Penguatkuasaan Lemah Punca Pemburuan Haram Haiwan Liar Meningkat

Haireez Azeem
2016.01.21
160121-my-bear620 Beruang matahari Malayan berjalan di kandangnya di sebuah zoo di Muenster, barat Jerman. 18 Ogos 2014
AFP

Malaysia tidak mempunyai penguatkuasaan yang serius dalam menangani pemburuan haram sehingga menyebabkan kematian seekor beruang matahari di Sabah baru-baru ini, kata Presiden Pertubuhan Pelindungan Khazanah Alam (PEKA) Malaysia Shariffa Sabrina Syed Akil kepada BeritaBenar pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai pertemuan bangkai beruang matahari, yang terbelah dua, oleh sepasang pelancong asing dari Sweden di persisiran Sungai Kinabatangan di Sabah, pada Isnin lepas.

Pelancong Tommy Eriksson dan isterinya Teuta Hajra berkata, mereka menjumpai bangkai beruang itu, yang kehilangan kedua belah kaki belakangnya, berhampiran sungai di Kampung Sukau semasa mereka sedang bersiar-siar di kawasan berkenaan, lapor media tempatan.

Insiden itu telah mencetuskan kemarahan aktivis dan pencinta alam seluruh negara serta membuktikan betapa kritikalnya isu pemburuan haram terhadap habitat liar yang dilindungi di Malaysia serta kurangnya perhatian pihak penguatkuasaan dalam menangani pemburuan haram.

“Apa yang terjadi di Malaysia sekarang adalah kerana tidak ada penguatkuasaan yang betul-betul turun padang dan menjaga atau tegas menangani pemburuan haram serta pembalakan yang terlampau rakus,” kata Shariffa Sabrina semasa dihubungi pada Khamis.

‘Tidak tegas’

Beliau berkata, pemantauan yang kurang tegas itu boleh menyebabkan ancaman kepupusan habitat haiwan liar bagi negara.

“Untuk Malaysia dilihat sebagai negara maju, kerajaan perlu menekankan konsep pemuliharaan dan pemeliharaan sebagai agenda utama negara…. Ini semua angkara manusia yang suka memusnahkan alam dan jika hancurnya khazanah alam, maka hancurlah kehidupan sejagat,” tegas beliau.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Haiwan Liar Sabah William Baya berkata, siasatan masih lagi berjalan untuk mencari mereka yang bertanggungjawab dalam pembunuhan beruang matahari tersebut.

“Setakat ini, kami masih belum mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kematian beruang matahari itu,” katanya kepada BeritaBenar pada Khamis, dengan tidak mahu mengulas lanjut.

Bangkai beruang matahari yang ditemui itu sudah dialihkan dengan bantuan ahli persatuan Kinabatangan Corridor of Life Tourism dan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk siasatan.

Pada Januari tahun lalu, beberapa pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia di Sibu, Sarawak telah diserang oleh seekor haiwan yang kelihatan aneh dan berkuku panjang serta tajam.

Media tempatan melaporkan, pekerja ladang berkenaan telah memukul haiwan berkenaan sehingga pengsan apabila haiwan itu bertindak agresif dan menerkam mereka.

Dalam pada itu, Sarawak Forestry Corporation (SFC), badan yang bertanggungjawab mengurus pemuliharaan hutan di negeri berkenaan percaya haiwan aneh yang menyerang pekerja ladang itu adalah beruang matahari.

SFC berkata, berdasarkan gambar dan rakaman video yang diambil oleh pekerja ladang, Ketua Warden Hidupan Liar berpendapat, haiwan itu mempunyai ciri-ciri yang menyamai beruang matahari yang merupakan spesies yang amat jarang ditemui.

Beruang matahari adalah spesies yang paling kecil di kalangan lapan jenis beruang di dunia dan dilindungi Akta Perlindungan Hidupan Liar Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.