Pemilik jam LGBTQ di Malaysia berdepan hukuman penjara tiga tahun
2023.08.10
Kuala Lumpur
Malaysia pada Khamis mengharamkan jam tangan serta aksesori jenama Swatch yang melambangkan LGBTQ dan sesiapa yang memiliki produk terbabit berdepan hukuman penjara maksimum tiga tahun, selain mendakwa tindakan menormalisasikan komuniti gay mungkin memudaratkan negara itu.
Perbuatan homoseksual dianggap sebagai jenayah di Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam di mana komuniti LGBTQ+ sudah lama berdepan diskriminasi dan kumpulan hak asasi manusia memberi amaran mengenai sikap tidak bertoleransi yang semakin meningkat terhadap golongan minoriti.
Larangan itu dikeluarkan dua hari sebelum Pilihan Raya Negeri yang menyaksikan gabungan politik pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menentang pakatan konservatif Melayu Islam yang kembali bangkit susulan peningkatan isu retorik perkauman dan agama.
Individu yang memiliki bahan terbabit berdepan hukuman denda AS$4,375, demikian menurut Kementerian Dalam Negeri dalam hantaran di laman Facebook sambil menambah bahawa larangan itu, yang diwartakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, akan berkuat kuasa pada 10 Ogos.
“Kerajaan Malaysia komited mencegah penyebaran unsur-unsur yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan kemoralan, kepentingan awam dan negara dalam kalangan masyarakat. Dalam hal ini, hasil penerbitan tersebut dikenakan tindakan Perintah Larangan kerana ia merupakan hasil penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan kemoralan, kepentingan awam dan kepentingan negara dengan mempromosikan, menyokong dan menormalisasikan gerakan LGBTQ+ yang tidak diterima oleh masyarakat umum di Malaysia,” menurut hantaran kementerian itu.
Kementerian itu juga menyatakan komitmen dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan bagi membanteras "penyebaran elemen, fahaman dan gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan.”
Menurut kementerian itu, larangan tersebut bukan hanya terpakai kepada jam tangan yang melambangkan LGBTQ+ tetapi juga apa-apa koleksi kotak, pembalut, manual pengguna dan aksesori lain.
BenarNews telah menghubung Swatch Malaysia untuk mendapatkan komen namun belum menerima maklum balas.
Kementerian itu tidak menyatakan jam tangan Swatch yang diharamkan namun pada Mei telah merampas sejumlah 172 unit daripada koleksi Pride 2023 dari 11 butik Swatch di seluruh negara itu dan mengarahkan lima premis terbabit agar mengeluarkan barangan terbabit daripada rak mereka.
Swatch dalam siaran akhbar mengenai koleksi itu di laman sesawangnya menyatakan bahawa “rekaan yang bertenaga itu mewakili enam warna dalam bendera Pride iaitu simbol kemanusiaan yang bersuara mewakili semua gender dan kaum.
Bendera Pride, atau bendera pelangi, adalah simbol kebanggaan dan sokongan kepada golongan lesbian, gay, biseksual, transgender, aneh dan di luar kelaziman jantina serta panseksual.
Rakyat Malaysia yang beragama Islam memegang sepanduk ketika memprotes tuntutan hak bagi golongan gay di luar Kuala Lumpur, 4 Nov 2011. [Samsul Said/Reuters]
Dua bulan selepas produknya dirampas daripada butik, Swatch memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap kerajaan Malaysia. Ia mendakwa rampasan semberono yang dilakukan tanpa notis itu telah mengakibatkan kerugian dan kerosakan terhadap reputasi perniagaan syarikat tersebut.
Menurut Swatch, kebanyakan jam tangan itu tidak mengandungi huruf LGBTQ+ namun telah diilhamkan daripada beberapa warna pelangi. Ia juga mendakwa notis tidak menyatakan dengan jelas alasan jam tangan terbabit dirampas.
Kumpulan hak asasi manusia dan aktivis menyelar tindakan terkini kerajaan itu sambil menyifatkan bahawa ia adalah satu diskriminasi dan menyalahgunakan tanggapan berhubung keselamatan awam.
