi," katanya.

Tanpa kawal selia dan sistem pemantauan yang kukuh, tindakan oleh pihak tidak beretika ini boleh menggugat keselamatan sesebuah negara, ujarnya.

BenarNews telah menghubungi Azalina dan pejabatnya untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai bilakah tuntutan UTC difailkan namun tidak mendapat maklum balas segera daripada beliau.

Rang Undang-Undang Kekebalan

Pada November lalu, kerajaan Malaysia telah membentangkan Rang Undang-Undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 di Parlimen bagi bacaan kali pertama untuk melindungi negara daripada tindakan undang-undang yang difailkan di luar negara, sama seperti yang berlaku dengan kes waris Sulu.

Rang undang-undang itu bertujuan untuk memastikan Malaysia mendapat imuniti daripada bidang kuasa mahkamah negara lain ke tahap yang sama seperti yang ditawarkan kepada negara itu mengenai kedaulatan hartanah, ketua negara dan kerajaan.

Sebagai contoh, Fasal 11 rang undang-undang itu bertujuan bagi memperluas bidang kuasa mahkamah merangkumi prosiding undang-undang mengenai hak, kepentingan atau kewajipan yang berkaitan dengan harta di Malaysia yang melibatkan negara asing, lapor media tempatan.

Ini melibatkan pewarisan, hadiah, harta tidak dituntut, aset amanah, harta muflis atau aset syarikat dalam pembubaran.

Bagi Fasal 12, rang undang-undang itu mencadangkan bahawa negara asing boleh dibawa di bawah bidang kuasa mahkamah dalam prosiding undang-undang berkaitan hak mereka membabitkan harta intelek atau perindustrian.

Azalina dijadual membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua sebelum dibahaskan di Dewan Rakyat pada Isnin ini.

"Rang undang-undang yang akan diperkenalkan buat kali pertama dalam sejarah Malaysia ini akan menerima pakai undang-undang adat antarabangsa," ujarnya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.