Kastam Rampas 1,187 kilogram Syabu, Cuba Diseludup Sebagai Makanan
2018.05.29
Kuala Lumpur, Malaysia

Pihak berkuasa Malaysia mengatakan mereka telah merampas lebih daripada satu ton methamphetamine atau lebih dikenali sebagai Syabu yang cuba diseludup sebagai makanan, dan menahan enam orang termasuk seorang pengarah pasar raya, berikutan satu serbuan di sebuah pasar raya di Selangor.
Syabu itu telah dibungkus dengan kertas emas dalam 1,187 paket, masing-masing seberat satu kilo, bernilai lebih daripada RM71 juta (AS$17.8 juta), kata Kastam Malaysia. Hasil serbuan dengan jumlah seberat 2,617 paun, merupakan rampasan syabu terbesar di Malaysia berdasarkan kepada jumlah berat dan nilainya, kata para pegawai.
Paket-paket itu dipercayai diseludup ke Malaysia dari Yangon, Myanmar melalui Pelabuhan Klang, 27 kilometer (43.4 km) dari pusat bandaraya Kuala Lumpur, menurut pegawai yang melakukan serbuan minggu lalu dan mengumumkan mengenai rampasan itu pada Isnin.
Polis juga merampas 750 gram heroin bernilai RM120,000 (AS$30,000), demikian menurut Bernama, agensi berita kerajaan.
Lima lelaki berusia antara 22 dan 48 tahun ditahan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Subromaniam Tholasy kepada pemberita.
"Lima suspek itu terdiri daripada tiga dari Myanmar dan dua lelaki tempatan yang baru saja menerima kontena berkenaan," kata Subromaniam.
Selepas siasatan keatas lima suspek itu, seorang wanita berusia 31 tahun yang juga pengarah pasaraya ditahan pada hari yang sama. Mereka yang ditangkap berhadapan dengan hukuman mati, jika disabit kesalahan.
Di samping itu, jabatan kastam itu juga merampas lebih 1 juta batang rokok dan 2.5 tan metrik tembakau bersama dengan 1.3 metrik tan ubat yang diseludup.
Penyiasat percaya dadah itu adalah untuk edaran di Malaysia.
Dadah sering dibawa masuk ke kawasan atau negara sasaran yang disembunyi di dalam tin makanan, bungkusan kopi yang dieksport atau makanan seperti jeruk dan buah-buahan, demikian menurut Suhana Ismail dan Norhaya Jaafar, kedua-duanya dari Bahagian Narkotik Jabatan Kimia Malaysia.
"Sering kali, produk ubat-ubatan dirampas oleh pihak berkuasa tetapi orang yang bertanggungjawab untuk jenayah sering melarikan diri kecuali pembungkus," kata kedua-duanya dalam laporan yang disiarkan dalam Malaysian Journal of Forensic Sciences pada tahun 2015.
Pengeluaran Syabu meningkat
Minggu lalu, di satu persidangan dasar dadah serantau di Myanmar, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu [PBB] memberi amaran bahawa pengeluaran methamphetamine dan perdagangan di Asia Tenggara semakin meningkat pada tahap yang membimbangkan.
Di Asia, wilayah Mekong yang meliputi Kemboja, China, Lao, Myanmar, Thailand dan Vietnam terkenal dengan pengeluaran candu dan heroin, tetapi telah mengalami perubahan besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. PBB melaporkan bahawa kumpulan samseng telah meningkatkan pengeluaran yaba methamphetamine yang berkualiti rendah dan methamphetamine kristal yang berkualiti tinggi kepada "tahap yang amat membimbangkan."
"Apa yang kami lihat adalah kemantapan, peningkatan dari tahun ke tahun, tetapi yang paling penting sejak kebelakangan ini ialah kami melihat kes-kes utama di mana anda boleh melihat satu tan metamphetamine (diserbu) pada satu masa. Dan kebanyakannya berasal dari kawasan yang sama di utara negara ini (Myanmar), "kata Jeremy Douglas, wakil rantau Asia Tenggara PBB di pejabat mengenai dadah dan jenayah (UNODC), demikian menurut CNN.
Sementara itu, walaupun Malaysia mempunyai undang-undang tegas mengenai pengedaran dadah, negara itu masih menjadi transit untuk dadah, terutama methamphetamine ke Brunei Darussalam, New Zealand dan Singapura, seperti yang dilaporkan oleh UNODC.
Bercakap kepada BeritaBenar, ahli kriminologi Geshina Mat Saat mengaitkan peningkatan pengedaran dadah di rantau dengan keuntungan.
"Manfaat pengedaran dadah yang membawa keuntungan berlipat ganda jelas lebih daripada risiko penangkapan," katanya.
Selain daripada faktor ekonomi, Geshina berkata, kedudukan geografi Malaysia juga memainkan peranan dalam menjadikan negara itu sebagai hab transit yang menguntungkan bagi pengedar dadah.
"Malaysia juga mempunyai pantai yang penuh dengan paya bakau dan tumbuh-tumbuhan di tepi air yang mengakibatkan penyeludupan dari kawasan air ke darat sukar dilihat atau dikesan," katanya.