Sebuah kumpulan hak asasi gay Malaysia yang mengkritik tindakan kerajaan berhubung isu jam tangan jenama Swatch pada Khamis itu menyifatkan bahawa ia sebagai satu diskriminasi yang tidak setara dan mewujudkan perpecaham dalam kalangan masyarakat.
“Kenyataan Kementerian Dalam Negeri bahawa unsur-unsur LGBTQ+ dalam produk-produk Swatch adalah memudaratkan kemoralan bukan sahaja tersasar jauh malah bersifat diskriminasi,” kata Dhia Rezki Rohaizad, Timbalan Presiden kumpulan hak asasi gay Malaysia iaitu Jejaka, kepada BenarNews.
“Kami percaya bahawa setiap individu tanpa mengira orientasi seksual, identiti gender atau ekspresi mereka, mempunyai hak untuk kebebasan bersuara sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan Perlembagaan Malaysia.”
Komuniti minoriti LGBTQ, yang sering menjadi sasaran di negara itu, kini akan terus dipinggirkan, kata Thilaga Sulathireh, pengasas bersama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Justice for Sisters.
“(Larangan) ini akan terus mewujudkan salah tanggapan, stigma dan diskriminasi,” katanya kepada BenarNews.
“Selain itu, sebarang bentuk sekatan hak atas alasan tersebut perlu dijustifikasikan dari segi kesahihan, keperluan dan perkadaran.”
‘Simbol dan perkataan adalah penting’
Ada pihak yang menyatakan bahawa larangan itu dan tindakan lain beberapa bulan kebelakangan ini oleh pentadbiran Anwar adalah percubaan untuk meraih lebih banyak undi bagi calon Kerajaan Perpaduan daripada pengundi Melayu Islam di kawasan luar bandar yang konsevatif. Kaum Melayu, yang kesemuanya beragama Islam, membentuk sejumlah 70 peratus populasi Malaysia.
Ramai pemerhati terkejut apabila Parti Islam PAS memenangi kebanyakan kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum pada November tahun lepas susulan peningkatan dalam isu fundamentalisme agama dan sikap tidak bertoleransi.
“Anwar Ibrahim telah menjejaskan Swatch dan golongan LGBT di Malaysia melalui langkah ini selain mengambil tindakan bermotifkan politik untuk mengenakan larangan ke atas jam tangan pelangi yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat asing,” kata Phil Robertson, Timbalan Pengarah Asia bagi Human Rights Watch di akaun Twitter.
“Simbol dan perkataan adalah penting, Hak Asasi LGBT adalah Hak Asasi Manusia! Anda Sepatutnya Lebih Memahami!”
Majoriti penduduk di lima daripada enam negeri di Malaysia yang akan mengundi pada Sabtu adalah Melayu. Tiga daripadanya ditadbir oleh pembangkang termasuk PAS dan yang telah berkempen mengenai isu retorik Melayu etnosentrik.
Beberapa kumpulan masyarakat sivil berharap masyarakat di Malaysia secara perlahan-lahan akan bersikap lebih terbuka sebaik sahaja Anwar, yang dilihat sebagai individu progresif, dinamakan sebagai Perdana Menteri pada November namun tingkah laku pentadbiran beliau sejak beberapa bulan kebelakangan ini membuktikan sebaliknya.
Josef Benedict, seorang penyelidik dengan CIVICUS, sebuah organisasi masyarakat sivil yang berdedikasi kepada tindakan rakyat, berkata kerajaan pimpinan Anwar telah menyalahgunakan beberapa undang-undang sama seperti pentadbiran terdahulu dalam usaha menyekat kebebasan.
“Daripada mereformasi undang-undang yang berbentuk sekatan, sekali lagi Akta Media Cetak dan Penerbitan disalahgunakan oleh kerajaan Anwar Ibrahim, kali ini untuk mengharamkan jam tangan yang dikatakan melambangkan LGBT.’ Betapa tidak masuk akalnya tindakan kerajaan ini?” katanya di Twitter.
Bulan lepas, kerajaan Malaysia telah mengharamkan kumpulan pop rock British The 1975 kerana melakukan ciuman sesama jenis di pentas dan menghentikan festival muzik yang sepatutnya berlangsung selama tiga hari susulan perlakuan jijik kumpulan itu.